Selepas meluangkan waktu melegakan tekak yang dahaga di Starbucks, Raees berlalu pula menuju ke MidFashion, sebuah kedai baju rekaan terkini yang mempunyai cawangan di seluruh dunia. Mustika hanya mengikut jejak pemuda berbaju hitam itu, langsung tidak mempedulikan mata-mata yang fokus memandang mereka. Tidak kurang juga beberapa orang yang mengambil gambar mereka dalam diam namun sempat disedari juga oleh Raees dan Mustika. Maklumlah, mereka adalah pasangan terhangat yang digembar-gemburkan media buat masa ini sehingga mendapat liputan yang meluas dari pihak media sama ada dalam negara atau di peringkat Asia secara amnya. Sebaik sahaja masuk ke dalam kedai pakaian yang mewah itu, Raees segera memilih beberapa helai baju dan Mustika pula duduk di atas kerusi yang disediakan, berhadapan dengan sebuah cermin yang besar. Raees masuk ke dalam bilik yang tidak jauh dari Mustika dan seminit kemudian, keluar dengan menggayakan kemeja berwarna merah terang.
"Macam mana? Okay tak baju ni?" Raees menyoal Mustika sambil berpusing-pusing menggayakan baju kemeja merah bercorak bunga kuning. Padanan yang aneh!
"Nampak macam penyanyi dangdut.." Mustika memberikan pandangan jujur.
"Okay.." Raees tergelak seketika.
"Tak sesuai.." Mustika menggeleng perlahan.
Raees menghilang lagi ke dalam bilik dan kemudian keluar menggunakan sehelai baju singlet yang jelas menampakkan lengannya yang berotot. Baju singlet berwarna kuning itu digayakan dengan kaca mata hitam. Mustika menepuk dahinya sendiri, menahan gelak di dalam hati.
"Ini sesuai tak?" Raees menyoal lagi.
"Macam pelakon hindustan.."
Tawa Raees pecah kali ini. Ada-ada saja yang keluar dari mulut Mustika. Boleh pula disamakan dirinya dengan pelakon hindustan? Kalau pelakon tampan macam Shah Rukh Khan, tak apa juga. Raees masuk lagi ke dalam bilik dan kemudian keluar dengan baju kemeja berwarna biru gelap. Mustika memerhati dalam diam, warna kali ini menampakkan kulit Raees lebih menyerlah berbanding dua baju yang sebelumnya.
"Okay, sesuai." Mustika menunjukkan isyarat tangan bagus.
"Then I will buy this.." Raees tersenyum kecil.
Dia menghampiri Mustika yang duduk di hadapan cermin besar, mengeluarkan telefon bimbit dan kemudian mengambil gambar swafoto bersama dengan gadis bertudung hitam itu, dalam keadaan Mustika yang masih belum bersedia.
"Mustika, tak bersedia ambil gambar pun tetap cantik dalam gambar. Macam manalah saya tak jatuh cinta? Awak tahu tak awak cantik.." Raees membelek gambar di dalam telefonnya dan kemudian memandang wajah Mustika yang putih kemerah-merahan.
"Cantik ke?" Mustika menyoal aneh.
"Sangat cantik.." Raees mengiyakan.
"Mungkin sebab mak saya pun cantik. Orang kata genetik.." Mustika mengeluh berat ketika mengenangkan ibunya sendiri.
"Cantik itu perkara kedua, perkara paling utama hati yang cantik. Hati yang cantik akan buatkan wajah menjadi lebih cantik.." Raees tersenyum kecil.
"Terima kasih.." Mustika merenung wajah Raees, menghargai pujian yang diberikan pemuda itu.
"Saya takkan putus asa, Mustika. Perasaan saya jujur dan ikhlas. Saya selalu mengadu kepada Tuhan dalam setiap lantunan doa yang dipanjatkan, semoga Haura Mustikalah jodoh saya dunia dan akhirat.." Raees Arjuna menunduk, mendekatkan wajahnya pada Mustika yang sedang duduk.
"Tuan.." Mustika pantas menjauh.
"Saya akan tunggu.." Raees tersenyum ikhlas.
Mustika mendiamkan diri, Raees sudah berani menyuarakan hasrat hati. Untuk sementara waktu, lebih selamat untuknya mengabaikan sahaja semua usikan dan kata-kata cinta itu tetapi selepas ini, masihkah mampu dirinya melawan rasa yang semakin mendesak di dada? Dia tidak mampu menafikan hatinya juga dipasung rasa yang sukar diungkapkan. Jiwanya bergetar mendengar suara Raees Arjuna mengungkapkan kasih dan cinta. Berpura-pura begini semakin hari, semakin menyakitkan. Namun ini sahaja pilihan yang ada! Demi impian yang belum terlaksana.
"Jomlah Tuan, kita balik." Mustika memecah diamnya.
Raees segera membayar baju yang sudah dipakai di tubuh dan kemudian, berjalan di sisi Mustika yang sudah melangkah agak laju menuju ke pintu keluar MidFashion. Ketika dalam perjalanan keluar menuju ke parkir kereta, bahu Mustika dilanggar kasar oleh seseorang. Pin tudung yang digunakan di bahu kanannya terjatuh dan sesosok lelaki yang terlanggar bahunya sebentar tadi pula terjatuhkan dompet berwarna hitam. Mustika pantas menunduk, membantu mengambil dompet tersebut namun ketika dia mendongak ingin menyerahkan dompet, dia tergamam sendiri. Dan sesosok lelaki berambut hitam pekat, mengenakan jaket hitam dan bertopi itu juga sama. Kedua-duanya kaku dan terkesima seketika.
"Mustika.." Suara lelaki itu jelas kedengaran terkejut, matanya berkaca dengan mutiara jernih.
"Ayah.." Mustika berundur beberapa langkah ke belakang, langkah kakinya terhenti ketika terlanggar dada bidang Raees Arjuna.
"Anakku.." Azman cuba melangkah mendekati Mustika namun anaknya itu menjerit takut.
"Jangan ayah. Jangan pukul saya! Sakit yah sakit. Mustika janji akan ikut kata ayah.."
Mustika menangis, kedua-dua tangannya menekup kedua-dua belah telinga. Raees Arjuna panik, dia mencerlung tajam ke arah sesosok lelaki berkumis yang digelarkan oleh Mustika sebagai ayah. Tubuh Mustika yang menggigil dipeluk agar tenang dan Raees menoleh semula ke arah lelaki berjaket hitam itu. Jelas pada wajah lelaki itu rasa sedih yang tidak terkira saat melihat Mustika trauma dengan dirinya. Beberapa orang pengawal segera datang mengelilingi Mustika dan Raees. Melihat keadaan itu, Azman berundur dan segera beredar. Air matanya yang jatuh segera dikesat, hatinya sakit mengenangkan Mustika yang masih trauma dengan masa lalu.
"'Maafkan ayah, Mustika."
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...