"Hai uollsss.." Mak Diva berjalan terjengket-jengket, kepalanya berbalut dan seperti biasa, tangannya sempat mengoles gincu merah terang di bibir. Di sebelah kiri dan kanannya, Raees Arjuna dan Umi Mariam memapah orang tua yang masih pucat lesi wajahnya itu.
"Mak Diva!" Mustika segera memeluk Mak Diva.
"Aih, tak maulah sedih.." Mak Diva memaut bahu Mustika, kelihatan orang tua itu mengesat air mata yang mengalir di pipi.
"Selamat kembali, Mak Diva" Puan Teja tersenyum gembira, sempat juga menahan air matanya dari jatuh.
Kak Eja dan Kak Timah juga mengesat air mata masing-masing, kali ini mereka hanya mendiamkan diri, tidak ada rasa untuk membuatkan Mak Diva membebel seperti biasanya. Tuan Mikhail yang membawa beg dan bagasi Mak Diva tersenyum kecil, berasa lega kerana akhirnya semua sudah ada di rumah. Tragedi berdarah itu benar-benar membuatkan seisi rumah trauma dan Mustika untuk beberapa malam berturut-turut, dihantui mimpi yang sama membuatkan Puan Teja terpaksa memanggil doktor datang ke rumah untuk memeriksa keadaan kesihatan gadis itu. Umi Mariam juga sering terbangun pada waktu malam dalam keadaan berpeluh, sentiasa terbayang-bayang suasana rumah yang dimasuki penjahat. Puan Teja juga sama, dia seakan-akan trauma melihat kegelapan malam sehingga terpaksa membiarkan lampu dihidupkan selagi malam masih bertamu.
"Sudahlah, Mustika. Aku ni hidup lagi tau. Esok-esok aku mati, baru kau nangis.." Mak Diva menepuk bahu Mustika lembut.
"Janganlah cakap macam tu.." Mustika memuncungkan mulut, geram mendengar Mak Diva menyebut hal seperti itu.
"Markonah Markonah, kau sakit pun mulut kau tetap berbisa ya. Memang sudah keturunan agaknya" Umi Mariam menggeleng lucu.
Mak Diva melabuhkan punggung di atas sofa, pantas tangannya mengambil alat kawalan jauh televisyen dan menghidupkan layar kaca gergasi itu. Puan Teja tergelak, gelagat Mak Diva mencuit hatinya.
"Cerita di wad bosan, Puan. Saya rindu nak layan drama Korea.." Mak Diva meluah jujur.
"Itulah kau. Lama sangat di wad, ada drama baru yang best tau.." Kak Eja juga duduk di atas sofa, penyapu di tangan diletakkan di tepi.
"Drama apa?" Mak Diva menyoal penuh minat.
"Scarlet apa tah.." Kak Eja menggaru-garu kepala.
"Itu cerita lama dah. Dah seabad lalu aku habis tengok. Ketinggalan zaman engkau ni, Ja." Mak Diva ketawa mengekeh, sempat menahan perutnya yang sakit kerana masih jelas terasa perit tikaman pisau di situ.
"Jangan galak sangat. Mak Diva masih belum sihat sangat tu." Tuan Mikhail bersuara mengingatkan.
"Baik, bos!" Mak Diva mengetap bibir.
Siaran televisyen ditukar kepada siaran berita. Pembaca berita sedang membaca berita berkenaan dengan kes di rumah Tuan Mikhail dan Puan Teja. Semua orang fokus kepada apa yang diberitakan dan sesekali kelihatan Puan Teja mengetap bibirnya geram ketika melihat wajah abang-abangnya yang ditemu ramah pihak televisyen. Penuh kepura-puraan!
"Jangan risau. Kali ini, pengawal keselamatan baharu kita semuanya bekas pelatih askar dan juga ada bekas komando yang sudah biasa diserang hendap. Tukang kebun juga sudah dipilih dan minggu depan, mereka akan melapor diri untuk bertugas di sini." Tuan Mikhail memecah hening suasana, wajahnya tenang dan senyuman kecil jelas terukir di bibir.
"Askar? Mesti handsome.." Mak Diva teruja.
"Memang sempat ya kau.." Kak Timah mencuit bahu Mak Diva, geram dengan telatah orang tua itu.
"Kalau muda, aku sedar dirilah ya umur aku sudah 56 tahun. Tapi kalau duda yang tua, mahu jugak aku mencuba nasib.." Mak Diva ketawa mengekeh lagi, sambil menahan luka di perut takut terbuka jahitannya.
"Tapi kan. Malam tu kenapa penjahat tu tiba-tiba berundur.." Raees Arjuna tiba-tiba mengungkit kembali peristiwa malam itu.
"Dia nak serang Mustika tapi tak jadi.." Puan Teja juga tertanya-tanya.
"Memang tujuan utama dia Raees dan Mustika, saya dengar dia bercakap dengan geng mereka, supaya bunuh Raees dan pembantu rumah yang paling muda sebab harga dua nyawa itu yang paling mahal.." Tuan Mikhail menghela nafas yang panjang.
"Saya, Tuan?" Mustika agak terkejut.
"Sebelum dia tikam perut saya, saya sempat terdengar. Maksudnya, dalang utama peristiwa ini adalah orang yang kita kenal juga.." Tuan Mikhail kedengaran yakin.
"Kenapa Mustika? Ada orang sakit hati dengan dia ke? Setahu saya, Mustika tak ada musuh kecuali ..." Umi Mariam menutup mulutnya tiba-tiba, matanya terbeliak.
"AMANDA!"
Serentak Mak Diva, Kak Eja dan Kak Timah menyebut segaris nama itu. Mustika terkesima, tidak menyangka nama itu yang akan disebutkan oleh mereka. Puan Teja mengetap bibir, dia sudah dapat mengagak orang yang sama dan wajah Raess Arjuna juga kelihatan keliru, entah mahu percaya atau tidak?
"Amanda mungkin licik tetapi nak mengupah untuk membunuh Raees sekali, itu mustahil. Dia cintakan Raees.." Mustika cuba menafikan penglibatan Amanda, baginya itu semua tidak masuk akal.
"Amanda mungkin tidak sampai hati mengupah orang membunuh Raees tetapi bukan ayahnya. Bukan Usman. Usman sanggup membuat apa sahaja demi memuaskan kehendaknya, apalagi selepas apa yang berlaku antara Mustika dan Amanda tempoh hari.." Puan Teja berhenti seketika.
"Dia itu syaitan.." sambungnya perlahan.
"Pihak polis kata motif utama penjahat memang untuk membunuh kerana tiada barang yang hilang.." Raees menyandarkan belakang pada tiang rumah, merenung siling yang berhiaskan lampu mewah.
"Siapa ya?" Mak Diva kelihatan berfikir.
"Sepandai-pandai tupai melompat, akan jatuh ke tanah juga. Sekarang, kita semua kena berhati-hati. Oh satu lagi, mulai minggu ini, guru silat akan datang mengajar silat. Semua orang wajib ikut, tiada terkecuali termasuklah Mak Diva." Tuan Mikhail tergelak kecil melihat wajah pembantu-pembantu rumahnya berkerut seribu.
"Saya suka!" Mustika teruja.
"Aduh, patahlah pinggang aku selepas ni." Kak Eja khuatir, pantas pinggangnya diregangkan.
"Sebagai persediaan membela diri, takkan nak biar Umi Mariam saja yang bersilat.." Mak Diva mencelah.
"Bijak Mak Diva." Tuan Mikhail memuji Mak Diva menyebabkan orang tua itu mendabik dada bangga.
"Biasa.." ujarnya bangga.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
عاطفيةSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...