Tuan Mikhail meletakkan beberapa brosur di atas meja makan sebelum melabuhkan punggung di atas kerusi, mencicipi milo panas di dalam cawan putih di atas meja. Mak Diva yang sedang mengemas meja usai sahaja makan malam tadi mengambil salah satu brosur dan mengerutkan dahi saat membaca brosur berwarna biru tua itu.
"Lesen memandu, Tuan?" Mak Diva menyoal pelik.
"Untuk Mustika, Mak Diva." Tuan Mikhail memasukkan cucur udang buatan Umi Mariam ke dalam mulut, mengarahkan Mustika yang sedang mengemop lantai dapur segera duduk di sebelahnya.
"Mustika.. nah!" Brosur dihulurkan kepada Mustika. Gadis itu memandang wajah Tuan Mikhail dengan pandangan penuh tanda tanya.
"Tak lama lagi kamu nak masuk kuliah kan, saya sudah daftarkan kelas belajar memandu untuk kamu. Ini jadual belajar memandu.." Tuan Mikhail menghulurkan pula kertas yang tergeletak di sisinya, jelas menunjukkan sebuah jadual yang agak padat.
"Jadualnya agak padat sebab saya nak kamu dapat lesen cepat, memandangkan kuliah akan bermula bulan depan. Nanti kamu pilihlah siapa yang temankan kamu. Pemandu syarikat akan hantar. Dan Mak Diva dah tak boleh temankan ya, sebab Mak Diva sudah ambil alih tugas arwah Mak Seri untuk memantau semua.." Tuan Mikhail tergelak kecil melihat wajah Mak Diva yang pada awalnya teruja bertukar masam mencuka kerana tidak dibenarkan menemani Mustika.
Kak Eja dan Kak Timah berebut-rebut mengangkat tangan, ingin menjadi teman Mustika belajar memandu. Umi Mariam menggelengkan kepala, perangai keanak-anakan rakan sekerjanya sentiasa menimbulkan kelucuan di hati. Mustika menggaru-garu kepalanya, bimbang ingin memilih siapa, tersalaj pilih, takut ada yang kecil hati.
"Bergilir-gilir boleh? Kalau esok Kak Eja temankan saya, lusa kak Timah pula.." Mustika cuba berlaku adil.
"BOLEH!" Serentak kedua-duanya menjawab.
"Sedihnya tak dapat ikut.." Mak Diva memuncungkan mulutnya, nada suaranya sayu.
"Alah, Mak Diva. Mak Diva kan dah naik pangkat, mana boleh keluar selalu sangat. Nanti saya belikan Mak Diva ayam KFC. Tak nak drumstick kan.." Mustika memaut lengan Mak Diva mesra, cuba memujuk wanita berserkup putih itu.
"Sebab KFC, tak jadilah merajuk." Mak Diva ketawa mengekeh.
"Buruk benar ye orang tua merajuk." Tuan Mikhail berseloroh.
"Amboi Tuan, kalau saya letak ubat dalam air milo Tuan baru padan muka, cirit birit semalaman.." Mak Diva mencebikkan bibir.
"Potong gaji nanti.." ujar Tuan Mikhail bergurau.
"Tak jadilah nak letak.."Mak Diva pantas mengelak.
"Tahu takut ya Markonah." Umi Mariam ketawa puas. Wajah Mak Diva yang terkulat-kulat di hadapan Tuan Mikhail menggelikan hatinya. Raees Arjuna yang turun dari tingkat atas menunjukkan riak wajah hairan melihat suasana kecoh di bahagian meja makan.
"Apa yang riuh ni?" ujarnya sambil menjamah cucur udang di dalam pinggan.
"Mak Diva kamu ni hah, merajuk sebab tak dapat temankan Mustika belajar memandu.." Tuan Mikhail menggelengkan kepala, lucu dengan telatah pembantunya.
"Mustika nak belajar memandu? Kenapa nak belajar dengan orang luar, ayah? Saya boleh tolong ajarkan, lagi senang.." Raees tersenyum kecil, mengerling seketika ke arah Mustika yang sudah mengetap bibir.
"Sibuk je.." gumam hati kecil Mustika.
"Bolehlah juga sambil-sambil belajar di akademi memandu, Raees boleh ajarkan kalau di rumah. Lagi cepat belajar, lagi bagus." Tuan Mikhail bersuara bersetuju.
"Tak naklah, Tuan. Nanti saya dilempang oleh Amanda lagi, sakit.." Mustika bersuara membantah.
"Janganlah pedulikan Amanda tu. Kamu belajar je dengan Tuan Raees. Cepatlah kamu pandai nanti." Mak Diva turut mencelah.
"Saya jamin Amanda tak akan berani buat apa-apa. Sumpah. Kalau kena serbu dengan JAIS pun waktu mengajar Mustika memandu di kawasan Bukit Senduduk sana, apa salahnya. Kahwin teruslah.." Raees berdehem kecil.
"Amboi.."Mustika menjeling geram.
"Aih, tiba-tiba je Raees bercakap pasal kahwin ni. Jarang-jarang berlaku.." Tuan Mikhail memandang aneh wajah anak lelakinya yang segak berbaju T-shirt putih.
"Dah sampai serulah tu.." Umi Mariam tersenyun penuh makna.
Mungkin Tuan Mikhail tidak menyedari, senyuman dan pandangan Raees Arjuna yang bersinar bahagia setiap kali menatap seraut wajah milik Mustika. Namun tidak bagi Umi Mariam, dia dapat melihat cinta yang mendalam dan semakin hari, pandangan mata Raees semakin bahagia.
"Saya tak nak kahwin dengan orang lain. Saya nak berkahwin dengan Mustika seorang saja. Orang lain saya tak nak.." Raees Arjuna menjungkit kening, wajahnya serius kali ini.
"Eh, ini luahan ke?" Mak Diva menyoal hairan.
"Kamu ni biar betul.." Tuan Mikhail memandang wajah Raees yang serius dan wajah Mustika yang tergamam silih berganti.
"Saya tak nak kahwin dulu!" Mustika tegas membantah, bibirnya mencebik geram.
"Kalau begitu, saya tunggu.." Raees Arjuna tersenyum nakal.
"Sampai ke tualah Tuan menunggu." Mustika lantas membalas.
"Sampai ke mati pun saya sanggup. Demi Haura Mustika, yang cerewet yang banyak songeh yang suka warna merah jambu yang suka makan udang yang suka buli Montel dan suka membuli dengan ikan keli.."
Raees Arjuna berhenti seketika.
"Ah, lupa. Satu lagi, suka tidur berdengkur.." Raees Arjuna ketawa kali ini dan wajah Mustika pula merah padam menahan malu.
"Suka hati oranglah tidur berdengkur. Dah, lepas ni saya tak nak lagi masak ayam goreng untuk Tuan Raees!" Mustika masam mencuka.
Gadis itu berlalu menuju ke dapur, kemudian membelok ke kiri menuju biliknya. Raees Arjuna menahan perut, kepalanya digelengkan lucu.
"Suka betul Tuan mengusik ya.." Umi Mariam hanya mampu tergelak kecil.
"Sekadar menghiburkan hati.." Raees menjamah cucur udang terakhir di atas meja sebelum berlalu ke dapur untuk mencuci tangan.
"Merajuk dah si Mustika." Mak Diva mengeluh kecil.
"Kali pertama saya tengok dia betul-betul merajuk ya. Si Raees ini memang suka menyakat.." Tuan Mikhail tersenyum kecil.
Sesekali hatinya berdetik.
Betulkah Raees mencintai Mustika?
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...