Bab 41 : Dua belas juta, dua belas nyawa!

31 4 0
                                    

"Engkau.."

Usman menunjal dahi Azman kasar tetapi  tangan Azman pantas menepis tangan lelaki itu. Matanya mencerlung tajam menikam wajah Usman yang merah padam. Tangan Usman dicengkam dan dipusingkan ke belakang, menyebabkan Usman terduduk di atas but keretanya sendiri. Suasana yang sepi mencengkam suasana di pinggir bukit yang sunyi, hanya  bunyi cengkerik bersahutan yang kedengaran selain desah nafas Usman yang menggelabah melihat Azman yang menyeringai marah.

"Kau janji satu nyawa dalam rumah itu satu juta, aku sudah habisi 12 nyawa dalam satu malam. Kau kena lunaskan baki untuk nyawa-nyawa itu.." Azman menjambak rambut Usman kasar.

"Kau sepatutnya bunuh Raees dan Teja.." Usman menepis tangan Azman, wajahnya jelas tidak berpuas hati.

"Kau tak beritahu aku, pembantu rumahnya semuanya berani mati demi majikan mereka. Ada yang pandai bersilat, budak-budak aku sampai cedera parah!" Azman menengking geram.

"Takkan kau kalah dengan perempuan? Pembantu rumah yang paling muda itu pun kau tak dapat bunuh. Lemah!" Usman bingkas bangkit berdiri, membuka but kereta dan mengeluarkan beberapa buah beg bagasi berwarna hitam.

"Bayaran kau semua dalam ni.." ujarnya lagi sambil membuka satu-persatu bagasi hitam di hadapannya.

"Cukup semua?" Azman menyoal ragu.

"Setakat 12 juta itu hanya di celah gigi aku. Cukup semua. Aku masih tak berpuas hati, engkau kalau tak dapat bunuh Raees, sekurang-kurangnya bunuh Mustika.." Usman mengeluh geram, sakit hati membayangkan wajah Mustika yang menampar pipi anak kesayangannya.

"Kenapa kau nak bunuh dia? Aku tengok budak tu polos, tak mampu nak buat apa-apa" Azman memandang wajah Usman dengan pandangan penuh tanda tanya.

"Dia ancaman baharu.." singkat sahaja jawapan Usman, rokok dikeluarkan dari kocek seluarnya.

Azman mengedipkan matanya beberapa kali. Ancaman apa yang Mustika boleh berikan kepada pewaris keluarga kaya ini? Apa urusan yang belum selesai antara mereka? Terbayang di ruang matanya wajah Mustika yang merah padam dan basah dengan air mata. Mata itu ikhlas dan jujur, tidak ada kepura-puraan. Gadis itu juga berani mati mempertahankan keluarga majikannya. Mustika, apa sebenarnya yang sedang berlaku?

"Ancaman apa yang boleh diberikan oleh seorang gadis biasa? Abaikan sahaja dia, fokuskan pada tujuan utama engkau yang nak merampas kuasa!" Azman tergelak sinis, lucu mendengar lelaki sekaya Usman takut kepada seorang gadis kampung seperti Mustika.

"Tak, Azman. Mustika bukan gadis yang engkau boleh abaikan begitu sahaja. Jangan memandang rendah kepada kemampuannya. Kau tahu, sekarang saham Teja Group dan Tuah Holdings sedang naik mendadak kerana gosip antara Raees Arjuna dan Mustika? Ini bermaksud ayah akan semakin menaruh harapan kepada Raees dan semua ini gara-gara Mustika.." Usman menendang batu-batu kecil di jalanan, melampiaskan amarah yang tersisa.

"Apa.." Azman terkesima seketika.

"Dia bukan gadis biasa. Dia bukan sekadar seorang pembantu rumah, kau lihat profil Mustika yang dikongsikan oleh Naib Canselor UAA, semua A+. Gadis itu pintar, Azman. Dia lulus temuduga kemasukan ke Universiti Antarabangsa Asia. Kau kena tahu, nak masuk universiti itu bukan mudah walaupun kalau kau anak raja sekalipun, belum tentu lulus. Anak aku sendiri gagal di fasa saringan pertama. Tapi Mustika? Lulus cemerlang dengan markah penuh!" Usman ketawa bagaikan hilang akal, sakit hatinya mengenangkan Mustika berhasil mengalahkan anaknya.

"Dia itu gila!" Usman menggeleng.

Azman terdiam, kelu lidah untuk berkata-kata. Mustika sehebat itu? Anak kandungnya sendiri?

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now