"Nah.."
Raees Arjuna meletakkan jambangan bunga tulip merah jambu, sekotak coklat bersaiz kertas A4 dan patung Boba berwarna merah jambu yang saiznya sebesar bantal peluk di atas meja dapur, tepat di hadapan Mustika yang sedang menyusun telur-telur yang baru sahaja dibeli ke dalam bekas telur. Mak Diva dan Umi Mariam turut melangkah mendekati meja dapur dan mengerling sesama sendiri saat menyedari hadiah yang berlonggok di atas meja.
"Apa ni?" Mustika memandang wajah Raees dengan pandangan aneh.
"Untuk awaklah.." Raees menjawab sambil meneguk segelas air putih di atas meja - sebenarnya air itu air Mustika.
"Kenapa beri saya semua ni?" Mustika melepaskan telur di tangannya, mengelap tangan dengan kain bersih di bahunya.
"Saja nak beri.." Raees tersenyum kecil.
"Biasanya, kalau pemuda memberi barang begini kepada si dara, ada makna di sebaliknya." Umi Mariam menjeling wajah Raees penuh makna.
"Tak adalah.." Raees tersengih lebar, telinganya sudah mulai kemerah-merahan menahan malu diusik oleh Umi Mariam.
"Tak apalah, Tuan Raees. Tuan ambillah semula semua barang ini, berilah kepada perempuan lain ya. Saya takut terhutang budi, Puan Teja dan Tuan Mikhail sudah terlalu baik kepada saya, inikan pula Tuan yang tiba-tiba memberi hadiah sebegini.." Mustika menolak dalam lembut, suaranya tegas.
"Ambil sajalah, ini memang untuk awak." Raees masih memaksa.
"Tak apalah, Tuan. Serba salah saya." Mustika juga masih berkeras, dahinya berkerut merenung wajah Raees.
Raees Arjuna menghela nafas yang panjang. Wajah putih kemerah-merahan milik Mustika ditatapnya geram, tidak pernah ada gadis lain ya yang mendapat hadiah seperti ini daripada dirinya tetapi Mustika pula, boleh pula menolak begitu sahaja. Memang keras hati gadis ini, sukar hendak dipecahkan benteng hatinya.
"Kalau awak tak ambil, saya potong gaji awak. Saya potong sekali gaji Mak Diva dan Umi Mariam." Raees sengaja bermain kata, ingin melihat reaksi Mustika.
"Eh, kami pula yang kena?" Mak Diva bersuara terkejut, lantas menyenggol Umi Mariam yang terkesima di sebelahnya.
"Tak adil begini, Tuan." Mustika mengetap bibirnya geram.
"Ambil hadiah tu." Raees nekad.
"Ya, dia ambil. Tuan jangan risau, saya akan pastikan dia ambil semua hadiah ini. Serahkan kepada Mak Diva Markonah!" Mak Diva bersuara yakin, tangannya sempat menepuk geram bahu Mustika yang masih berdiri terpaku di sudut meja.
"Okay, thats good." Raees tersenyum lebar.
"Main paksa pula dia.." Umi Mariam berbisik di telinga Mustika.
"Ambil sajalah Mustika, daripada kena potong gaji. Lagi pula, benda percuma, bukan kena bayar pun." Mak Diva menepuk lengan Mustika.
Perlahan-lahan, tangan Mustika mengambil sejambak bunga tulip berwarna merah jambu di atas meja dapur. Matanya memerhati bunga Tulip itu, mengingatkan dirinya kepada warna kesukaan dirinya ketika masih kecil dahulu - warna merah jambu. Arwah nenek sangat suka melayan minatnya sehingga orang tua itu membelikannya kasut, baju, buku, beg sekolah, kelip rambut dan tudung, semuanya berwarna merah jambu. Ah, rindu benar dia pada neneknya itu. Mustika menatap kertas kecil yang dilekatkan dalam jambangan bunga tulip. Di atas kertas itu ditulis dengan tulisan berangkai.
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga boleh kucari,
Mana nak sama Mustika seorang.-ikhlas dari Raees Arjuna.
"Cantik pantun.." Mustika bersuara memuji.
"Saya cuba saja. Saya bukan orang sastera dan bahasa, lainlah awak. Jangan gelak pula ya membaca pantun saya." Raees senyum meleret sebelum melangkah keluar dari dapur.
Sebaik sahaja kelibat Raees hilang, Mak Diva dan Umi Mariam berebut-rebut hendak membaca pantun di jambangan bunga. Kedua-duanya kelihatan teruja tetapi Mustika pula berasa lain- hatinya terasa terusik kerana dia sedia maklum pantun itu biasanya hanya orang yang sedang jatuh cinta akan menggunakannya untuk diberikan kepada orang yang disukai.
"Mustika, mak rasalah Tuan Raees ini sukakan kamu. Lain macam rasa hati ni." Mak Diva berwajah serius.
"Eh, aku rasa yang samalah." Umi Mariam turut mengiyakan.
"Perasaan je tu. Manakan mungkin enggang bersanding dengan pipit, jauh berbeza kasta kedua-duanya." Mustika masih cuba bersangka baik.
"Itu burung, ini manusia. Kasta atau darjat, itu nombor dua. Kalau hati dah berkenan, orang kata lautan api sanggup direnang. Tuan Mikhail dulu pun asalnya peladang sawit biasa, tetapi bertemu jodoh dengan usahawan wanita berjaya. Mustika, sebagaimana jauh kamu cuba menidakkan, kalau sudah tertulis di Luh Mahfuz, datanglah badai ribut melanda, akan bertemu jua jodoh yang ditakdirkan.." Umi Mariam separuh berceramah, cuba menyedarkan sebuah hakikat kehidupan kepada Mustika yang masih berdarah muda.
"Matilah saya kalau Tuan Raees sukakan saya. Silap hari bulan, kena culik dan bunuh." Mustika tergelak kecil.
"Kenapa pulak?" Mak Diva mengerutkan dahi.
"Amanda tu, nak letak mana? Silap hari bulan, dia upah orang bunuh saya kalau melihat betapa kemaruknya dia menyukai Tuan Raees Arjuna." Mustika menggeleng perlahan.
"Alah Amanda tu, aku jentik terus pengsan budak tu." Mak Diva mendabik dada.
Mustika hanya tergelak melihat telatah Mak Diva. Di dalam hatinya, hanya Tuhan yang tahu betapa dia takut terjerat kasih dengan anak majikannya sendiri. Dia takut mengkhianati kepercayaan yang diberikan Puan Teja dan Tuan Mikhail. Dia takut suatu hari nanti, jika Raees Arjuna melukakan hatinya sebagaimana ayahnya dan ibunya - melukai hati Mustika.
Mustika takut.
Dia hanya ada Tuhan ketika ini.
Semoga semuanya baik-baik saja.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...