Bab 38 : Keluarga kecil Ain Larissa

26 4 0
                                    

Ain Larissa membelek gambar-gambar yang tersebar di media sosial; gambar Raees Arjuna dan Haura Mustika. Artikel yang menerbitkan berita tentang pasangan hangat itu juga semuanya dibaca. Wajah Mustika yang putih kemerah-merahan terserlah di dalam gambar yang dimuat naik oleh portal-portal berita. Dia tidak menafikan bahawa gadis itu mempunyai auranya yang tersendiri. Aura polos namun berbisa -matanya bundar teliti memerhati sesiapa pun yang ada di hadapannya, seperti ketika gadis itu berdiam diri memerhatinya Ain Larissa di butik tempoh hari. Keputusan SPM dan STPM Mustika juga membuatkan internet gempar, apa boleh wujud ya gadis yang bijak dan cantik dalam masa yang sama? Selalunya gadis cantik kurang cerdik, macam dirinya sendiri yang gagal dalam SPM. Mujur juga cantik, kalau tidak, entah apa nasibnya. Bau aroma kopi yang baru sahaja dibancuh membuatkan matanya menoleh ke dapur, sesosok tubuh kurus dan tinggi kelihatan sedang meneguk kopi di dalam cawan. Ain mengeluh kecil, setelah hampir dua minggu dia tidak melihat suaminya di rumah, baru hari ini dia berkesempatan menatap wajah suami sendiri.

"Daddy.." Arissa memeluk kaki ayahnya.

"Anak daddy.." Rahman menunduk, anaknya yang manja itu dipeluk dan didukung.

"Lama tak balik.." Ain menyalami tangan suaminya, senyuman manis terukir di bibir.

"Banyak kerja dekat set." Rahman melabuhkan punggung di atas sofa, di sebelah isteri keduanya. Arissa melepaskan diri dari dukungan si ayah kemudian berlari terkedek-kedek menuju ke arah adik lelakinya yang sedang khusyuk menyusun huruf-huruf di atas lantai bersama pengasuh.

"Abang balik rumah kak Ema ke? Ain dengar hari tu, dia tak sihat.." Ain menyoal prihatin.

"Adalah balik sehari dua. Balik ke sana pun sebab nak tengok anak-anak, kalau emaknya tu, dah tak nak melayan abang sangat. Di sana, Mak Mah je yang melayan makan minum abang.." Rahman tergelak kecil membayangkan layanan isteri pertamanya yang dingin dan tidak seperti dahulu.

"Cubalah lagi berbaik.." Ain juga ikut bimbang, rasa serba salahnya kerana menjadi orang ketiga dalam hubungan madunya itu sentiasa menghantui diri.

Rahman Uwais, sesosok produser filem terkenal yang selalu terlibat dengan cinta lokasi di set penggambaran filem. Cuma sewaktu itu, tidak ada yang memaklumkan kepada isteri pertamanya. Banyak juga pelakon cantik yang menjadi simpanannya, bahkan ada beberapa yang sudah menjadi bintang terkenal sekarang. Cuma Ain Larissa sahaja, kesnya agak berbeza. Bercinta tidak, berkawan pun tidak, entah bagaimana boleh ditangkap basah hanya kerana mereka berdua menunggu di dalam bilik hotel yang menjadi set penggambaran filem? Ketika itu, semua kru filem yang lain berehat di lobi dan Ain masih menukar baju di dalam bilik mandi, ingin menyusul ke lobi. Tiba-tiba sahaja diserbu oleh segerombolan lelaki berkopiah dan Rahman yang masih mengemas peralatan kamera terkedu. Pintu bilik air dibuka dan Ain yang hanya sempat menyambar tuala, dia juga terkejut besar.

Dan bagaikan bom, berita tersebar!

Sudah terlajak semuanya, Ain Larissa terpaksa dikahwini kerana orang tua gadis itu menuntut tanggungjawab atas nama baik anaknya yang sudah tercemar. Bukan sahaja tercemar, bahkan putus hubungan dengan kekasihnya di ambang hendak mengikat tali pertunangan. Selepas berkahwin, Rahman dan Ain belajar menerima antara satu sama lain. Satu sahaja Rahman boleh katakan tentang Ain Larissa, dia isteri yang taatkan suami.

"Ain, nanti simpan baju abang dalam beg ya. Mungkin hujung minggu ini abang ke luar negeri, ada babak yang perlu diselesaikan di sana." Rahman memegang tangan isterinya lembut.

"Jadi esok dan lusa abang masih di sinilah? Arjuna dan Arissa rindukan daddy mereka. Setiap hari tanya.." Ain tersenyum kecil, kepalanya dilentokkan ke bahu suaminya.

"Abang pun rindukan mereka.."

Rahman memandang anak lelakinya yang baru berusia setahun yang sedang terkedek-kedek berjalan menuju ke arah si kakak. Arjuna, segaris nama yang dipilih isterinya dan Rahman juga tahu, itu adalah nama bekas kekasih Ain. Agak sakit juga hatinya mendengar nama itu yang dipilih tetapi kerana ingin menggembirakan hati isteri keduanya, dia pasrah. Yang pasti Arjuna adalah anaknya, bukan anak orang lain.

"Tahu tak gosip hot sekarang?" Rahman cuba membuka topik.

"Apa?" Ain mengerutkan dahi.

"Raees Arjuna dan Haura Mustika." Rahman menghela nafas yang panjang menyebut nama bekas kekasih isterinya itu.

"Ohh.." Ain hanya tersenyum kecil.

"Semua orang sedang bercakap pasal mereka. Stesen televisyen menghubungi Raees untuk podcast dan variety show tetapi ditolak. Betul-betul susah ya hendak berurusan dengan dia." Rahman menggeleng-gelengkan kepalanya yang pening.

"Biarlah dia. Tak penting." Ain memeluk lengan suaminya.

"Mustika itu pula bagaikan asap, entah di mana dia tinggal dan asal usulnya. Anehnya, semua orang tak dapat akses maklumat tentang dia kecuali hubungan dia dengan Raees dan profil keputusan peperiksaan yang fuh,  genius! Mesti keluarga Tan Sri Tuah melindungi semua maklumat tentang dia.." Rahman memandang wajah isterinya penuh tanda tanya.

"Bagi orang seperti mereka, privasi itu penting. Ancaman di mana-mana. Sudahlah bang, kenapa kita nak bercakap tentang mereka? Cukup kita hanya fokus kepada kisah kita sendiri.." Ain Larissa menatap anak mata Rahman, tangan suaminya itu digenggam.

"Betul juga kan.." Rahman mengucup dahi Ain, bahu isterinya dipaut mesra.

Ain Larissa memejamkan mata, menikmati pelukan suaminya yang sudah lama tidak dia rasakan. Dia sudah enggan terlibat dengan kisah cinta masa lalu, biarlah Raees Arjuna dengan hidupnya sendiri.

Cukup baginya suami dan anak-anak.

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now