Bab 65 : Akhirnya Karina

24 3 0
                                    

"Tak payahlahlah minta bantuan dia!"

Suara Kabil bergemar memenuhi rumah mewah tiga tingkat milik Datuk Kamal, yang dahulunya merupakan rumah yang didiami keluarga abangnya. Kabil mendengus kasar, sempat kakinya menendang pasu bunga di atas tangga sehingga pasu mahal kesayangan Datin Belinda itu pecah berdedai ke atas lantai. Datin Belinda yang masih nenyusun gubahan bunga di ruang tamu menggeleng-gelengkan kepala, menatap suaminya yang masih memicit kepala yang pening dan mendengar bunyi pasu pecah itu, Karina juga segera keluar dari bilik di tingkat atas. Beberapa orang pembantu rumah segera melangkahkan kaki ke dapur, enggan berlama-lama di ruang tamu saat melihat Kabil yang marah.

"Jangan sampai habis harta dalam rumah ni kau pecahkan. Kalau dah tahu diri tu salah, mengaku je lah.." Karina menuruni tangga dengan wajah bersahaja, tangan kanannya memegang telefon bimbit berwarna ungu.

"Sibuklah kau budak kecik.." Kabil menyeringai marah ke arah adiknya.

"Kecik-kecik aku, tak pernah lagi menggunakan duit syarikat sampai hanpir muflis.." Karina menyindir sinis.

"Jangan sampai aku tampar kau. Patutnya engkau tak pernah lahir dalam dunia ni.." Kabil geram melihat telatah adiknya.

"Apa boleh buat? Sekarang hanya aku yang dapat diharap oleh ayah dan mama. Walaupun aku perempuan, aku boleh bantu syarikat untuk bangkit semula kalau.." Karina berhenti sejenak.

"Kalau apa?" Kabil jelas tidak puas hati.

"Kalau ayah dapatkan bantuan dari Tan Sri Tuah. Dengan wang itu, aku boleh bantu ayah bangunkan semula Mutiara Group.." Karina bersuara yakin.

"Aku tak setuju! Lelaki tua itu penipu, sebenarnya dia nak merampas Mutiara Group dari kita. Semua syarat dia merapu!" Kabil mengamuk geram.

"Habis tu? Engkau nak biar je syarikat kita tenggelam tak timbul-timbul sebab perangai kau? Aku tak nak jatuh miskin.." Karina mencebikkan bibirnya.

"Sudahlah bergaduh tu.." Datin Belinda menghela nafas yang panjang, memang kalau Kabil dan Karina bertemu, tak pernah nak berbaik. Tak sah kalau tak bergaduh!

"Kami sudah berbincang dengan Tan Sri Tuah. Dia bersetuju untuk membantu kita tetapi bersyarat.." Datuk Kamal melabuhkan punggung di atas sofa, di sebelah isterinya.

"Syarat apa?" Datin Belinda mengerutkan dahi.

Datuk Kamal menyerahkan fail berisi dokumen kepada isterinya dan setelah membaca dokumen di dalam fail tersebut, dahi Datin Belinda berkerut seribu. Wajah suaminya dipandang dengan pandangan sayu, jelas sedang tersepit antara dua pilihan yang mampu memberikan kesan jangka panjang kepada keluarga dan syarikat mereka. Melihat kedua-dua mama dan ayahnya yang hanya mendiamkan diri, Karina segera mengambil fail di tangan ibunya dan menelaah satu-persatu surat perjanjian yang dikepilkan oleh Tan Sri Tuah. Karina hanya tersenyum sinis sebelum melemparkan fail itu kepada Kabil.

"Ini semua sebab kaulah.." ujar Karina geram.

"Sudahlah.." Datuk Kamal melarang, wajahnya sudah merah padam kerana pening memikirkan masalah anak-anak dan masalah syarikat.

"Terima sajalah tawaran tu, ayah. Daripada syarikat muflis dan kita kehilangan semuanya. Saya rasa Azman taklah sekejam itu nak balas dendam kepada keluarga kita sebab bagaimanapun, hanya kitalah keluarga yang dia ada. Kalau Tan Sri Tuah nak bantu dia, lagi bagus. Benda yang lepas janganlah dikenang, kita mulakan hidup baru.." Karina melabuhkan punggung di sebelah kiri ayahnya, memujuk orang tua itu agar bersetuju dengannya.

"Hei, kau ingat Azman tu baik sangat ke nak biarkan kita hidup tenang? Kita dah hancurkan hidup dia, tahu tak? Kau apa tahu, waktu kejadian itu berlaku, kau tak wujud lagi di dunia ni. Belum lahir lagi.." Kabil menyeringai geram.

Benar. Karina belum wujud lagi di dunia ketika kejadian itu berlaku. Ketika itu, hanya Kabil satu-satunya anak yang dipunyai oleh Datuk Kamal dan Datin Belinda. Setelah Kabil meningkat remaja dan menjejak usia dewasa, Datuk Kamal menginginkan anak perempuan di dalam keluarga kecilnya. Maka berjuta-juta wang dihabiskan untuk sesi rawatan kesuburan sehinggalah Datin Belinda disahkan hamil anak kedua di usia yang agak senja. Seorang anak perempuan dilahirkan dan diberikan segaris nama -Karina Karmila, segaris nama yang indah pilihan Datuk Kamal untuk puteri kesayangannya. Dan anehnya, Kabil tidak pernah menyukai kehadiran Karina sehingga dua adik-beradik itu tidak pernah akur antara satu sama lain bahkan pernah sampai ke tahap Kabil menganggap adiknya itu tidak pernah wujud di dunia, maka Karina yang hanya dibiarkan bersama pengasuh di rumah sejak kecil sehingga gadis itu membesar dengan ketagihan kronik terhadap dunia media sosial. Baginya, itulah dunianya dan disitulah dia menagih perhatian yang tidak didapati di dunia nyata.

"Ayah, terima sajalah. Daripada syarikat melingkup, Karina tak nak merempat bawah jambatan.." Karina memaksa ayahnya bersetuju.

"Degil betul!" Kabil mendengus geram, sakit hati melihat adiknya cuba meyakinkan si ayah.

"Abang, mungkin betul kata Karina. Azman mungkin tak akan berlaku kejam kepada kita. Dulu juga dia baik dengan abang kan? Dia rapat dengan abang dan selalu ikut abang uruskan bisnes. Saya rasa dia takkan menzalimi keluarga kita.." Datin Belinda kelihatan berfikir seketika.

"Ini bukan masalah Azman sahaja sebenarnya, Belinda. Anak perempuannya juga akan ikut serta masuk ke dalam Mutiara Group. Abang sudah selidiki tentang anaknya, Haura Mustika. Budak bijak tu. Kalau dibiarkan, tak mustahil dia mengambil alih Mutiara Group memandangkan Kabil sudah tiada di sana.." Datuk Kamal merenung siling rumah, fikirannya mengelamun seketika.

"Mustika kan kekasih Raees Arjuna. Takkan ayah tak tahu? Sudah kecoh satu negara. Gadis bijak dan cantik, lengkap pakej.." nada suara Karina agak cemburu.

"Itu kekuatan dia kerana dua kuasa besar bisnes ada di belakang dia, Tuah Holdings dan Teja Group. Kita tak boleh nak perlakukan dia sesuka hati.." Datuk Kamal mengerutkan dahinya lagi, entah untuk keberapa kali.

"Oh sekarang ayah nak biarkan Azman pula ambik alih syarikat? Kabil pula dibiarkan? Ayah memang pentingkan diri sendiri.." Kabil memandang ayahnya dengan tatapan tajam.

"Kau memang laki tak guna. Jangan masuk campur urusan syarikat lagi, bukannya membantu tetapi memusnahkan. Habiskan duit saja kau tau!" Karina jelas berasa jengkel.

"Diamlah kecik!" Kabil menjeling sakit hati.

"Sudah. Pening ayah dengar kamu berdua bergaduh. Kabil, kamu terpaksa berkorban kali ini untuk kelangsungan syarikat. Ayah juga terpaksa korbankan saham bahagian ayah kepada Azman dan 5% daripada 15% saham mama kamu, akan diberikan kepada Tan Sri Tuah. Semua ini ayah lakukan bukan untuk diri ayah, tetapi untuk keluarga kita dan syarikat kita sendiri. Kalau kamu tak buat onar, semua ini takkan berlaku.." Datuk Kamal memandang wajah anak lelakinya serius, suaranya tegas dan berbaur geram.

"Ayah! Mana adil?" Kabil mengeluh berat.

"Anggaplah ini hukuman untuk kamu. Apabila Azman memegang majoriti saham milik ayah, ini bermakna boleh dikatakan syarikat itu kepunyaan dia. Maka kita hanya meneruskan sahaja dengan ihsannya. Saham ibu kamu dan 5% milik Karina yang akan mengekalkan kita dalam kepemilikan syarikat. Saham kamu sudah tak ada, kan kamu sudah jual kepada Datuk Merais. Maka ini sahajalah yang tinggal untuk kita. Karina akan masuk ke syarikat , memegang posisi yang sama dengan Mustika sekaligus membantu mengawasi tindak-tanduk Azman."

Karina bersorak mendengar kata-kata ayahnya. Tubuh ayahnya dipeluk gembira, akhirnya ayahnya membenarkan dia menceburkan diri ke dalam perniagaan syarikat. 

"Boleh harap ke budak ni?" Kabil ketawa sinis sambil menjeling ke arah Karina.

"Jeles.." ujar Karina sambil mencebik bibir.

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now