Raees Arjuna sedang menyemak fail-fail berkenaan dengan projek ladang sawit negeri Semantan. Di hadapannya, beberapa orang pekerja syarikat Teja Group sedang duduk bermesyuarat. Malik di sebelah kanannya sedang menaip minit mesyuarat, meneliti setiap agenda yang dibincangkan.
"Manisah, beli baja sawit dari Nazri Agrilculture dan hantarkan ke sana. Jangan ambik stok dari MD Agro lagi, harga sengaja dinaikkan dua kali ganda. Takut nanti terganggu kos yang sudah dirancang.." Raees tegas memberikan arahan.
"Tapi kita dah lama ambik stok dari mereka, Tuan. Lagi pula, saya takut timbul isu lain pula nanti sebab tauke MD Agro kan kawan Tuan Yusuf.." Manisah kelihatan teragak-agak.
"Let it be.. I don't care.." Raees terus menyelak beberapa halaman dokumen di hadapannya.
"Baiklah.." Manisah hanya menurut.
"Oh ya, Luqman. Bagaimana pekerja-pekerja di sana? Semua berjalan lancar?" Raees menyoal Luqman yang memakai kaca mata hitam di dalam bilik berpenghawa dingin, mungkin memang gayanya begitu.
"Alhamdulillah, semua okay. Cuma.." Luqman diam seketika.
"Cuma apa?" Raees menatap wajah Luqman ingin tahu.
"Ramai pekerja diganggu oleh beberapa orang samseng upahan, entah siapa yang mengupah. Diugut untuk dicederakan sekiranya tak berhenti kerja." Luqman mengeluh berat.
"Api dalam sekam.." Raees ketawa kecil.
"Huh?" Luqman menjungkit kening.
"Teruskan.." Raees masih fokus.
"Ada beberapa orang jugalah yang terpengaruh dan berhenti kerja setakat ini" ujar Luqman agak bimbang.
Raees mengangguk perlahan, memahami sudah pasti ini adalah angkara ayah saudaranya sendiri, Yusuf yang tidak berpuas hati syarikat mengambil pekerja tempatan. Dasar manusia tak sedar diri, sudahlah menumpang kekayaan Tan Sri Tuah, boleh pula dia membuat kacau dalam projek besar ini.
"Jangan bimbang. Akan segera diatasi. Jalankan saja tugas macam biasa. Orang pengecut memang akan membaling batu, sembunyi tangan." Raees hanya tersenyum kecil sebelum tangannya membelek dokumen yang lain, di dalam fail berwarna hitam.
"Awak sudah uruskan bahagian peralatan untuk menuai sawit yang sudah ditempah? Alat penyebar baja, Spreader, Crawler.." Raees menyoal lagi.
"Tinggal tunggu barang sampai je lagi, Tuan. Minggu lepas, ada beberapa barang yang sampai. Mesin penuai bermotor dan jentera beroda tiga." Luqman menjawab serius.
"Baguslah.." Raees mengeluh lega.
"Rumah untuk pekerja pun sudah dibaik pulih sebab hari tu ada atap yang terbang terkena angin kuat." Luqman memberitahu lagi.
"InsyaaAllah nanti saya sendiri akan ke sana. Cuma bila masanya tu saya tak dapat pastikan." Raees menyandarkan belakang pada kerusi, ingin memastikan projek sawit Semantan berjalan lancar.
Namun tanpa dia sedari, Luqman mulai bimbang dengan niat Raees Arjuna. Habislah dia jika rahsianya terbongkar bahawa sebenarnya Yusuf telah membayarnya sejumlah wang yang besar untuk melakukan khianat kepada pekerja di ladang sawit semantan termasuklah menahan gaji mereka serta mengugut pekerja agar segera berhenti bekerja di situ.
Luqman menelan air liur.
Matilah!
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...