Bab 22 : Rasa yang mula bertakhta

33 4 0
                                    

Tawa memenuhi segenap ruang rumah agam di tengah-tengah kota itu. Wajah Raees Arjuna merah padam, bibirnya hanya mampu diketap geram. Usai sahaja makan malam, mereka semua termasuk pembantu-pembantu rumah duduk bersantai di ruang tamu. Semuanya baik-baik sahaja sehinggalah Mak Diva membuka cerita kisah pagi tadi. Sudah tentu kisah si ikan keli. Dan sudah tentu Tuan Mikhail dan Puan Teja merupakan antara yang paling kuat mengetawakan dirinya.

"Apalah anak jantan dengan ikan keli pun takut. Malu dengan Mustika." Tuan Mikhail menggeleng-gelengkan kepala.

"Ayah.." Raees mengeluh kecil.

"Muka kacak bergaya, gagah perkasa tapi takut dengan ikan keli. Lucu betul anak ibu." Puan Teja menghabiskan sisa tawa yang berbaki.

"Sudahlah puan, kasihan Tuan Raees." Mak Seri menahan senyum, baju Raees diurutnya lembut.

Muka Raees Arjuna mencuka, begini rupanya rasa malu kerana kalah dengan seorang perempuan. Dia merasakan harga dirinya sebagai seorang lelaki jatuh merudum di hadapan Mustika dan gadis itu pula, boleh pula dia dengan selambanya menangkap ikan keli dengan kedua-dua belah tangan begitu sahaja. Dia memandang wajah Mustika yang menahan perut sambil ketawa. Seronoklah dia gelakkan orang, hati Raees berbisik geram.

"Saya rasa mungkin sebab Tuan Raees tak terbiasa. Dia pun bukannya dibesarkan di kampung macam kita.." Umi Mariam cuba meneka.

"Kalaulah saya dapat balik kampung, memang saya nak ajak Tuan Raees sekali. Kampung saya sangat indah. Dulu, waktu arwah nenek masih ada, selalu juga saya ikut dia menangkap ikan di sungai dan di bendang." Mustika tersenyum, rasa rindu pula kepada kampung halamannya.

"Buat sementara waktu, janganlah dulu balik ke sana. Bahaya untuk kamu, Mustika!" Puan Teja berubah riak, wajahnya jelas kelihatan bimbang.

"Tahu.." Mustika membalas sepatah.

"Lebih baik kamu fokus belajar je, Mustika. Sambil kerja di sini, sambil tu juga kamu sambung pengajian." Mak Seri turut menambah.

"Bercakap tentang pengajian, saya akan tanggung yuran pengajian kamu ya. Nanti saya minta Raees tolong isikan maklumat dalam portal Universiti Antarabangsa Asia. Mana tahu kamu diterima masuk?"

Puan Teja membelai lembut bahu Mustika yang duduk di atas lantai, dan gadis muda itu selesa menyandarkan tubuhnya pada kaki Puan Teja.
Di sebelah kiri Puan Teja, Mak Seri setia menemani, duduk di atas sofa sambil tangannya membetulkan rambut Raees yang kelihatan agak kusut. Mak Diva, Umi Mariam, Kak Timah dan Kak Eja pula seronok berborak dengan Tuan Mikhail sambil tangan masing-masing menjamah kudapan cucur udang di dalam pinggan. Raees Arjuna memerhati Mustika yang  mendiamkan diri dan gadis itu hanya memejamkan mata ketika Puan Teja membelai kepalanya.

"Amboi ibu, manja sungguh ya!" Raees menegur lembut, bibirnya tersenyum lebar.

"Siapa?" Puan Teja bingung.

"Ibu bukan main lagi ya manjakan Mustika. Dengan Raees tak ada pun nak belai-belai manja. Hmm mampu bermanja dengan Mak Seri sajalah ni." Raees memeluk lengan Mak Seri, menyebabkan orang tua bertudung putih itu ketawa kecil.

"Cemburulah tu.." Puan Teja tergelak, sempat tangannya mencubit lengan Raees Arjuna.

"Maaf, tak perasan saya tersandar pula.." Mustika tersenyum kelat, segera duduk di atas sofa dan sempat mencuri pandang ke arah Raees yang sedang tersenyum lebar.

"Eh, tak apa.." Puan Teja mengeluh kecil.

"Nanti Raees bantu Mustika ya. Saya kalau boleh, nak sangat Mustika belajar di UAA. Itu universiti terbaik Asia Tenggara. Keluarga kita hampir semua belajar di sana, dalam apa jua bidang yang ditawarkan." Puan Teja masih lagi berkeras, wajah Raees dan Mustika dipandang silih berganti.

"Sistem pendidikan di sana teratur, tenaga pengajar juga lulusan terbaik dari seluruh dunia. Tidak rugi melabur untuk belajar di sana." Tuan Mikhail mencelah.

"Di sana ada bidang bahasa ke?" Mustika menyoal ingin tahu.

"Ada. Fakulti bahasa dan komunikasi, salah satu fakulti paling popular di UAA." Raees menjawab pantas.

"Kenapa popular?" Dahi Mustika berkerut.

"Fakulti sasaran jejaka-jejaka UAA, sebab gadis di fakulti itu semuanya cantik-cantik.." Raees memeguk kopi di dalam cawan.

"Huh?" Mustika terdiam.

"Kalau Mustika masuk ke sana, bertambahlah sasaran jejaka sebab Mustika pun cantik. Gadis macam Mustika ini kecantikan dia lain dari yang lain, berbeza. Mesti ramai yang jatuh hati.." Kak Eja bersuara yakin.

"Eh, mana adalah?" Mustika menahan malu.

"Itu aku setuju. Kau tahu, setiap kali aku bawa dia beli barang ke pasar, nah begini.." Mak Diva membeliakkan matanya dengan kedua-dua belah tangan dan kemudian menyambung ayat yang tergendala.

"terbeliak mata lelaki-lelaki di luar sana. Tak kurang juga ada yang minta nombor telefon dia, aku cepat-cepat tarik tangan Mustika. Takut aku, kalau diletak minyak dagu, habislah nanti. Aku selalu juga dapat barang percuma sebab ada banyak peminat dia yang beri.." Mak Diva bersimpuh, sesekali bibirnya yang merah sampai senget kerana khusyuk bercerita.

"Bunga mawar merah pun ada kan." Mak Seri juga tahu, wajah Mustika yang sudah kemerah-merahan membuatnya lucu.

"Mustika memang cantik, kali pertama saya tengok dia, saya merasa seperti melihat Teja saya ketika masih muda. Menawan." Tuan Mikhail meluah jujur.

"Oh jadi sekarang dah tak menawan?" Puan Teja berdehem seketika.

"Oh sekarang yang paling menawan." Tuan Mikhail bingkas bangkit dari sofa, tubuh langsing isterinya dipeluk erat.

Kedengaran tawa pecah lagi mengisi suasana. Namun tiada yang tahu ada yang memendam rasa. Hati Raees Arjuna tidak tenang, seakan-akan mahu pecah dadanya mendengar ada lelaki yang cuba memikat hati Haura Mustika. Bagaimana dengan perasaannya sendiri ketika ini, adakah sekadar suka atau ada rasa cinta yang mula berputik? Raees sendiri keliru. Yang pasti dia sudah mulai rasa cemburu.

Mustika.

Istimewa di hati seorang Raees Arjuna.

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now