Munah yang sedang mengait beg sandang sebentar tadi terkejut apabila tangan kanannya ditarik oleh Salmah, salah seorang sahabatnya yang juga merangkap teman sebiliknya di Rumah Nur Zahra, sebuah pusat rawatan untuk golongan wanita yang ingin pulih dari belenggu dadah di Kampung Pedada. Tangan Salman ditudingkan ke arah siaran televisyen dan di situ, hati Munah tersentak ketika melihat wajah suaminya dan anak tunggalnya, Mustika. Anehnya, sesosok Azman yang dilihat di layar kaca itu jauh berbeza dengan Azman yang dikenal sebagai suaminya. Anaknya pula masih sama seperti dahulu namun jauh lebih cantik dan lebih rapi gaya penampilannya. Terasa panas tubir matanya, rindu terhadap anak perempuannya sudah lama tersimpan di hati.
"Kau tak beritahu pun suami kau orang kaya. Kau tengoklah Munah, bekas suami kau pewaris orang kaya. Maknanya anak engkau pun sama.." Salmah bersuara teruja, pandangan matanya tidak berkelip memandang ke arah televisyen.
"Haah. Untunglah ya lepas ni senang hidup kau, tak perlulah kau stres lagi sebab Tuan Iskandar desak kau pasal hutang bekas suami kau dulu.." Kasih, perempuan yang bertudung hitam menepuk bahu Munah dengan lembut.
"Aku tak tahu pun pasal semua ni. Aku sendiri pun terkejut.." Munah mengerutkan dahinya hairan.
"Yalah, semua orang ingat suami kau dulu anak lelaki Pak Nordin dan Mak Siah. Dulu kan orang tua dua orang tu kerja di bandar dengan orang kaya.." Salmah menjungkit kening.
"Anak majikan merekalah, Mah. Kalau berita ni tak keluar, aku pun tak tahu. Apa rancangan engkau sekarang, Munah? Kau pun dah sah bercerai dengan Azman, walaupun tiga kali sidang di mahkamah bekas suami kau tak hadir sebab menghilang entah ke mana. Mujur kau ada anak dengan dia. Sekarang Mustika adalah waris tunggal Mutiara Group yang nak muflis dah, itu pun kalau anak engkau berminat nak ambil alih.." Kasih memandang wajah Munah seakan-akan menanti jawapan.
"Biarlah aku di sini saja. Aku tak nak menganggu Mustika, dah cukup selama ni aku menyusahkan dia. Kalau Azman sudah berubah dan nak menjaga Mustika, alhamdulillah.." Munah melabuhkan punggung di atas kerusi di bahagian ruang menonton.
"Kau tak rindu anak kau ke?" Salmah turut duduk di sebelah Munah, wajah sahabatnya itu dipandang hairan.
"Mak mana tak rindu anak? Cuma aku rasa tak layak nak ada di sisi dia sekarang. Kau lihatlah dia, sudah lain dari dulu." Munah memerhati wajah anak perempuannya di dalam televisyen.
"Jumpalah anak kau, Munah. Kalau dia boleh maafkan Azman, takkan engkau pula, orang melahirkan dia ke dunia ini, dia abaikan saja? Aku tahu Mustika tu anak yang baik.." Salmah masih cuba meyakinkan Munah.
"Tak nak.." Munah tersenyum hambar.
"Tengok, cara kau tersenyum pun sama dengan Mustika. Kalau engkau tak kahwin dengan Azman, dia tak ada anak secantik Mustika. Sekarang pun, kecantikan engkau masih tak ada tara di kampung kita ni. Kalau tak, takkanlah setiap minggu Tuan Iskandar datang ke mari nak memujuk engkau jadi bini nombor empat dia" Salmah ketawa mengekeh mengenangkan Tuan Iskandar.
"Tu tua tak sedar diri.." Munah menggumam geram, jengkel mendengar nama orang kaya tersebut.
"Eh panjang umur. Tu dia muncul!"!
Salmah menjuihkan bibir ke arah pintu utama Rumah Nur Zahra. Tuan Iskandar yang memakai kemeja berwarna biru petak-petak melemparkan senyum lebar kepada Munah. Seketika senyumnya mati setelah pandangan mata singgah pada wajah Salmah yang jelas mencebikkan bibir ke arahnya, geram melihat orang tua miang tak sedar diri itu. Munah menghela nafas yang panjang, malas sebenarnya hendak menatap muka Tuan Iskandar. Orang tua yang satu ini tidak pernah jemu memujuknya menjadi isteri keempat dan jika ditolak, pastilah perihal hutang suaminya dahulu akan diungkit dengan marah.
"Munah, aku dengar Azman tu sebenarnya orang kaya. Bolehlah bayar hutang aku lepas ni.." itu ayat pertama yang keluar dari mulut orang tua beruban putih itu.
"Tuan mintalah sendiri dengan dia.." Munah malas mahu bertekak.
"Tapi aku tak nak duit dia sebenarnya. Aku nak kau, Munah. Kau jual mahal sangat. Sekarang bila kau sudah tahu Azman tu orang kaya, kau nak kembali pada dia? Heh, jangan mimpilah. Ramai lagi gadis muda lebih cantik dari engkau di kota yang mahukan lelaki kaya seperti Azman.." Tuan Iskandar sengaja mencetuskan provokasi.
"Suka hati Azmanlah nak bercinta dengan siapa pun. Kami dah berpisah.." Munah bingkas bangkit dari duduknya.
"Kahwinlah dengan aku, Munah. Engkau akan dilimpahi harta dan wang. Kau nak apa, aku beri semuanya.." Tuan Iskandar cuba menghalang langkah Munah yang ingin segera beredar.
"Saya tak gelap mata dengan harta. Maaf. Dan lepaskan tangan saya.." Munah menjeling ke arah tangan kasar Tuan Iskandar yang mencengkam erat pergelangan tangannya.
"Eh, dulu engkau sampai jual badan untuk dapatkan dadah. Kau ingat kau perempuan mulia sangat ke? Dah cukup baik aku ada niat nak mengangkat darjat engkau menjadi isteri aku tetapi engkau sombong. Angkuh! Kau lupa yang dulu engkau hanya jalang murah!" Tuan Iskandar tersenyum nakal sambil matanya menjelajah ke seluruh tubuh Munah yang tertutup rapi dengan baju kurung.
"Orang tua tak sedar diri!"
PANG!
Salmah melayangkan penampar ke pipi kanan Tuan Iskandar. Keadaan menjadi kecoh seketika. Beberapa orang penghuni Rumah Nur Zahra cuba meleraikan cengkaman tangan Salmah pada tubuh Tuan Iskandar. Jelas wajah Tuan Iskandar menyeringai kesakitan dan cuba memukulkan tongkat kayunya ke arah Salmah namun tidak berhasil. Salmah jauh lebih tangkas menjambak rambut orang tua itu sehingga Tuan Iskandar tersungkur menyembah lantai.
"TAK GUNA KAU SALMAH!" Tuan Iskandar meraung marah.
"KAU YANG TAK GUNA!"
Salmah masih cuba menyerang Tuan Iskandar namun ditahan oleh Munah. Munah menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan, melihat keadaan Tuan Iskandar yang sudah tersungkur menyembah lantai, jika diserang lagi, sudah pasti orang tua itu boleh diserang sakit jantung kerana terkejut.
"Lain kali jaga kata-kata. Kadang-kadang nyawa boleh melayang sebab mulut. Kalau saya murahan, Tuan tu apa? Lelaki sundal? Yang tak cukup dengan seorang perempuan? Sedarlah diri sikit, Tuan sudah tua. Esok lusa boleh mati kalau diserang sakit jantung. Bawa-bawa bertaubat, nanti takut kena siksa kubur sebab buat khianat dan bermulut jahat.." Munah bersuara lantang, dalam nasihatnya bercampur sindiran pedas.
"Lelaki sundal!" Salmah meludah marah.
"Saya rasa lebih baik Tuan Iskandar balik je. Saya rasa cukuplah tiga orang isteri Tuan, tak perlu dah nak cari isteri keempat. Kalau tak, sahlah Tuan Iskandar ini lelaki sundal.." Kasih ketawa sinis.
Tuan Iskandar mencerlung tajam. Bimbang diserang lagi oleh Salmah yang sudah menumbuk dinding, laju sahaja dia bangkit berdiri dan membuka langkah. Wajahnya pucat lesi dan sebelum beredar, dia sempat menoleh ke arah Munah dan Salmah silih berganti.
"Apa? Kau nak penumbuk?"
Salmah menayangkan penumbuk. Munah ketawa kecil dan penghuni rumah Nur Zahra yang lain bersorak seolah-olah baru sahaja beroleh kemenangan. Salmah mendabik dadanya bangga.
"Biasalah, Salmah!" ujarnya dengan senyuman lebar.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...