Bab 4 : Sekelumit cahaya di kelam malam

45 7 3
                                    


Mustika mengangkat baldi-baldi berisi baju, melangkah penuh berhati-hati menuju ke ampaian di halaman rumah. Sebaik sahaja sampai di ampaian, kedua-dua buah baldi diletakkan di atas rumput yang menghijau. Dia menjemur pakaian yang sudah dibasuh penuh tertib, dan sesekali tangan kanannya menyentuh lebam di bahagian pipi sebelah kirinya. Terasa berdenyut-denyut dan dahi Mustika berkerut menahan sakit. Mustika hanya mampu berserah kepada Tuhan bagaimana untuk menentukan takdirnya. Sesekali dia terfikir untuk melarikan diri tetapi ke mana hendak ditujunya? Dia sebatang kara, hanya ibu dan ayah yang ada hubungan darah dengannya dan itu pun Mustika merasakan hidupnya bagaikan dalam neraka. Pagi tadi, awal subuh dinihari kedua-dua ibu dan ayahnya sudah berangkat entah ke mana.

"Mustika.."

Lamunan Mustika tersentak melihat sesosok gadis bertudung hitam melangkah menuju ke arahnya. Mustika kenal benar dengan gadis itu. Isma, anak Tuan Iskandar merangkap sahabat sekolahnya sendiri. Mustika kelihatan tercungap-cungap ketika berhenti tepat di hadapan Mustika.

"Kau gila ke?" Isma menyoal geram.

"Kenapa aku gila?" Mustika mengerutkan dahi.

"Kau sanggup jadi bini nombor empat bapak aku? Kau tahu tak orang tua tak sedar diri itu langsung tak boleh diharap? Mustika, aku sayang engkau. Aku tak nak engkau jadi mangsa bapak aku yang seterusnya." Isma memegang bahu Mustika dengan riak wajah bimbang.

"Aku tak ada pilihan.." Mustika menghela nafas yang panjang. Jika diberi pilihan, dia juga tidak ingin bersuamikan orang tua miang tak tahu diuntung itu tetapi apakan daya, kuasa bukan di tangannya.

"Mustika, aku tahu kau dijual oleh ibu dan ayah engkau. Satu kampung dah kecoh.." Isma cuba meyakinkan Mustika.

"Apa aku boleh buat, Isma? Kau tahu kan hidup aku ini bagaimana, setiap hari dihentam disepak terajang sudah menjadi kebiasaan aku." Mustika mencapai baju di dalam baldi, tangannya terus ligat menjemur baju di ampaian, hatinya sudah pasrah.

"Aku bantu kau.."

Sekali lagi, tangan Mustika terhenti mendengar ayat yang dituturkan oleh Isma.

"Aku bantu engkau keluar dari kampung ini. Engkau boleh lari dari cengkaman ibu dan ayah engkau." Isma menatap mata Mustika, menyalurkan sedikit kekuatan untuk sahabat sekelasnya itu.

"Maksud engkau.." Mustika mengerutkan dahi.

"Tinggalkan kampung ini. Mulakan hidup baru. Kerja di bandar dan capai impian engkau, Mustika. Gapai impian engkau untuk beraksi sebagai penyelidik bidang bahasa terkemuka dunia seperti yang engkau selalu ceritakan pada aku." Isma mengenggam erat tangan Mustika.

"Isma.." Tubir mata Mustika mulai bergenang.

"Hanya ini aku mampu buat untuk sahabat aku. Tolonglah, Mustika. Engkau kena kuat." Isma bersuara tegas.

Isma menatap penuh kasih wajah sahabatnya yang lebam kebiru-biruan. Mata Mustika nampak cengkung dan bengkak, seperti baru sahaja selepas menangis semalaman.

"Apa aku perlu buat?" Mustika menyoal ingin tahu.

"Aku akan bantu engkau lari sehari sebelum perkahwinan engkau, sebelah malam. Aku dah hubungi roomate aku. Dia akan tolong bawa engkau ke Kuala Lumpur dan engkau tinggal dulu di rumah sewa aku. Bawa semua sijil dan dokumen-dokumen penting. Boleh?" Isma menjelaskan perancangannya dengan teliti.

"InsyaaAllah.." Mustika mengangguk perlahan.

Mungkin.

Mungkin inilah peluang yang ditunggu-tunggu selama ini dan mungkin inilah suatu titik yang akan mengubah kisah hidupnya. Jika ini satu-satunya peluang yang ada, dia akan mengambil peluang ini untuk menggapai impiannya. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, jika kaum itu tidak berusaha untuk mengubah nasibnya sendiri

Mustika yakin kali ini.

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now