Beberapa kayu yang digunakan untuk memukul sasaran dilontarkan ke dinding. Sesosok lelaki bertubuh gempal sudah tidak sedarkan diri, darah membasahi seluruh tubuhnya. Membuak-buak darah merah memercik keluar dari mulut dan melihat situasi yang mengerikan itu, Azman tersenyum sinis. Beberapa orang suruhannya juga memerhati dingin, menunggu ajal menjemput lelaki bertubuh gempal yang sedang menghadap sakaratul maut. Azman mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar hitamnya, mengambil gambar mangsa yang sudah dipukul dan dibantai habis-habisan dan gambar itu dihantar kepada Jay, orang yang mengupah mereka untuk menghabisi lelaki yang tersadai tidak bermaya di hadapan mereka.
"Mati.." Azman ketawa sinis.
Dia membuka langkah bersama-sama orang suruhannya meninggalkan mayat si gempal begitu sahaja, tanpa rasa takut dan cemas. Azman kemudiannya menuju ke ATM yang tidak jauh dari lokasi mereka, mengeluarkan wang hasil bayaran upah dari Jay dan membahagikan wang sebanyak RM 5000 seorang kepada lima anak buahnya. Apabila semua anak buahnya sudah berlalu pergi, barulah dia mengeluarkan wang berjumlah Rm 25 000 miliknya seorang, mengipas-ngipaskan helaian wang kertas itu pada wajahnya sebelum menyimpan wang itu ke dalam beg sandang hitam. Dia kemudian melangkah menuju ke gerai makanan Islam di Pekan Sri Kenanga. Kerusi ditarik dan kemudian, pungguh dilabuhkan. Seperti biasa, teh tarik sejuk dan nasi goreng kampung menjadi pilihan hatinya. Asap rokok berkepul di udara dan Azman menikmati setiap hembusan rokok di bibirnya.
"Sirap bandung, bang."
Kedengaran suara seorang anak muda bercakap dengan pelayan kedai. Azman melihat anak muda yang masih lengkap berpakaian seragam sekolah menengah itu, tudungnya sedikit senget dan di belakang, beg sekolahnya yang berwarna ungu muda digalas dengan sepenuh tenaga. Ketika itu, pelayan kedai menghantar teh tarik sejuk dan nasi gorengnya. Pantas, itu yang Azman sukakan layanan kedai ini. Bukan sahaja sedap, tetapi layanan yang diberikan juga tip top!
"Bayarkan sekali untuk budak tu."
Azman menghulurkan not wang bernilai RM 50.00 dan dia menudingkan jari ke arah gadis muda yang masih berpakaian sekolah. Si pelayan mengangguk kecil, sebagai tanda memahami.
"Baik, bang."
Azman melihat gadis itu menyeka peluh di dahi, dan ketika itu kotak memorinya kembali berputar kepada anak gadis satu-satunya yang dia miliki. Haura Mustika. Sudah hampir setahun sejak anaknya itu melarikan diri dari kampung dan ini bermakna, sudah hampir setahun jugalah dirinya merantau ke tempat orang dan berhubung dengan Tauke Lim - lelaki tua yang banyak memperkenalkan Azman kepada klien yang kaya dan rakus. Dia tidak tahu sama ada kerana rasa serba salahnya kepada Mustika atau kerana rasa kemanusiaannya yang semakin menebal kerana melakukan kerja-kerja terkutuk menghabisi orang yang dimahukan oleh kliennya, setiap kali dia melihat gadis muda berbaju sekolah, hatinya terusik sayu dan bergetar hebat. Dia juga cuba mencari Mustika tetapi sampai sekarang, dia tidak menemui anaknya itu. Entah masih hidup atau mati?
"Mustika.."
Menyebut sahaja nama itu, hatinya dipukul rasa bersalah yang teramat. Sepanjang hampir setahun dia melakukan kerja jahat ini, rasa kemanusiaannya hampir mati. Hanya dengan mengingat Mustika sahaja dia merasa kembali menjadi seorang manusia yang tidak rakus dan hauskan darah. Ya, dia yang selalu menghabiskan nyawa manusia-manusia yang bermasalah dengan pihak-pihak tertentu bahkan tidak kurang golongan selebriti dan ahli perniagaan mendapatkan bantuannya. Kadang-kadang, dia lupa bahawa dirinya seorang manusia kerana dia tidak merasakan apa-apa ketika kedua-dua belah tangan sehingga seluruh tubuhnya berlumuran darah.
Ting!
Bunyi itu menandakan ada pesanan yang masuk di ruangan mesej telefon bimbitnya. Nama Tauke Lim terpapar di permukaan skrin. Mesej itu dibuka dan dibaca.
"Ada job baru. Kali ini harga juta-juta kalau you berjaya selesaikan. You hubungi nombor ini, Tuan Usman" Azman tersenyum sinis.
Segera dia menghubungi nombor itu.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
Roman d'amourSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...