Bunyi pisau bertemu dengan papan pemotong kayu menggemakan ruangan dapur. Kelihatan Mak Diva menyeka peluh di dahi sebelum mengesat peluh dengan tuala kecil di bahunya. Daging ayam yang tadinya besar sudah dipotong menjadi bahagian-bahagian kecil. Mustika menyiapkan bahan rempah untuk memerap daging ayam memandangkan hari ini, Tuan Raees Arjuna teringin hendak makan ayam goreng untuk sebelah malam. Mustika mencampur serbuk kunyit dan beberapa bahan yang lain. Dia turut mengambil serbuk ketumbar di dalam bekas kecil dan mencampurkannya bersama dengan bahan-bahan lain di dalam besen. Umi Mariam mengerutkan dahi melihat Mustika menggaul bahan untuk memerap ayam, ternyata gadis ini mempunyai resipi lain untuk memasak ayam goreng lain dari biasanya. Daging ayam mulai digaul bersama, tangannya ligat dan kelihatan sangat yakin dengan apa yang dilakukan. Di pintu dapur, Raees Arjuna sedang berdiri sambil menyandarkan tubuh pada pintu, matanya memerhati si gadis muda yang sedang fokus menyiapkan masakan di dapur.
"Kamu mesti sudah biasa memasak, nampak macam dah terbiasa ya. Resipi kamu juga nampak lain.." Umi Mariam menggapai tuala di atas meja dan membersihkan sisa serbuk kunyit yang melekat di meja.
"Resipi arwah nenek saya.." Mustika tersenyum kecil, matanya masih fokus dengan kerjanya sendiri.
"Kalaulah anak aku macam Mustika, senang hidup. Anak aku yang perempuan tu, memasak pun tak tahu.." Mak Diva bersuara geram, terdengar keluhan kecil di hujung suara.
"Biasalah tu, Mak Diva. Mungkin dia tak tahu memasak tapi rajin membantu kerja yang lain. Setiap orang kan ada kelebihan masing-masing.." Mustika membalas perlahan.
"Ya tak ya jugak. Anak aku rajin bantu aku berkebun, cuma mungkin dia tak minat memasak." Mak Diva kelihatan berfikir seketika.
"Perempuan zaman ini sudah banyak yang berjaya. Mereka bahkan mengalahkan lelaki dalam beberapa bidang di dunia. Kita sudah tidak boleh tunduk dengan lelaki hanya kerana kita seorang wanita, kerana tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia." Mustika menutup besen dengan penutup, membiarkan ayam diperap untuk tempoh masa lima belas minit.
"Hmm feminisme?" Umi Mariam menjungkit kening, sambil melabuhkan punggung di atas kerusi sebelah sinki.
"Bukan feminisme, Umi. Feminisme yang dilaungkan oleh aktivis-aktivis itu lain. Bahkan saya juga tidak bersetuju ketika dikatakan mereka menuntut kesetaraan gender dan meminta untuk larangan berpoligami dilaksanakan. Bagaimana mungkin kita boleh membincangkan semula hukum poligami yang dibenarkan di dalam agama Islam? Berpoligami itu jika mengikut sunnah nabi, pasti besar rahmatnya tetapi jika ikut nafsu, salahlah jadinya." Mustika menghela nafas yang panjang.
"Jadi feminisme itu salah?" Umi Mariam
kelihatan berfikir."Kena lihat semula kepada pendefinisian feminisme itu sendiri. Ada juga feminisme yang diterapkan dalam menulis karya-karya Islamik, yang menjadi masalah di sini ketika istilah feminisme itu dimaknakan mengikut acuan barat yang sama sekali menuntut perkara-perkara yang tidak munasabah. Tidak kurang juga yang bertopengkan Islam. Feminisme itu tidak salah, Umi. Yang salah bila ia disekularkan dan menampakkan seakan-akan Islam ini terlalu merendahkan wanita. Padahal, Islam adalah agama yang memartabatkan wanita sejak zaman jahiliyah.." Mustika memandang wajah Umi Maryam dan Mak Diva silih berganti dan menyedari kedua-dua wanita itu terkesima melihatnya.
"Hebat.." Mak Diva bertepuk tangan.
"Bagaimana pula dengan wanita yang menolak untuk berpoligami? Bolehkah.."
Suara dari arah pintu dapur mengejutkan mereka bertiga dan Mustika segera membetulkan apron yang senget, tangannya yang masih dipenuhi sisa serbuk kunyit segera dibasuh di sinki.
"Tuan Raees" Mak Diva tersengih lebar.
"Jawab soalan saya, Haura Mustika. Saya berminat nak tahu." Raees Arjuna melangkah menuju ke meja sebelum dia melabuhkan punggung di atas kerusi, sebelah Umi Mariam.
"Poligami dibenarkan dalam agama. Tetapi perempuan berhak juga memilih sama ada mahu memberikan kebenaran untuk poligami. Bagaimana jika setelah berkahwin lain, si suami tidak memberi nafkah lagi dan menzalimi isteri pertama? Maka menurut mufti, isteri boleh melarang suami untuk berpoligami. Ini boleh dirujuk dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Kalau saya, saya tidak mahu ada yang kedua. Selagi saya boleh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, mengapa perlu berkahwin lain?" Mustika menerangkan dengan serius, tidak ada rasa gentar di hatinya menjelaskan itu kepada Tuan Raees Arjuna.
"Betul. Kalau tak mampu berlaku adil, macam suami si Timah tu, tak ada gunanya juga." Mak Diva mengetap bibirnya geram.
"Kak Timah bermadu?" Mustika menyoal ingin tahu.
"Ya, suami dia kahwin lain dekat Siam. Sampai sekarang tak beri nafkah dekat si Timah dengan anak-anak.." Umi Mariam turut bersuara menjelaskan.
"Rumit juga ya tapi saya kagum, banyak juga yang Mustika tahu. Boleh jadi ustazah."Raees Arjuna mengangguk kecil, wajah Mustika diperhatinya serius.
"Saya suka membaca. Tuan, kalau hendak pandai, kena rajin membaca. Allah juga ada berpesan membacalah dalam surah al-Alaq bahkan Nabi Muhammad s.a.w dulu juga diajar oleh malaikat Jibril untuk membaca. Dan tentang poligami, saya membaca sebab dahulu saya hampir menjadi isteri keempat orang lain.." Mustika meraba bulu romanya yang meremang ketika mengingati hal itu semula.
"Ayah ada cerita." Raees membalas pendek.
"Nasib baik saya selamat.." Mustika menarik nafas lega, dadanya diurut perlahan.
Raees tersenyum melihat gelagat Mustika. Baru sebentar tadi dia kagum mendengar kehebatan gadis itu berhujah dan menjelaskan satu-persatu perkara, kini gadis itu membuatkan hatinya berasa lucu. Gadis di hadapannya ini tidak seperti kebanyakan gadis lain yang dikenalinya, tidak berpura-pura ayu di hadapannya dan jauh lebih penting, tidak ada ura-ura hendak menggoda seorang Raees Arjuna. Aura Haura Mustika tidak licik dan menggoda namun auranya menggambarkan sesosok gadis bijak yang polos dan bertatasusila. Sudah beberapa hari Raees memerhati gadis ini, setiap kali bertemu dirinya, gadis ini akan menundukkan kepala dan tidak kurang juga sanggup menggunakan pintu belakang, semata-mata tidak mahu bertembung mata dengan dirinya. Kadangkala, tingkah laki itu menimbulkan rasa lucu di hati Raees. Entah apa yang Mustika takutkan dari dirinya.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...