Mustika duduk di kerusi pemandu. Kereta Bezza berwarna biru kepunyaan pengawal keselamatan dipinjam seketika memandangkan Mustika tidak mahu belajar memandu menggunakan kereta Tesla kesayangan Raees Arjuna, takut terlanggar di mana-mana jadi terpaksalah Raees meminjam kereta lain. Berderu Bezza biru membelah lautan kereta di atas jalan sebentar tadi ketika dalam perjalanan menuju ke Bukit Senduduk. Kini posisi sudah beralih, Mustika duduk di tempat pemandu dan Raees duduk di sebelahnya.
"Bawa perlahan-lahan. Tekan minyak sedikit bila nak naik bukit dan bila turun bukit tekan brek.." Raees teliti memberikan arahan.
Mustika hanya akur, kereta itu kejap-kejap asyik berhenti kerana Mustika yang masih keliru. Apabila sampai di bahagian bukit, Mustika menekal pedal minyak namun ketika hampir sampai di atas bukit, kereta itu berundur ke belakang.
"TEKAN BREK!" Raees menjerit pantas.
Kaki Mustika hendak menekan brek namun tak sengaja tertekan pula pedal minyak, maka menderulah kereta itu berundur laju ke belakang. Dalam suasana panik, Raees menarik brek kecemasan di bahagian gear kereta. Mustika mengurut dadanya sendiri, jelas wajah putihnya pucat lesi kerana cemas dan takut dalam masa yang sama.
"Its okay. Kita cuba lagi, kali ini kita cuba bawa kereta area jalan yang rata dulu.." Raees cuba menenangkan Mustika yang sudah panik.
"Tarik nafas dan hembus."
Mustika hanya mengikut arahan Raees Arjuna, sambil memegang dadanya yang masih berdegup kencang. Raees memberikan isyarat untuk bermula semula, maka kaki kanannya menekan pedal minyak sedikit demi sedikit, stereng diputar mengikut tunjuk ajar Raees. Suasana kembali tenang dan Mustika fokus mendengar arahan Raees sehinggalah tiba semula di kawasan bukit.
"Okay, awak boleh buat. Saya yakin, cuba tekan pedal minyak dan jangan lepaskan sampailah kita naik atas bukit.."
Mustika mendengar arahan Raees, pedal minyak ditekan dan kereta Bezza biru naik ke atas bukit perlahan-lahan. Apabila sudah tiba di atas bukit, Mustika mengeluh lega. Kali ini percubaan naik ke bukit berhasil juga akhirnya. Semasa turun dari bukit, dia menekan brek perlahan-lahan, mengikut arahan guru memandu tidak bertauliah di sebelahnya yang kadang-kala menyakitkan hati kerana sempat mengusik ketika mengajar.
"Senang je kan. SPM semua A+, takkanlah belajar bawa kereta tak pandai.." Raees tergelak kecil.
"Tuan Raees Arjuna, belajar guna buku dengan belajar memandu ni, dua perkara yang berbeza tau. Belajar memandu ini bukan sahaja melibatkan ilmu pengetahuan tetapi juga melibatkan nyawa. Kalau saya terlanggar mana-mana kereta sewaktu belajar memandu, tak pasal-pasal nanti lain pula yang jadi." Mustika membidas geram.
"Alahai Mustika, saya bergurau. Awak ni kebelakangan ini, betul-betul sensitif ya. Macam nenek-nenek!" Raees Arjuna galak mengetawakan Mustika.
"Tuan tu yang suka menyakat. Ingat hati saya ni batu-bata ke? Hati saya ni pun adakalanya macam tisu, rapuh dan cepat koyak.." Mustika mendengus jengkel.
"Bukan hati tu organ ke?" Raees sengaja mengusik lagi.
"Malaslah nak layan." Mustika mengetap bibir.
"Yang penting, hati saya kepunyaan awak. Awak tahu tak saya dah jatuh hati? Awak tak rasa nak bertanggungjawab ke atas kesalahan mencuri hati saya? Kejamnya.." Raees Arjuna memegang bahagian dadanya, berpura-pura sakit kerana tidak dilayan oleh Mustika.
"Tuan jangan sampai saya langgar papan tanda kat depan tu.." Mustika bersuara mengugut.
"Okay.." Raees akur, bimbang juga dia kalau Mustika betul-betul melanggar papan tanda besar di bahagian bukit. Sudahlah kereta yang digunakan adalah kereta orang.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...