"Tak sangka engkau ni bijak. Bagus! Aku gandakan bayaran engkau, dan berikan aku semua informasi yang kau dapat dari rumah itu."
Usman ketawa jahat, selembar wang yang agak tebal dilemparkannya ke arah Azman. Azman yang sedang duduk di atas but kereta Proton Saga Putih terpakai yang dibelinya secara tunai, menyambut wang tebal itu dengan senyuman sinis. Hatinya bengkak mendengar ketawa dari segaris bibir lelaki durjana itu, namun demi rancangannya dengan Tuan Mikhail maka terpaksa juga dia melayan Usman yang angkuh dan bongkak.
"Kalau tak dapat guna cara luar, guna cara halus. Kau tak akan dapat kalahkan musuh kalau menyerang terang-terangan.." Azman mengeluarkan rokok dari kocek seluarnya.
"Aku nak kau porak-perandakan keluarga Teja. Kalau boleh, biar huru-hara semua orang dalam rumah tu. Dan pastikan pembantu rumah yang paling muda, si Mustika dihalau keluar dari rumah supaya anak aku dapat menjadi menantu di rumah itu. Kau tahu kan, Raees Arjuna sekarang sedang mabuk cinta dengan gadis murahan bernama Mustika itu!" Usman menyeringai, suaranya bergetar menahan geram.
Azman mengetap rahang mendengar Usman menggelarkan anaknya sebagai gadis murahan. Semudah itu ya orang kaya ini melabelkan seseorang sebagai murahan padahal pada pandangan matanya sebagai seorang ayah, anaknya itu cukup rapi dalam menjaga maruah diri sejak dulu. Mana mungkin anak gadisnya itu layak digelar murahan? Bahkan di dalam otaknya yang gila dahulu tidak pernah terfikir hendak menjual Mustika ke rumah pelacuran kerana mengenangkan betapa gadis itu menjunjung nilai maruah dan harga diri. Sampai isterinya sendiri yang akhirnya menjadi mangsa kebodohan duniawi mereka. Ah, sakit hatinya mengenangkan semula semua itu! Bodohnya menjadi manusia yang kemaruk dadah.
"Kalau dua jiwa yang saling mencinta, engkau tidak akan dapat semudah itu memisahkan mereka. Usman, aku rasa elok engkau lupakan niat bermenantukan si Raees.." Azman memberi cadangan.
"Kau siapa nak mengajar aku?" Usman meradang.
"Bukan mengajar engkau, hanya berpijak di bumi yang nyata. Soal perasaan kau tak boleh paksa. Aku dulu pun pernah jatuh cinta, kalau dah itu di hati, mana boleh kata tidak? Orang kata, sekali ombak menghempas badai pun akan ditempuh demi cinta. Engkau pun pernah kan jatuh cinta? Aku dengar dulu Tina isteri engkau tu, bekas tunang adik engkau sendiri kan yang engkau rampas. Sampai putus tunang! Nah, takkan kau tak faham jiwa muda yang jatuh cinta.." Azman mulai berleter, geram melihat kedegilan Usman yang semakin menggila.
"Itu kisah lama. Tina tu dah jadi bini aku pun, dah ada anak seorang.." Usman jelas kelihatan jengkel apabila diungkit kisah silamnya.
"Sebab itu kalau engkau nak pisahkan Raees dengan Mustika, susah sebab hati budak-budak tu dah bertaut. Aku boleh bantu apa yang patut tetapi aku tak janji.." Azman menghembuskan asap rokok dengan penuh perasaan, pandangan matanya menatap kepulan awan di langit yang sedang berarak mendung.
"Aku buat semua ini demi anak aku. Kalau hari tu Raees mati, taklah si Amanda kemaruk lagi nak bersuamikan sepupu dia tu. Kau perlu tahu anak aku tu gilanya sama macam aku, selagi dia tak dapat apa dia nak, dia akan kejar sampai dapat.." Usman menggeleng perlahan, wajah puteri kesayangannya terbayang di ruang mata.
"Kalau begitu biarlah dia berusaha sendiri. Jangan biasakan engkau buat semua untuk dia, cukuplah engkau buat untuk diri engkau sendiri." Azman mencerlung tajam.
"Mana boleh? Dia anak aku. Bukan seorang ayah namanya kalau aku biarkan dia bersusah sendirian tanpa aku di sisi. Amanda tu dahlah anak aku satu-satunya, takkan aku nak tengok dia merana? Kau fikirlah sikit, Azman. Dari kecil lagi aku jaga dengan kasih sayang, aku rasuah pula beberapa orang juri dalam pertandingan peragaan dan aku habiskan berpuluh juta untuk pastikan dia berjaya masuk ke pentas peragaan dunia. Semua itu kerana aku sayangkan anak aku, Azman. Kau lihat sekarang, dia membesar menjadi gadis yang cantik dan terkenal. Impiannya semua berhasil digapai kecuali impian untuk menikah dengan Raees Arjuna. Itu sahaja yang aku tak boleh janjikan.." Usman meraup wajah dengan kedua-dua belah tangan, menyedari dirinya terlanjur bicara di hadapan Azman.
"Itu bukan sayang namanya. Kau terlalu memanjakan dia, rosak jadinya budak tu nanti." Azman jelas meluah geram.
"Kau tak faham, Azman. Kalau kau ada anak, baru kau faham. Bahkan kalau dia meminta bulan pun, kau sanggup terbang ke angkasa untuk memetik bulan bagi membahagiakannya."Usman ketawa sinis, jelas sedang menyindir Azman yang merenung kosong ke arahnya.
"Aku ada anak.." Suara Azman bertukar perlahan, ada sendu di hujung suaranya.
"Jadi ayah seperti apa engkau ni? Kalau tak sanggup buat apa saja untuk kebahagiaan anak? Orang macam engkau ni tak layak jadi ayah!" Usman menempelak Azman semula.
Azman hanya diam kali ini.
Mungkin benar.
Dia tak layak menjadi ayah.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...