Bab 26 : Kita seri!

30 3 2
                                    

"Takkan kau nak penjarakan Amanda sebab budak ni, Teja? Amanda tu anak saudara engkau sendiri, darah daging kau.."

Suara Usman jelas kedengaran bergetar, wajah adik bongsunya ditatap penuh benci. Sudahlah dia memang membenci adik perempuan satu-satunya itu, boleh pula Teja memilih ingin memenjarakan Amanda. Gila barangkali adiknya itu. Amanda satu-satunya anak yang dia punyai, dibesarkan dengan mewah dan sepenuh hati, tidak akan pernah dia berdiam diri jika ada yang cuba menyakiti buah hatinya. Lebih-lebih lagi hendak dibandingkan dengan si orang gaji muda itu, hanya layak di kaki puteri tunggalnya sahaja.

"Along buta ke? Tengok muka Mustika, berplaster sebab luka. Kalau Amanda tak tampar dia, muka dia tak akan berdarah." Teja juga masih berkeras, untuk pertama kalinya dia bersuara melawan abangnya sendiri.

Usman terkesima seketika, adik bongsu yang selama ini tidak pernah meninggikan suara anehnya pada malam ini, bertukar menjadi singa betina. Dia memandang wajah Mustika yang duduk di sebelah Mak Seri, jelas di bahagian pipi gadis itu lebam dan berplaster panjang. Matanya beralih pula ke arah anak gadisnya yang sedang menangis tersedu-sedan di sebelah isterinya. Sakit hatinya melihat puterinya diperlakukan seperti itu.

"Budak perempuan ini, kalau kau beri satu juta, dia tak akan kisah lagi tentang luka dia. Aku kenal betul orang begini, tipikal orang miskin yang hanya mahukan duit orang kaya saja." Usman menuding jari ke arah Mustika, suaranya juga meninggi.

"Pak Long, jaga sikit mulut." Raees mencerlung tajam, penumbuk dikepal geram.

"Eloklah semua berpakat nak bela orang gaji muda ni, esok lusa dia pijak kepala dan rampas semua baru sedar agaknya." Isteri Usman, Tina pula membuka suara.

"Saya masih dengan keputusan saya. Saya akan hantar Amanda ke penjara.." Teja membuang pandang, enggan melihat wajah abangnya yang merah padam, tangan suaminya di sisi digenggam erat.

"Teja.." Tina menghela nafas panjang.

"Tolonglah Teja, jangan begini. Musnah karier Amanda kalau dia masuk kes mahkamah. Wartawan semua akan gali sampai mereka tahu. Jangan merosakkan masa depan anak saudara sendiri.." Usman masih cuba meyakinkan Puan Teja.

"Ini semua sebab kau perempuan murah!" Amanda ingin menyerang Mustika tetapi Mak Diva pantas menolak gadis berambut perang itu, menyebabkan Amanda jatuh terjelepok ke atas lantai.

"Kau tak habis lagi kan.." Mustika mengeluh penat, Amanda masih juga mengecam dan ingin menyiksanya.

"AKU DAH KATA KAN, SEKALI LAGI KAU SEBUT DIA PEREMPUAN MURAH, ENGKAU SIAP!" Puan Teja mengamuk, cawan di atas meja kopi dibaling ke arah Amanda.

Mustika mengetap bibir. Tubuh Amanda direntap, mata bertemu mata, dua gadis sedang bergelora dengan amarah yang tersisa. Masih tersisa perit di pipi ditampar oleh Amanda siang tadi, kini giliran gadis model itu pula merasakan apa yang dia rasai.

PANG!
PANG!
PANG!

Tersungkur Amanda di atas lantai. Berdarah kedua-dua belah pipinya, cecair merah menitis setitik demi setitik di atas jubin putih rumah agam. Tina menjerit bagaikan histeria, segera dipeluknya erat tubuh Amanda.

"Berani kau ya!" Tina menangis teresak-esak.

"Jadi kita seri sekarang.." Mustika hanya tersenyum hambar, tangannya yang lenguh digoyang-goyangkan.

Usman hanya tergamam, tidak menyangka anak gadisnya ditampar di hadapan matanya sendiri. Puan Teja juga sama, namun lebih kepada rasa puas dan kagum melihat keberanian Mustika. Dahulu Mustika hanyalah gadis yang lemah, datang merayu meminta dirinya diterima bekerja dan Puan Teja menyaksikan segalanya bagaimana peribadi gadis ini berubah menjadi seorang pemberani. Ya, seorang pemberani baharu yang terbina dari sesosok gadis muda tersakiti.

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now