Raees Arjuna menyelak langsir di koridor biliknya, membuang pandang memerhati lima orang pembantu rumah yang sedang mencuci kerusi kayu di perkarangan rumah, tepat berhadapan dengannya. Kerusi kayu itu diimport dari negara jiran, Indonesia dan sudah lama dibiarkan di dalam stor di belakang rumah. Memandangkan ayahnya hendak mendermakan kerusi itu kepada perpustakaan di Semantan, maka lima pembantu rumahnya itu pun bergegas hendak mencuci. Raees melihat Mustika sedang mencuci permukaan kerusi dengan berus yang lembut dan Mak Diva pula mencurah air, memegang hos sambil mulutnya tidak berhenti membebel saat melihat Kak Eja dan Kak Timah berkejaran bermain buih sabun. Umi Mariam menggeleng-gelengkan kepala, hanya mampu ketawa melihat ragam rakan sekerjanya. Dia juga melihat ibunya duduk di pondok kecil, menjamah beberapa biji cucur udang di dalam pinggan sambil sesekali menegur Mak Diva yang bising mulutnya.
"Oi, kalau kau berdua main buih, lusa baru siap ni. Cepatlah!" Mak Diva serius tetapi di hujung suaranya, dia tersenyum.
"Eh, berilah peluang aku main buih. Aku ni dahlah tak ada zaman kanak-kanak tau. Kahwin awal.." Kak Eja memuncungkan mulut.
"Main ada masanya. SEKARANG MASA KERJA!" Mak Diva membeliakkan matanya geram.
Mak Diva menghalakan hos ke arah Kak Eja tetapi orang tua berserkup putih itu segera bersembunyi di belakang Mustika. Seperti biasa, selalu Mustika yang menjadi mangsa akibat gurauan senda mereka berempat. Mustika tergamam, tidak menduga air dari pancuran hos masuk tepat ke dalam mulutnya dan membasahi seluruh tubuhnya. Dia terbatuk, sempat sedikit air masuk ke hidung membuatkan dia tersedak seketika.
"Mustika!" Mak Diva panik.
Umi Mariam menepuk belakang Mustika, mengeluarkan air yang masuk ke dalam mulut gadis muda itu. Puan Teja juga memerhati bingung.
"Tak apa, saya okay." Mustika tersenyum kelat, masih sakit wajahnya kerana terkena pancuran air yang kuat.
"Mak Diva tak sengaja. Maaf maaf." Mak Diva memeluk tubuh Mustika, serba salah hatinya.
Dan Raees yang melihat kejadian itu, segera melangkah ke perkarangan rumah bersama dengan kotak kit pertolongan cemas di tangan kanannya.Dia meluru ke arah Mustika, segera wajah gadis itu yang merah kesakitan dibelek-belek untuk diperiksa, bimbang ada kecederaan di mana-mana. Mustika kaku, tangan Raees yang menyentuh wajahnya seakan-akan renjatan elektrik yang membekukan seluruh tubuh tanpa amaran terlebih dahulu; seperti padamnya elektrik di kawasan pedalaman yang sunyi. Wajah Raees berkerut saat melihat pipi putih gebu milik Mustika berbirat merah.
"Sapu ubat ya." Guman Raees bimbang.
Kotak kit pertolongan cemas dibuka. Ubat cecair di dalam bekas berwarna putih disapu pada birat di pipi kanan Mustika. Mustika hanya beku bagaikan ais, lidahnya kelu tidak mampu berkata-kata dan jauh lebih malu ketika mata-mata di sekeliling dirinya memerhati penuh minat dan tanda tanya. Bahkan tukang-tukang kebun juga berhenti memotong rumput dan menukas bunga, kelihatan sesekali mereka berbisik sesama sendiri sambil tersengih bagaikan kerang busuk.
"Masih sakit?" Raees menyoal lembut.
"Okay dah." Mustika menepis perlahan tangan Raees yang cuba memegang pipinya, jelas dia bimbang disalaherti cuba menggoda si tuan muda.
Dan tiba tiba...
PANG!
PANG!
PANG!
Terasa darah hangat mengalir di pipinya. Mustika menyentuh pipi, ada cecair merah yang mengalir. Pipinya berasa perit dan seketika dia memandang kepada sesosok gadis berambut panjang di hadapannya. Wajah gadis itu jelas kelihatan marah dan sakit hati.
"AMANDA!" Suara Raees Arjuna melangit, membuatkan beberapa orang tukang kebun segera berpura-pura tidak melihat
"APA?" Amanda membalas marah.
"WHAT ARE YOU .." Raees tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila matanya tertancap pada pipi Mustika yang berdarah.
"Raees, bawa Mustika ke klinik." Puan Teja menggerakkan kerusi rodanya mendekati Mustika yang hanya mendiamkan diri setelah ditampar oleh Amanda.
Mak Diva yang sangat geram dengan tindakan Amanda membuka pili air dan menghalakan pancuran air kepada gadis itu. Tidak peduli walaupun gadis itu memaki hamunnya dan kali ini, sekiranya dibuang kerja pun dia tidak kisah, yang penting dendamnya terbalas. Dalam kekecohan Amanda yang menjerit kerana dihalakan hos pancuran air yang kuat, Raees segera menarik tangan Mustika menuju ke keretanya di garaj. Melihat darah yang mengalir tidak berhenti di pipi Mustika, hatinya dilanda bimbang dan resah yang tidak bertepi. Puan Teja pula mengetap bibir, memandang penuh amarah ke arah anak saudaranya, Amanda. Inilah kali pertama dia merasakan amarahnya memuncak, seakan-akan hendak dilahapnya anak saudaranya itu serta-merta. Kereta Raees meluncur laju keluar dari garaj dan Mak Diva yang sudah penat melepaskan pegangannya pada pancuran hos. Amanda pula terduduk jatuh, lemah longlai habis kebasahan seluruh tubuhnya yang langsing.
"Apa yang kamu buat, Amanda?" Suara Puan Teja bergetar, tangannya menggenggam penumbuk dan menggigil.
"Perempuan murahan itu, beraninya dia menggoda Raees. Sudahlah miskin, jadi perampas pula!" Amanda meluah marah, hatinya membengkak melihat adegan mesra pujaan hatinya dengan Mustika.
"Kamu menuduh sembarangan tanpa bukti. Kamu ingat Mustika itu gadis sejenis kamu ke? Dia bukan perempuan murah, dan JANGAN SESEKALI KAMU SEBUT DIA PEREMPUAN MURAH DI DEPAN SAYA. FAHAMKAN ITU." Kali pertama suara Puan Teja bergema bahkan Mak Diva sempat ketakutan melihat wajah majikan yang selama ini sopan tiba-tiba bertukar menjadi singa.
"Auntie, apa sihir dan mantera yang dia dah baca di rumah ini sampai semua orang bela dia? Nonsense.." Semakin sakit hati Amanda.
"Kamu jangan keluar dari rumah ini selagi Raees dan Mustika tak balik dari klinik. Kalau sampai wajah Mustika rosak sebab kamu, saya sendiri akan hantar kamu ke penjara. SAYA BERSUMPAH." Puan Teja menggerakkan roda kerusi mendekati anak saudaranya itu.
Mak Diva dan Umi Mariam pantas mendekati Puan Teja, takut bos kesayangan mereka pula diapa-apakan oleh di gadis berlagak. Kak Eja dan Kak Timah hanya memerhati, tangan kedua-duanya sempat mengemas hos dan span yang tergeletak di atas kerusi kayu. Puan Teja mencengkam lengan Amanda, dagu gadis itu dipegangnya dan diarahkan mendongak ke arahnya.
"Kamu tak akan pernah berhasil mendapatkan cinta Raees Arjuna. Niat keluarga kamu untuk menghabisi keluarga saya, tidak akan pernah tercapai. Tuhan tidak akan mengizinkan manusia kejam seperti kamu, masuk ke dalam keluarga saya. Kamu hanya mahukan Teja Group, jujur saja pada saya. Kamu dan orang tua kamu yang tamak itu, tidak akan pernah berjaya!" Suara Puan Teja bergetar, matanya yang berkaca bagaikan menyembunyikan sejuta rahsia.
"Saya betul-betul cintakan Raees." Amanda bersuara merayu, meminta difahami oleh ibu saudaranya itu.
"Langkah mayat saya dulu."
Puan Teja menepis dagu runcing Amanda. Jelas matanya penuh dengan amarah yang menggelegak, bagaikan air yang mendidih menunggu untuk masak. Mungkin sahaja air itu sudah lama menunggu waktu yang tepat agar dibakar apinya, kerana selama ini ia hanya menyikapi peribadinya yang sejuk, tenang dan melegakan. Mak Diva dan Umi Mariam berpandangan sesama sendiri, pandangan mata yang hanya difahami sesama mereka.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...