Tuan Mikhail duduk di atas kerusi sandar di dalam bilik bacaan. Di tangannya, terdapat senaskhah buku karya Syed Naquib Al-Attas. Beberapa kali dia cuba untuk fokus membaca namun fikirannya tetap menerawang kembali kepada cerita yang diberitahu oleh Azman kepadanya semalam. Bahkan siang tadi ketika sedang bermesyuarat, mindanya juga tidak mampu untuk fokus lebih-lebih lagi dengan keberadaan Usman tepat di hadapannya. Mengingat kembali cerita Azman, Usman bermatian-matian hendak membunuh keluarga adiknya sendiri. Abang seperti apakah itu, yang kejam ingin menghabisi darah daging sendiri? Ketika itu, Mak Diva muncul bersama Puan Teja di bahagian pintu. Mak Diva mendorong kerusi roda Puan Teja dan Umi Mariam di sebelah Mak Diva membawa dulang berisi kopi dan cucur udang. Dulang itu diletakkan di atas meja kopi di dalam bilik bacaan sebelum Umi Mariam meminta diri untuk berlalu semula ke dapur.
"Apa yang dimenungkan?" Puan Teja menyoal sambil tersenyum kecil.
"Ayah Mustika.." Tuan Mikhail mengeluh berat.
"Oh yang awak cerita semalam tu ke? Yang dia nak kerja di rumah kita. Saya rasa lebih baik awak bertanya kepada Mustika, takut nanti dia tak setuju." Puan Teja memandang wajah suaminya yang kebingungan.
"Dia nampak macam bersungguh-sungguh ingin menebus kesalahan lampau.." Tuan Mikhail menghela nafas.
"Mungkin dia tahu kes yang menimpa Mustika di rumah ini. Kalau dia betul-betul ingin tebus kesalahan, baguslah. Cuma kita tak tahu Mustika dapat terima atau tak." Puan Teja sentiasa mendahulukan Mustika, yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
Tuan Mikhail memandang wajah isterinya. Dia tidak memaklumkan kepada isterinya tentang apa yang diberitahukan oleh Azman kepadanya. Dia tidak mahu rancangannya untuk membongkar satu-persatu ulah jahat yang tersembunyi tergendala dan kini, Azman sudah bersetuju menjadi sebahagian dari rancangannya. Azman sudi bekerjasama demi keselamatan anaknya, Mustika. Dan melihat itu, Tuan Mikhail dapat melihat kesungguhan lelaki itu ingin merebut semula kepercayaan Mustika sebagai seorang ayah.
"Bagaimana kalau dia sebenarnya berniat jahat kepada Mustika, Tuan? Dulu pun Mustika sampai lebam dipukul ayahnya.." Mak Diva menyuarakan kebimbangan.
"Saya ada buat kontrak dengan Azman. Hitam putih. Jika dia menyakiti atau mencederakan Mustika, maka dia akan dipenjarakan seumur hidup. Dan Azman sendiri yang menandatangani surat itu.." Tuan Mikhail mengambil fail di atas rak putih dan memberikan fail itu kepada Puan Teja.
"Itu surat perjanjian kami."
Puan Teja mengangguk kecil mendengar kata-kata suaminya. Surat di dalam fail dikeluarkan, jelas tertera perjanjian tersebut dan tandatangan Azman di bahagian bawah berserta dengan cap ibu jari lelaki itu. Puan Teja tersenyum, kebijaksanaan suaminya sentiasa membuatkan dia kagum. Ketelitian suaminya dalam menimbang tara suatu keputusan sentiasa tepat, jarang menimbulkan kesalahan. Oleh sebab itu, dia mempercayai Mikhail sepenuhnya. Hanya suaminya itu yang benar-benar memahaminya dan mampu menguruskan keluarga mereka ini.
"Kalau begitulah kesungguhan Azman. Sayang, awak pujuklah Mustika. Minta dia beri peluang untuk ayahnya menebus dosa masa silam. Saya lihat Azman sangat tersiksa, tak kering air mata meminta peluang dan merayu diterima bekerja di sini.." Tuan Mikhail merenung wajah isterinya, mengharapkan isterinya itu memahami niat baiknya.
"Saya faham. Saya akan cuba." Puan Teja tersenyum kecil, tangan suaminya dipegang lembut.
"Ayah Mustika tu handsome ke?" Mak Diva menyoal penuh minat.
Tersedak kopi yang sedang dihirup oleh Tuan Mikhail. Puan Teja pula ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ada-ada sahaja soalan lucu dari Mak Diva.
"Nak kata handsome sangat, taklah juga. Tapi lebih kacak dari Leman si tukang kebun yang Mak Diva minat dulu. Tengok tak mata Mustika yang berwarna coklat hazel, begitulah mata ayah dia. Gaya bercakap pun lebih kurang sama.." Tuan Mikhail melayan saja karenah Mak Diva.
"Mak Diva kenapa tiba-tiba tanya begitu? Takkan nak memikat ayah si Mustika.." Puan Teja tergelak lagi melihat wajah Mak Diva yang tersipu-sipu malu.
"Puan sendiri yang kata, ayah Mustika duda. Kan dia dah ceraikan isteri dia maksudnya dia single and available. Manalah tahu jodoh saya. Saya dah lama menjanda.." Mak Diva tersengih malu.
"Mak Diva ni ada-ada saja."
Tuan Mikhail tertawa lucu. Hilang resah jiwanya melihat gelagat Mak Diva yang mencuit hati.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...