Bab 49 : Rayuan Azman

23 4 0
                                    

"Jangan ganggu saya!"

Suaraa Tuan Mikhail membingit, mencerlung tajam ke arah Azman yang sedang mengejarnya sejak keluar dari pejabat sebentar tadi. Wajah Azman yang agak kusut-masai diperhatinya geram, lelaki yang satu ini tidak sudah-sudah ingin menganggu hidup Mustika.

"Tuan Mikhail, saya mohon berikan saya peluang untuk dekat dengan anak saya. Saya nak menebus peluang ini untuk semua kesalahan saya! Bantu saya, Tuan. Saya ingin dekat dengan Mustika.." Azman bersuara merayu, wajahnya benar-benar serba salah.

"Azman, kamu sepatutnya sedar Mustika trauma tengok muka kamu. Tempoh hari sewaktu terserempak dengan kamu, dia terpaksa dirujuk kepada pakar psikiatri kerana keadaan dia yang tak stabil. Ini kamu nak berada dekat dengan dia? Jangan bermimpi saya nak biarkan kamu melukai Mustika lagi!" Tuan Mikhail mendengus kasar, jelas wajahnya jengkel.

"Hina sangat ke saya ni Tuan?"Azman memegang pergelangan tangan Tuan Mikhail.

"Ini bukan tentang hina. Ini tentang keselamatan Mustika. Kalau sosok seorang ayah tidak mampu melindungi, apa lagi yang dia boleh harapkan.." Tuan Mikhail mengeluh berat.

Azman menahan air mata yang berkaca di tubur mata, entah mengapa hatinya ketika itu mendengarkan ayat Tuan Mikhail, bagai ditusuk dengan belati sembilu. Beberapa orang pengawal keselamatan cuba menahannya tetapi dihalanh oleh Tuan Mikhail. Tuan Mikhail menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembuskannya perlahan-lahan.

"Kalau kamu betul-betul sayangkan Mustika dan nak tebus kesalahan kamu, jauhilah dia. Itu saja yang saya minta. Dia lebih selamat tanpa kamu di sisi.." Kata-kata Tuan Mikhail pedih namun ada kebenaran di dalamnya.

"Tuan, saya hanya ingin melindungi anak saya. Kejadian berdarah malam itu, saya tahu dalang utamanya inginkan darah semua orang di rumah Tuan. Tuan, percayalah! Tragedi itu akan berulang jika saya tidak ada di rumah Tuan. Saya kenal dengan sosok-sosok manusia yang diupah itu.."

Tuan Mikhail memicingkan mata, terkejut kerana tiba-tiba Azman menyebut tentang peristiwa serangan berdarah itu. Apa kaitan lelaki ini dengan peristiwa itu?

"Maksud kamu?" suara Tuan Mikhail perlahan, bimbang didengari oleh orang lain.

"Saya boleh jadi informan. Saya kenal sangat dengan dalang utamanya. Bukan orang lain, ahli keluarga Puan Teja juga. Percayalah Tuan! Nyawa keluarga Tuan dan nyawa Mustika sentiasa diintai, menunggu masa untuk mereka bertindak semula, dengan entah cara apa pula yang digunakan.." Azman bersuara seakan-akan berbisik, matanya melilau memandang keadaan di sekitar.

"Macam mana kamu boleh tahu?.." Tuan Mikhail terkesima seketika.

"Tuan, bawalah saya ke suatu tempat yang tak ada orang boleh dengar apa yang kita bualkan. Di sini, bahkan dinding boleh mendengar. Saya akan ceritakan semuanya, dari A sampai Z dengan syarat Tuan ambil saya untuk bekerja di rumah Tuan, walaupun sebagai seorang tukang kebun. Saya sanggup! Asalkan dekat dengan anak saya.."

Tuan Mikhail mengangguk perlahan. Entah mengapa tawaran Azman kali ini sangat menarik perhatiannya. Lelaki ini mengetahui sesuatu tentang serangan malam berdarah itu dan lelaki ini lebih tepatnya, tidak mustahil juga sangat dekat dengan manusia-manusia penjahat yang diupah oleh si dalang utama.

"Baiklah, masuk ke dalam kereta."

Kedua-duanya masuk kedalam kereta, kali ini Tuan Mikhail meminta pemandunya- Pak Sedi untuk balik ke rumah sahaja kerana dia akan memandu keretanya sendiri. Pak Sedi akur. Maka menderulah kereta BMW berwarna putih itu membelah lautan jalan raya. Tuan Mikhail memandu ke arah Bukit Senduduk, kerana baginya hanya tempat itu yang sepi tanpa kemeriahan manusia yang menghuni. Sempat dia singgah di gerai tepi jalan, membeli cucur udang dan dua air Teh Pyorr. Pantas cucur dan salah satu air Teh Pyorr itu diserahkan kepada Azman di sebelahnya setelah masuk semula ke dalam kereta. Sebaik sahaja sampai di Bukit Senduduk, Tuan Azman membuka pintu kereta, meneguk air teh yang dibelinya dan duduk di atas but kereta. Azman juga keluar sambil memasukkan cucur udang ke dalam mulut, perutnya yang lapar terasa terisi juga.

"Kamu cerita.." Tuan Mikhail bersuara santai.

"Tuan janji akan ambil saya bekerja di rumah Tuan? Kalau tuan dapat pastikan itu, baru saya akan cerita.." Azman menyoal menginginkan kepastian.

"InsyaaAllah.." Tuan Mikhail mengangguk.

"Sebenarnya, sayalah antara orang yang diupah membunuh keluarga Tuan pada malam tu.."

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now