Azman menjinjing beg bersaiz sederhana yang berisi pakaiannya, mengikut langkah Tuan Mikhail masuk ke perkarangan rumah sebaik sahaja keluar dari kereta. Langkahnya kelihatan terbata-bata, wajahnya lurus memandang beberapa orang tukang kebun yang sedang mengemas rumput-rumput di halaman rumah. Dia sempat tersenyum ketika melihat si Montel menganggu pekerja-pekerja itu membuang ranting bunga yang menjulur panjang. Kakinya digagahkan mengikut Tuan Mikhail masuk ke dalam rumah dan dia menghela nafas yang panjang ketika beberapa orang pembantu rumah memandang dirinya dengan pandangan yang sukar dimengerti -sebuah pandangan yang sedang menilai baik buruk seseorang. Dan yang sedang berdiri di bahagian tangga bersama dengan kain lap di tangannya, anak tunggalnya sendiri, Haura Mustika.
"Duduklah dulu, Azman."
Suara Tuan Mikhail membuatkan pandangannya kembali fokus ke arah lelaki yang segak dalam kemeja putih itu. Dia memandang Puan Teja yang sedang duduk di atas kerusi roda sebelum melilau memandang keadaan di sekeliling rumah agam itu. Aneh rasanya! Seakan-akan baru kemarin dia menyelinap masuk dengan niat membunuh dan hari ini, dia masuk semula ke rumah ini dengan niat ingin melindungi Mustika, anak tunggal satu-satunya. Dan rumah kelihatan lebih luas dan indah ketika terang begini, jauh lebih mengagumkan.
"Selamat datang, Azman dan selamat bekerja dengan keluarga kami. Semoga dapat melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya!" Puan Teja tersenyum namun pandangan matanya serius.
"Baik Puan.." Azman mengangguk kecil.
"Kamu akan tinggal di rumah tukang kebun, di belakang rumah ini. Di sana juga selesa, bilik juga ada penghawa dingin. Nanti Mak Diva dan Umi Mariam bawakan kamu ke sana.." Tuan Mikhail menudingkan jari ke arah belakang, seakan-akan rumah itu dapat dilihat secara terus.
"Nanti kami hantarkan.." Mak Diva mencelah.
"Ini Mak Diva, ketua pembantu di rumah ini. Dia yang akan memantau semua pekerjaan pembantu dan tukang kebun. Itu Umi Mariam.." Tuan Mikhail memperkenalkan seorang demi seorang pembantunya.
"Yang sedang memegang penyapu itu namanya Kak Timah. Itu pula, yang sedang mengelap cermin besar namanya Kak Eja. Dan yang paling muda dalam rumah ini, itu anak kamu sendiri, Haura Mustika.." Nada suara Tuan Mikhail kendur ketika menyebut nama Mustika.
"Mustika.." hanya itu yang terucap di bibir Azman namun reaksi anaknya tidak seperti yang diharapkan, Mustika hanya memandangnya dengan pandangan kosong, tidak bermakna.
"Nanti senanglah Azman nak berborak dengan anak sendiri ya. Bolehlah mengeratkan hubungan silaturahim yang sudah lama terpisah, jangan sampai retak menanti belah, nanti menyesal tak sudah.." Puan Teja sempat menyindir dalam nasihatnya, membuatkan Tuan Mikhail berdehem lucu.
"Ya Puan" hanya itu yang dibalas oleh Azman, rasa sayu bagaikan memasung hatinya.
"Anggaplah ini sebagai permulaan yang baru, kepada hubungan ayah dan anak yang sudah lama mempunyai kenangan buruk.." Tuan Mikhail menepuk bahu Azman sebagai tanda memahami.
"Mustika tak ada nak cakap apa-apa ke? Kan baru jumpa dengan ayah.." Puan Teja menyoal lembut.
Mustika hanya menggeleng-gelengkan kepala, jelas wajahnya yang datar tidak mempunyai apa-apa rasa kepada si ayah. Puan Teja mengeluh berat, mungkin mengambil masa untuk si gadis muda beradaptasi dengan keadaan yang terlalu mendadak seperti ini.
"Tak apa, Puan. Biarlah dia, semuanya juga perlukan waktu. Lagi pula, saya bukan seorang ayah yang baik dulu.." Azman mengetap bibir, rasa sesal beraja di hati.
"Kalau begitu kata kamu, baiklah. Umi Mariam dan Mak Diva, bolehlah perkenalkan Azman kepada pekerja-pekerja yang lain di taman. Sekaligus hantarkan dia ke rumah di belakang." Arahan Puan Teja diterima dengan jelas.
Umi Mariam dan Mak Diva mulai melangkah, diikuti oleh Azman di belakang kedua-duanya. Mustika hanya memerhati langkah kaki ayahnya keluar dari rumah agam itu, perasaan di hatinya bercampur baur. Ayahnya tidak seperti dahulu, ke mana hilangnya wajah sombong dan tak sedar diri itu?
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...