Azman menapak masuk ke dalam Hotel Andromeda. Laju sahaja langkah kakinya menuju ke ruangan restoran hotel dan matanya melilau mencari sesosok lelaki menggunakan baju kemeja berwarna merah. Nun di hujung sudut restoran, dia melihat seorang lelaki duduk bersendirian sambil merenung ke arahnya, tangan kanan lelaki itu melambai menggamit Azman agar mendekatinya. Azman melangkah menuju ke arah lelaki itu, kerusi ditarik dan dia segera duduk. Dia melihat penampilan lelaki itu yang kemas dan rapi, sepertinya dia pernah melihat wajah lelaki ini di majalah dan dalam media yang ditayangkan di televisyen.
"Aku Usman." Lelaki itu memperkenalkan dirinya, namun tiada tangan yang dihulurkan untuk menyapa.
Azman tersenyum sinis.
Angkuh!
"Aku Azman." Azman meneguk jus oren di hadapannya dan dia melihat riak wajah lelaki itu berubah, kerana dia sebenarnya baru sahaja meminum air lelaki itu tanpa meminta izin.
"Orang biadap seperti engkau memang sesuai melakukan kerja-kerja jahat untuk kami." Pedas sahaja ayat yang dituturkan oleh Usman.
"Orang macam engkau, mana ada nak kotorkan tangan sendiri. Kalau tak ada orang macam aku, orang macam engkau tak mampu nak terus bersaing. Yalah, kalau tak, engkau tak cari aku.." Azman ketawa sinis.
Berdesing juga telinga Usman mendengar sindiran panas dari Azman. Tapi kata-kata Azman semuanya benar, orang sepertinya tidak akan pernah mengotorkan tangan sendiri untuk menghapuskan keparat-keparat tidak berguna di luar sana. Oleh sebab itu, dia sanggup menghabis kan wang berjuta bahkan berpuluh juta demi mendapatkan apa yang dia mahu. Ini bukan kali pertama dia melakukan kerja seperti ini, banyak jiwa yang sudah terkorban di tangannya kerana menjadi penghalang kepada kehendaknya bahkan ahli keluarga sendiri.
"Aku nak kau bunuh satu keluarga ni" tangan Usman menghulurkan keratan akhbar kepada Azman.
Azman melihat keratan akhbar tersebut. Terdapat gambar sebuah keluarga besar Tan Sri Tuah Zulkarnain di dalam artikel tersebut. Tangan Usman menuding ke arah gambar perempuan yang berkerusi roda, lelaki yang berdiri di sisi perempuan itu dan seorang pemuda tampan di sebelah Tan Sri Tuah. Azman menyedari gambar Usman juga ada di dalam keratan akhbar tersebut, sejenak dia mendiamkan diri membaca artikel dan ketika itulah dia menyedari bahawa orang yang ditunjukkan oleh Usman sebentar tadi ialah adik perempuan bongsu kepada lelaki itu sendiri, Teja.
"Habiskan Teja dan keluarganya." Usman bersuara separuh berbisik.
"Adik kau sendiri.." Azman bingung seketika.
"Hapuskan dia, suami dan anaknya. Serang rumahnya, hapuskan seisi rumah. Termasuk pengawal keselamatan, tukang kebun dan pembantu rumah. TIDAK ADA TERSISA SEORANG PUN." Usman mencerlung tajam, amarahnya jelas kelihatan.
"Bayaran?" Usman menanti jawapan.
"Setiap nyawa yang engkau habisi, aku bayar satu juta. Tapi kalau engkau berjaya menghabisi Raees Arjuna dan seorang pembantu rumah yang paling muda, aku bayar 20 juta untuk nyawa kedua-dua orang itu."
Azman mengerutkan dahi. Pembantu rumah? Mengapa harga nyawa seorang pembantu rumah lebih mahal harganya daripada nyawa majikan yang merupakan pewaris kepada jutawan Tan Sri Tuah? Azman menghela nafas panjang, kes ini menjadi semakin menarik.
"Pembantu rumah?" Azman menjungkit kening.
"Kalau engkau lihat yang paling muda, dialah yang aku maksudkan. Pembantu lain semua sudah tua, dia saja yang masih muda." Usman memperincikan orang yang dimaksudkannya.
"Okay.." Azman malas menyoal lagi.
"Habiskan semua" Usman memberi peringatan.
"Aku tak janji. Kerja yang engkau beri ini kalau aku ditangkap, aku mati. Aku nak wang pendahuluan sejuta, baru aku boleh rancang nak buat kerja." Azman berterus-terang.
"Boleh tapi wang itu nanti, driver aku hantar ke rumah sewa engkau. Aku tak nak orang nampak.." Usman bersuara tegas.
"Okay bagus." Azman mengangguk kecil.
Azman hanya tersenyum, setakat ini dia rasakan hanya Usman yang mampu memberikannya wang pendahuluan sebanyak itu. Sebelum ini, wang pendahuluan paling banyak pernah diterimanya hanyalah sebanyak RM 300 000 untuk satu kerja menghabiskan nyawa seorang kontraktor yang terlibat dalam projek kliennya. Azman sudah dapat membayangkan wang yang berpuluh juta menjadi miliknya, sekadar menghabiskan nyawa beberapa orang bukan masalah besar untuknya.
"Lagi satu, rumah itu banyak CCTV" Usman mengingatkan.
"Ya, seperti biasa rumah orang-orang kaya. Kau tak rasa bersalah ke nak bunuh adik sendiri?" Azman menyoal lagi.
"Segalanya adil dalam harta dan wang."
Ringkas sahaja jawapan yang diberikan Usman tetapi cukup difahami oleh Azman. Apabila mata sudah kelabu, apa sahaja boleh dilakukan asalkan kehendak masing-masing tercapai. Azman juga begitu. Bukankah dahulu dia pernah menjual anaknya sendiri hanya demi wang? Dia juga binatang. Tiada bezanya dia dengan manusia keparat seperti Usman yang tergamak mempertaruhkan nyawa darah daging sendiri.
"Kau dan aku, sama-sama binatang"
Azman menggumam dalam senyuman sinis, memerhati wajah Usman dengan perasaan yang berbaur dalam hatinya.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...