Dup dap dup dap!
Jantungnya berdegup kencang.
Barisan panel penemuduga diperhati tenang. Kelima-lima panel penemuduga itu berwajah serius, langsung tiada senyum yang terukir di bibir mereka. Bermula dengan panel penemuduga yang paling kiri; jika dilihat pada tanda nama di atas meja, bernama Profesor Madya Ramli. Lelaki itu berambut nipis dan kemas menggunakan blazer hitam yang kelihatan agak tebal. Panel penemuduga kedua, Dr. Masya, satu-satunya perempuan daripada lima penemuduga, ayu berhijab putih dan raut wajahnya tegas. Panel penemuduga ketiga, Profesor Emeritus Mahmad, rambutnya hampir botak dan bercermin mata segi empat yang aneh. Panel penemuduga keempat, Profesor Madya Mike Hamlet, seorang profesor Eropah yang mahir menggunakan Bahasa Melayu dan yang terakhir, panel penemuduga kelima, Dr. Chao Phraya, berasal dari Thailand dan juga mahir berbahasa Melayu. Kelima-lima panel penemuduga itu fokus memandangnya.
"Keputusan kamu sangat hebat tetapi kami tidak perlukan orang yang hebat sahaja. Kami perlukan seseorang yang mempunyai kelainan. Apa kelainan yang kamu ada, tetapi universiti ini tidak ada?" Profesor Emeritus Mahmad mulai menyoal.
"Apa yang Profesor rasakan universiti ini tak ada, tetapi saya ada?" Mustika menyoal kembali.
"Kamu menyoal saya?" Dahi profesor itu berkerut.
"Ya, saya menyoal kembali. Wajarlah saya menyoal kerana saya baru sahaja memohon untuk masuk ke sini, tetapi Prof yang sudah lama mengajar di sini, sudah tentu Prof lebih tahu dan arif. Tidak relevan kalau saya menjawab apa kekurangan universiti ini. Kalau ditanya pada saya, sudah pasti serba sempurna jawapan yang dihafal dari media dan buku." Laju sahaja mulut Mustika menjawab.
Kelihatan Dr. Masya tersenyum kecil dan panel penemuduga yang lain pula mengerutkan dahi. Dr. Chao Phraya meneliti dokumen Mustika di hadapannya, melihat markah peperiksaan SPM dan STPM yang semuanya A+, dia dapat merasakan gadis muda di hadapannya ini bukan calang-calang anak muda. Lihat sahaja duduknya yang tegak, wajahnya yang bercita-cita tinggi dan yang paling menarik, warna sut baju yang dipakainya -merah jambu pastel. Inilah kali pertama dalam seumur hidupnya, ada calon temuduga yang berani menggunakan warna merah jambu dari hujung kepala sampai hujung kaki. Lihat sahaja kasut tumit tingginya yang merah jambu itu -digayakan dengan cukup elegan dan yakin.
"Kamu meminati bidang bahasa?" Dr. Chao Phraya mengutarakan soalan.
"Ya, saya sangat meminati bahasa. Begitu juga dengan sastera dan saya memiliki impian yang besar untuk mendalami bahasa Melayu dengan lebih terperinci. Saya ingin membongkar setiap misteri sastera dan bahasa yang belum terpecahkan. Tanah Melayu sangat hebat di eranya tersendiri, tidak mungkin ilmu-ilmu yang hebat itu hanya sekadar apa yang dicanang oleh media dan di dada akhbar sahaja. Pasti ada khazanah yang masih belum dirungkai, kisah hikayat yang masih belum terjamah oleh tangan yang pakar dan bukti-bukti peninggalan kesultanan yang masih terkubur di luar sana. Saya ingin menjadi salah seorang penyelidik yang akan mendokumentasikan semua itu."
Prof. Emeritus Mahmad tersenyum mendengar jawapan Mustika. Gadis ini kelihatan begitu yakin dengan jawapannya. Satu-satunya calon yang berani memakai pakaian berwarna merah jambu hari ini, ternyata luar biasa orangnya. Semangatnya berkobar-kobar sehingga auranya dapat dirasakan oleh panel-panel penemuduga.
"Mengapa kamu tak memohon menjadi doktor? Keputusan kamu bagus.." Profesor Mike menyoal aneh, keningnya kelihatan hampir bertaut antara satu sama lain.
"Kenapa saya mesti menjadi doktor hanya kerana saya bagus? Saya juga boleh menjadi pakar bahasa dan sastera yang cemerlang kalau berada di bidang bahasa" ujar Mustika serius.
"Kebanyakan orang begitu." Balas profesor berambut perang itu lagi.
"Saya bukan kebanyakan orang. Saya, Haura Mustika, bukan orang lain." Mustika masih tegas dengan kata-katanya.
"Tegas sekali kamu, mengingatkan saya kepada Dr. Masya ketika masih muda dahulu." Prof. Madya Ramli mengerling ke arah Dr. Masya di sebelahnya yang tersenyum lebar.
"Baiklah, Mustika. Nice to meet you and semoga kita akan berjumpa lagi di universiti ini, sekiranya kamu lulus temuduga ini." Profesor Emeritus Mahmad tersenyum kecil, nada suaranya kedengaran tenang namun ada getar di hujung suaranya.
Mustika mengangguk-anggukkan kepala, menghadiahkan senyuman buat panel penemuduga sebelum dia bingkas bangkit berdiri dan meminta diri untuk keluar dari bilik. Profesor Emeritus Mahmad memandang langkah kaki si gadis muda yang tersusun, lantas membawanya kepada kenangan zaman silam, dalam situasi yang sama dan aura yang sama.
"Benar-benar mirip gayanya" Profesor Mahmad menggumam hairan.
"Apa yang mirip, Prof?" Dr. Masya menyoal ingin tahu.
"Haura Mustika mengingatkan saya kepada Teja. Dahulu ketika dia ditemuduga oleh saya, gayanya juga sama tetapi dalam pakaian yang warnanya berbeza, warna merah terang. Dia juga cerdik, pantas menjawab setiap soalan dengan tenang walaupun ya kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan dia lulus temuduga kerana pengaruh ayahnya, Tan Sri Tuah." Profesor Emeritus menggeleng perlahan, sukar untuk percaya bahawa dia ditakdirkan masih hidup untuk bertemu semula dengan situasi yang sama, seakan-akan sebuah dejavu.
"Tan Sri Tuah penyumbang dana terbesar UAA bukan? Cucu dia dulu juga belajar di sini, jejaka pujaan Malaya." Profesor Madya Ramli juga turut bersuara.
"Raees Arjuna bukan?" Dr. Masya tergelak kecil.
"Ya, Dr. Masya masih ingat juga." Profesor Mike juga sempat mengajar cucu ahli perniagaan terkenal itu.
"Saya tak pernah lupa. Dia satu-satunya pelajar yang ada peristiwa bersejarah dengan saya. Dia curi makan dalam bilik kuliah semasa bulan puasa."
Serentak tawa pecah memenuhi bilik temuduga itu. Apabila mengenang semula gelagat mahasiswa dan mahasiswi yang pernah mereka ajar, lucu pula di dalam hati. Profesor Emeritus Mahmad menatap fail yang berisi dokumen Mustika. Dia kemudiannya menulis beberapa patah kata di bahagian kotak temuduga.
Lulus cemerlang!
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...