Mustika merenung siling, dia berbaring di atas katil dan tangannya memeluk patung Boba merah jambu. Dia masih memikirkan tentang tindakan gilanya sebentar tadi dan masih tidak percaya dirinya berani membalas semula perbuatan Amanda kepadanya. Pintu biliknya diketuk dan Mak Seri menjengukkan kepala, segaris senyuman mekar di bibir orang tua bertudung putih itu itu. Di belakang orang tua itu, Mak Diva, Umi Mariam, Kak Eja dan Kak Timah turut menjejak masuk ke dalam bilik. Mustika bingkas bangun dari pembaringan, duduk di atas katil dan segera mengikat rambut ikal mayang miliknya yang mengurai lembut.
"Mustika dah nak tidur ke?" Mak Seri menyoal lembut. Punggungnya dilabuhkan di birai katil.
"Belum lagi, Mak Seri." Mustika tersenyum kecil.
"Kami nak tengok keadaan kamu. Pipi kamu tu, jaga elok-elok. Nanti berparut, rosak muka." Umi Mariam mengerutkan dahinya bimbang.
"Aku pun nak puji tindakan kamu tadi. Puas hati aku tengok kamu lempang budak tu, biar dia tahu dan belajar jangan sesuka hati nak merendah-rendahkan orang. Mak bapaknya pun, bukan nak mendidik anak, membela anak yang salah pulak." Kak Eja menunjukkan isyarat tangan bagus kepada Mustika.
"Orang dah buat jahat, takkan kita nak duduk diam. Balaslah semula kalau ada peluang. Puas hati aku tengok kamu tampar dia, Mustika. Kalau ikutkan hati aku, aku gantung dia di Jambatan Pulau Pinang, biar jadi umpan memancing buaya." Mak Diva duduk bersila di atas kerusi meja solek Mustika sambil tangannya ligat mengetuk-ngetuk permukaan meja.
"Kamu kena lebih berhati-hati selepas ini. Amanda tak akan lepaskan kamu begitu sahaja." Mak Seri membelai lembut rambut ikal mayang Mustika.
"Maksud Mak Seri?" Mustika mengeluh kecil.
"Kamu tahu Ain Larissa? Model terkenal yang hampir dilamar oleh Tuan Raees? Kalau kamu nak tahu siapa yang menghalang hubungan mereka, Tina dan Amandalah orangnya. Dibuat agar ditangkap basah dengan produser filem padahal semua itu hanya jerat. Tuan Mikhail dan Puan Teja tahu tentang itu, tapi semua sudah terlambat. Ain Larissa sudah dinikahi produser itu, dan pintu hati Tuan Raees juga sudah tertutup rapat." Mak Seri menjelaskan satu-persatu, cukup tenang nada suaranya.
"Ain Larissa, Mak Seri?" Kak Timah separuh terkejut, terbayang di ruang matanya sesosok wanita yang sering datang ke rumah agam itu beberapa tahun dahulu.
"Dia mungkin tidak seteruk Amanda tapi pada mulanya dia agak sombong ya.." Mak Diva tetap setia menjadi pengkritik.
"Dah kahwin dah, kerjaya dia pun hancur selepas kontroversi tangkap basah dengan produser filem tu. Bayangkan ya, dia jadi isteri nombor dua. Mana tak meroyan isteri pertama produser tu?" Kak Timah menggeleng-gelengkan kepalanya, sukar untuk percaya haru-biru dunia selebriti.
"Yang anehnya, bila Ain Larissa jatuh, nama Amanda pula naik.." Umi Marian tergelak sinis, mengenangkan kelicikan Amanda.
"Permainan dunia.." Mak Diva mengeluh berat.
"Teruk juga ya.." Mustika mengelipkan matanya beberapa kali, menelan air liurnya sendiri.
"Kamu kena tahu bahawa kamu sedang berhadapan dengan musuh yang licik. Jadi kamu juga kena bijak menyusun langkah, jangan sampai termasuk dalam jerat. Sekarang kamu bukan orang biasa bagi mereka, tetapi kamu ialah ancaman. Untuk mereka, ancaman mesti dihapuskan.." Mak Seri menghela nafas yang panjang.
"Jangan risau Mak Seri, Mustika ini budaknya bijak. Amanda itu hanya picisan, mengharapkan otak emaknya semata-mata." Umi Mariam bersuara menenangkan Mak Seri, jelas terpapar riak risau pada wajah yang berkedut seribu itu.
"Allah ada, Mak Seri." Mustika menggenggam erat tangan tua yang sudah kendur kulitnya itu.
"Mak Seri risau, takut apa-apa yang buruk jadi pada kamu. Kalau membunuh pun mereka sanggup, apa lagi hendak menbuat perkara yang lebih teruk.." Nada suara Mak Seri kedengaran semakin bergetar.
"Membunuh?" Mustika mengetap bibir.
Mak Seri hanya mendiamkan diri, dia sudah terlanjur mengatur bicara. Suasana di bilik itu menjadi sunyi seketika, hanya bunyi penghawa dingin yang adakalanya berkeriut kedengaran jelas memecah hening. Mak Seri menyentuh ubun-ubun Mustika dan menggumam perlahan.
"Semoga Tuhan selalu melindungi."
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...