Puan Teja sedang menyusun beberapa kuntum bunga di dalam pasu. Wajahnya serius dan matanya fokus. Begitu juga dengan Mustika yang duduk di atas lantai, kelihatan sangat fokus menyusun bunga-bunga yang bertebaran di atas meja kayu yang lebar mengikut jenis dan warna tersendiri. Sesekali, kelihatan anak gadis itu menggaru-garu kepalanya sendiri kerana susunannya yang sudah kemas dan rapi diganggu oleh Montel- seekor kucing kesayangan Puan Teja yang berwarna putih dengan bulu yang menggerbang, baka campuran kucing Parsi dan Mainecoon. Si Montel ini suka menganggu Mustika dan adakalanya ketika Mustika sedang tidur di dalam bilik dengan pintu separuh terbuka, kucing ini akan datang dan terus melompat ke bahagian perutnya membuatkan Mustika terus terbangun. Biasanya kejadian ini berlaku pada waktu azan subuh berkumandang. Kali ini Montel sengaja membuat kacau lagi, bunga-bunga yang disusun digigit dan dijadikannya bahan mainan.
"Montel, janganlah kacau.." Mustika geram sendiri dan Montel seperti biasa, memerhati Mustika dengan wajah cukup bersahaja - wajah tidak berdosa.
Mustika bingkas bangkit dari duduknya, hendak mengejar Montel tetapi kucing itu berlari mengelilingi meja. Puan Teja ketawa kecil melihat gelagat Montel dan Mustika, dan kelihatan Mustika termengah-mengah dan rebah membaringkan diri di atas lantai. Penat.
"Kau ni gemuk-gemuk pun laju ya lari. Penat aku. Kau makan apa sampai stamina engkau kuat sangat?" Mustika bercakap dengan Montel, suaranya tidak berpuas hati.
"Miawww." Montel membalas malas.
"Eh, menjawab ya. Sini kau.."
Mustika segera menyambar tubuh si Montel sebelum kucing itu melarikan diri sekali lagi. Tubuh Montel digomolnya geram dan kucing itu seperti biasa, melentokkan kepalanya dengan manja di pangkuan Mustika. Mustika tergelak kecil melihat telatah Montel, diciumnya berkali-kali pipi Montel yang membulat bagaikan kuih pau.
"Dia suka kamu, Mustika.." Puan Teja bersuara lembut, ketawa kecil melihat Montel yang tersadai kepenatan digomol oleh Mustika.
"Geram saya.." Mustika memicit pipi Montel yang gebu, segebu perutnya.
"Montel ini jarang suka dengan orang kecuali orang itu betul-betul serasi dengan dia. Dalam rumah ini, dia suka dengan beberapa orang sahaja. Mak Diva pula musuh ketat dia, sama juga ngan Kak Eja.." Puan Teja mulai membuka cerita.
"Ya, Mak Diva ada cerita. Montel benci kat dia sebab dia suka peluk Montel kuat-kuat. Kak Eja pulak sebab bila melatah, Montel selalu terkejut.. siapa suruh comel sangat.." Mustika membelai kepala Montel di pangkuannya.
"Antara orang kesayangan dia sejak dulu, anak saya Raees Arjuna. Montel ini hadiah dari suami saya, sebab tak nak saya sunyi selepas kehilangan anak kami.." Nada suara Puan Teja agak kendur.
"Memilih ya si Montel.." Mustika menggomol si Montel lagi, naik rimas kucing itu dibuatnya.
Dan tiba-tiba Montel bingkas bangkit berdiri, mata kucing itu melilau dan mengiau tiba-tiba. Matanya mengarah ke arah pintu utama dan kemudian, kucing comel itu berlari terkedek-kedek, dengan tubuhnya yang gebu dan gempal ke arah pintu.
"Montel!"
Montel melompat tepat ke dalam pangkuan sesosok bertubuh sasa, dan kucing itu mengiau manja saat kepalanya dielus lembut. Mustika tergamam, siapa itu? Tubuh pemuda itu sasa, lengkap mengenakan pakaian sut berwarna hitam. Rambutnya kemas dan berwarna coklat pekat. Anak mata pemuda itu berwarna hazel dan tubuhnya agak tinggi - sekitar 178 cm. Kelihatan Montel begitu selesa berada di dalam pelukan pemuda itu.
"Raees.." Puan Teja tersenyum.
"Ibu, how are you?"
Raees melepaskan Montel dari pangkuannya dan melangkah perlahan ke arah Puan Teja. Di hadapan Puan Teja, Raees duduk melutut, tangan ibunya dicium sebelum dia merebahkan kepala ke pangkuan Puan Teja. Matanya dipejamkan, dan tangan Puan Teja membelai lembut rambut anak lelakinya.
"Anak ibu apa khabar?" Puan Teja menyoal lembut.
"Just fine. I miss you, ibu.." Raees masih memejamkan mata, ingin menikmati saat-saat yang ada.
"Raees, Mak Seri sudah kemas bilik Raees. Bolehlah Raees berehat.." Puan Teja menepuk-nepuk bahu anaknya.
"Ibu.."
Raees mengangkat kepalanya, merenung wajah si ibu dengan penuh kasih dan cinta. Tangan ibunya digenggam erat sebelum dikucup bertalu-talu. Walaupun baru sahaja beberapa bulan dia keluar menguruskan perniagaan keluarga di United Kingdom, rasa rindu kepada ibunya tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
"Puan.." Mustika mencelah tiba-tiba.
Puan Teja menepuk dahinya sendiri, sebelum tergelak kecil melihat wajah Mustika yang pucat lesi melihat Raees Arjuna yang muncul tiba-tiba. Raees juga terkejut mendengar suara Mustika yang sedang duduk tidak jauh dari ibunya di atas lantai, dan sama seperti Mustika, dia juga tertanya-tanya tentang gadis muda berkulit putih kemerah-merahan itu.
"Perkenalkan ini anak saya, Raees Arjuna. Dan Raees, ini pembantu rumah kita yang baharu. Namanya Haura Mustika, panggil saja Mustika."
Raess mengerutkan dahi, kejutan seperti apakah ini? Hairan juga ada gadis muda yang sanggup menjadi pembantu rumah di usia begini? Fikirannya terganggu ketika gadis bernama Mustika itu memeluk Montel dan kucing kesayangan ibunya kelihatan sangat dekat dengan Mustika. Montel ditimang-timang manja dan gadis itu beberapa kali mencium pipi kucing comel itu sebelum kucing itu melompat ke arah Raees, meminta dibelai dan dimanja.
"Mustika, boleh kemas ya bunga-bunga ini. Saya nak luangkan masa dengan Raees." Puan Teja memberi arahan.
"Baik Puan." Mustika menganggguk.
Mustika mengemas bunga-bunga yang bersepah ke dalam kotak dan kemudian berlalu membawa kotak-kotak itu menuju ke dapur. Raees Arjuna memerhati langkah kaki Mustika yang rapi, terdetik hatinya tentang umur gadis itu.
"Aneh.."
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...