Mustika mendorong kerusi roda Puan Teja mengelilingi taman di halaman rumah. Senja yang jingga membisikkan ketenangan yang luar biasa, diselangi canda burung pipit dan merpati yang girang bertenggek di dahan pokok yang hijau. Puan Teja tersenyum melihat dua ekor burung merpati yang bertenggek, seakan-akan sedang memadu kasih dan tangannya membelai Montel yang mengiau manja di ribanya. Puan Teja meminta Mustika berhenti mendorong kerusi rodanya ketika sampai di bahagian buaian yang digantung pada dahan sebatang pohon yang besar. Montel di riba terus melompat ke tanah, mengejar beberapa ekor burung pipit yang terbang rendah dan berjalan di atas rumput yang menghijau.
"Buaian ini dulu tempat Raisa bermain.." Puan Teja memegang tali buaian, seakan-akan masih dapat dirasakan kegembiraan Raisa saat berhayun di buaian itu.
"Cik Raisa dulu mesti cantik kan." Mustika cuba membayangkan wajah Raisa Ameena, sudah pasti secantik wajah Puan Teja sendiri.
"Comel budaknya. Gebu dan kulit dia macam kamu, putih kemerah-merahan. Kalau dia malu atau marah, sampai ke telinganya akan naik warna merah. Matanya juga redup, seperti mata kamu.." Puan Teja tersenyum kecil, wajah Mustika ditatapnya penuh kasih.
"Mesti Puan rindukan dia.." Mustika menggumam perlahan.
"Urusan ajal itu bukan urusan manusia, Mustika. Tuhan sudah mengatur semuanya, tepat pada waktunya. Tuhan lebih sayangkan Raisa Ameena, sebab itu dia berpulang lebih awal. Saya juga kehilangan separuh upaya badan dan tidak dapat berjalan lagi. Sudah pasti Tuhan mempunyai hikmah di sebalik semua ini, yang tidak pernah saya ketahui." Puan Teja memandang langit senja, matanya juga seakan-akan menyimpan seribu rahsia.
"Benar, Puan." Mustika membalas pendek.
"Puan tak nak berjalan semula ke? Maksud saya, fisioterapi.." Mustika duduk di atas rumput, tubuhnya berhadapan dengan kerusi roda Puan Teja.
"Saya sudah malas.." Riak wajah Puan Teja berubah sedih, entah apa yang difikirkannya.
"Puan tak boleh putus asa. Kita kena berusaha juga untuk ubah nasib diri, Puan. Saya percaya, Puan boleh sembuh dan berjalan seperti biasa." Mustika tersenyum lebar, wajah majikannya di hadapan direnung penuh harapan.
"Saya naik muak, Mustika. Nanti orang kata, saya hanya berangan lebih dan mustahil untuk saya sembuh. Mungkin lebih elok saya begini.." Mata Puan Teja bergenang dengan mutiara jernih, tangannya kelihatan menggigil.
"Siapa berani kata begitu?" Mustika pantas menggenggam tangan Puan Teja, menahan tangan lembut itu dari terus menggigil.
"Adalah orang.." Puan Teja mengetap bibir.
"Puan, percayalah pada saya. Saya akan bantu Puan sampai dapat berjalan semula. Dalam hidup ini, kita tak boleh mendengar kata orang yang negatif. Kadang kala kita perlu pekakkan telinga dan berjalan terus ke hadapan. Puan tak nak ke kembali seperti dulu, membantu Tuan Mikhail dan Tuan Raees menguruskan perniagaan? Puan Teja adalah orang yang dahulunya terkenal dengan kewibawaan seorang wanita yang hebat, mana mungkin kewibawaan itu ditundukkan oleh kata-kata negatif manusia begitu sahaja.." Mustika memegang kedua-dua belah tangan Puan Teja, menyalurkan kekuatan kepada jiwa yang sedang bertelagah di dalam sukma.
"Kamu yakin?" Puan Teja menyoal perlahan.
"Sangat yakin." Mustika tersenyum.
"Baiklah, saya setuju."
Persetujuan dari Puan Teja membuatkan Mustika tersenyum lebar. Dia akhirnya tanpa sedar, melentokkan kepada di pangkuan Puan Teja dan Puan Teja yang terkejut dengan tindakan Mustika, hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tangannya mengelus lembut pipi Mustika, gadis yang berhasil memberi harapan baru untuk hidupnya yang sudah pasrah dengan keadaan.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...