Bab 20 : Eh tiba-tiba sahaja!

31 4 0
                                    

Mustika duduk di atas sofa, sesekali mengerling jam di tangannya sebelum menghela nafas yang panjang. Matanya memandang ke arah pintu dapur, bibirnya diketap, lama menunggu Mak Diva muncul di ruang tamu. Orang tua yang satu ini kalau bersiap, mengalahkan artis lagaknya. Seperti biasa, rutinnya setiap hujung minggu adalah membeli barang keperluan harian di Mydin dan di Pasar Tani Andromeda -sebuah pasar tani yang dikhaskan untuk golongan B40 berniaga dengan percuma. Lazimnya, Mustika akan ke situ bersama dengan Mak Diva, dihantar oleh pemandu syarikat Teja Group.

"Tunggu siapa?"

Raees Arjuna yang muncul dari arah bilik bacaan mengejutkan dirinya, terkesima seketika melihat Raees yang kelihatan agak lain dari yang lain - rambutnya agak kusut dan mengenakan baju tidur berwarna putih bersama dengan senaskhah buku di tangan kanan serta secawan kopi yang aromanya sangat harum di tangan kiri. Mustika tersenyum kecil, anak majikannya ini walaupun sedang kusut masai begini, tetap ketampanannya terserlah juga.

"Saya tunggu Mak Diva. Nak beli barang dapur di Mydin dan pasar tani." Mustika menjawab sopan, sesekali tangannya membelai Montel yang bergesel kakinya.

"Nak saya hantar?" Raees Arjuna menyoal, menawarkan diri untuk membantu.

"No, its okay. Nanti ada driver syarikat yang hantar macam biasa. Tak perlulah Tuan Raees nak hantar kami." Mustika menolak pelawaan Raees dengan rasa serba salah.

"Nah, bukan selalu. Tak apa, saya hantar. Saya tukar baju dulu, nanti saya call Pak Leman supaya jangan datang ke sini sebab hari ini, saya akan temankan awak dan Mak Diva shopping." Raees Arjuna tersenyum, cawan kopi diletakkan di atas meja kopi di sebelah sofa.

"Tukar baju? Tak mandi ke.." Mustika memandang Raees dari atas sehingga ke bawah, dahinya berkerut.

Tawa Raees Arjuna pecah mendengar soalan yang dilontarkan oleh Mustika. Lucu juga gadis ini ya, benar-benar polos dengan wajah yang putih kemerah-merahan itu.

"Saya sudah mandi sebelum subuh." Ujar Raees perlahan, membalikkan tubuh untuk menaiki tangga menuju ke tingkat atas.

Mustika hanya mendiamkan diri dan Montel pula melompat ke dalam pangkuannya, merebahkan diri dan berpusing manja. Geram Mustika melihat pipi Montel yang bulat, dipicitnya geram dan diciumnya berkali-kali. Sepuluh minit kemudian, Raees Arjuna menuruni tangga dan tersenyum lebar saat melihat Mustika menggomol tubuh comel si Montel; kucing itu kelihatan sangat menikmati tangan Mustika yang menggomol dan memeluknya erat.

"Sukalah tu si Montel." Raees tergelak melihat wajah Montel yang ternganga mulut kerana digeletek oleh Mustika.

"Manja dia ni. Geram!" Mustika menggoyang-goyangkan tubuh gebu Montel dan Montel mengiau marah.

"Eh, kita dimarahnya pula." Mustika memuncungkan mulut, kepala Montel dipeluk erat.

Raees Arjuna tersenyum, menikmati hatinya yang senang melihat telatah polos Haura Mustika. Selama ini jauh dia merantau ke negara orang, berjuta wanita telah dia temui dan berbagai-bagai karenah telah dia layani demi menjaga hati. Namun inilah pertama kali dia menemui sesosok gadis muda yang polos dan berani, Haura Mustika. Mustika berbeza dengan wanita-wanita lain yang mendekatinya, auranya membuatkan Raees tenang dan keserabutan fikirannya hilang. Segaris senyuman milik Mustika juga sentiasa berhasil menggetarkan jiwanya dan entah sejak bila, dia selalu berharap gadis itu sentiasa ada di dekatnya.

"Sudah siap!"

Suara Mak Diva mematikan lamunan Raees. Orang tua itu mengenakan tudung bawal berwarna merah dan jubah merah, gincu dan bulu mata palsunya seperti biasa, antara yang paling menyerlah. Mustika segera bangkit berdiri, memaklumkan bahawa Raees Arjuna yang akan menemani mereka berdua membeli barang. Mak Diva mengerutkan dahi, agak terkejut sebenarnya.

"Amboi Tuan Raees, mimpi apa yang tiba-tiba mak temankan kami beli barang? Selama ini, mana pernah ikut kami.." Mak Diva menyoal curiga.

"Saja nak temankan. Saya dah beritahu ayah, yang saya masuk office lambat. Jom!" Raees menuju ke garaj kereta, menghidupkan enjin kereta Tesla merahnya.

"Hari ini kita naik kereta mahal.." Mak Diva ketawa teruja, pantas mengambil tempat duduk di bahagian penumpang.

"Eh.." Mustika keliru.

"Dah kenapa?" Mak Diva menyoal aneh.

"Mak Diva duduk depanlah." Mustika tersengih meminta pengertian, enggan duduk di hadapan, lebih tepatnya dia enggan duduk di sebelah Raees Arjuna.

"Eh, tak naklah. Mustika duduklah di depan, baru sesuai. Mak ini sudah tua, mana sesuai nak duduk di depan dengan Tuan Raees." Mak Diva jujur meluah rasa, membuatkan Mustika mengeluh berat.

"Aduh.." Mustika mengerutkan dahi.

Dia terpaksa mengalah, pintu kereta di sebelah pemandu dibuka dan ya, dia duduk di sebelah Raees Arjuna. Raees tersenyum lebar, berpuas hati dengan tindakan Mak Diva yang seakan-akan memahami situasi. Raees memandu kereta keluar dari perkarangan rumah, sesekali matanya mengerling ke arah Mustika di sebelah yang khusyuk melihat sekeliling menerusi jendela kereta. Gadis bertudung putih itu kelihatan menikmati momen yang ada, membiarkan fikirannya mengimbau kenangan zaman silam.

"Mustika dah rancang nak masuk universiti mana? Ayah beritahu yang awak nak menyambung pengajian kan." Raees memecah hening suasana.

"Hmm belum tahu." Mustika kelihatan berfikir seketika sebelum menggaru-garu kepalanya sendiri.

"Mustika minat bahasa kan? Masuklah ke Universiti Antarabangsa Asia. UAA, sebuah universiti terbaik di Malaysia dan nombor empat terbaik di dunia. Lulusan UAA sentiasa menjadi rebutan, belum sempat bergradusi pun sudah disambar orang." Raees memberikan cadangan.

"UAA itu kan susah nak masuk, Tuan. Perlu ujian saringan dan biasanya, anak orang kaya saja belajar di situ sebab yurannya mahal." Mustika menghela nafas yang panjang.

"Ada je anak orang biasa masuk ke sana tetapi guna biasiswa. Dulu sebelum menyambung pengajian ke UK, saya belajar dua tahun di situ untuk program persediaan. Sempatlah berkawan dengan beberapa orang kawan dari kampung, amak nelayan dan petani. Sekarang ada yang sudah menjadi jurutera di Dubai dan ada yang bekerja dengan syarikat minyak tempatan. Gaji sudah tentu lima angka.." Raees Arjuna terasa rindu dengan kenangan zaman belajar, sungguh indah momen-momen menyiapkan tugasan di saat-saat akhir.

"Besar juga gaji mereka."Mak Diva menyampuk.

" Pendidikan juga salah satu cara orang mengubah hidup mereka, Mak Diva. Sebab itu, saya hairan anak-anak muda zaman sekarang lebih memilih menjadi artis berbanding mengejar pendidikan." Raees kedengaran sedikit kesal.

"Tak semua orang memahami bahawa pendidikan itu penting, Tuan." Mustika membalas lembut, memahami situasi zaman modenisasi.

"Kalau Mustika nak masuk UAA, nanti saya uruskan pengisian maklumat untuk saringan fasa awal." Raees memandang wajah gadis di sebelahnya.

"Duit saya belum cukup." Mustika mengetap bibirnya, meluah jujur.

"Jangan risau tentang duit. Ibu kata dia sendiri yang nak bayarkan yuran awak kalau awak berjaya masuk universiti." Raees Arjuna tersenyum kecil.

"Apa?" Mustika terkejut.

"Wah, rezeki tu Mustika." Mak Diva teruja.

"Saya serba salah, Tuan. Puan sudah terlalu banyak membantu saya, baik sangat. Saya tak nak ambil kesempatan atas kebaikan orang." Mustika memicit-micit dahinya yang agak tegang, kepalanya agak pening.

"Awak takkan boleh menolak. Percayalah, ibu kalau dia nak bantu orang, sekalipun badai melanda, tak ada yang boleh menghalang. Ayah pun tak ada masalah, suka lagi ada dengar awak nak sambung belajar. Saya lagilah, mana tahu nanti awak dapat bekerja dengan Teja Group. Dapat juga jadi penyumbang idea untuk projek syarikat."

Mustika hanya mendiamkan diri, membiarkan Raees Arjuna meneruskan kata-kata tanpa sebarang gangguan. Dia tidak menyangka Puan Teja merancang untuk menanggung yuran pengajian sekiranya dia terpilih untuk masuk ke universiti. Setelah melalui kehidupan neraka bersama dengan ibu dan ayahnya, dia bersyukur Tuhan menemukan dia dengan orang yang baik-baik.

"Terima kasih, Tuhan."

KELANA CINTA DI HATI MUSTIKAWhere stories live. Discover now