Datuk Kamal duduk berhadapan dengan Tan Sri Tuah. Di sebelahnya, Kabil sedang duduk menyandar sambil memandang wajah Tan Sri Tuah yang jelas kelihatan tegas dan serius. Di belakang Tan Sri Tuah, berbaris beberapa orang pengawal keselamatan yang gagah mengenakan persalinan baju hitam dan berkaca mata. Sempat Kabil melihat otot-otot yang berurat milik pengawal-pengawal tersebut. Kabil hanya mendengar perbincangan antara ayahnya dan Tan Sri Tuah, sesekali perhatiannya terganggu apabila beberapa orang pelanggan di restoran hotel itu memandangnya dan berbisik sinis, mungkin kerana ura-ura yang tersebar bahawa dialah yang telah menyeleweng dana dan menyebabkan Mutiara Group berada dalam krisis yang dahsyat.
"Tan Sri Tuah, pihak kami benar-benar memerlukan bantuan. Kami sudah kehabisan dana kerana kes penyelewengan wang dan tuduhan rasuah yang sedang hangat. Anggaplah Tan Sri membantu keluarga abang saya. Bukanlah dulu Kamil yang membantu syarikat Tan Sri ketika hampir muflis?" Datuk Kamal mengerutkan dahu, sepenuh jiwa ingin meyakinkan Tan Sri Tuah agar sudi membantu syarikatnya.
"Saya rasa tak ada keperluan untuk saya menghulurkan bantuan. Lagi pula, syarikat itu bukan lagi kepunyaan Kamil. Syarikat itu sepenuhnya kepunyaan Datuk Kamal dan untuk kes penggelapan wang itu, orang yang bersalah perlu berani tampil untuk bertanggungjawab." Tan Sri Tuah tersenyum sinis, mengerling ke arah Kabil yang sudah kemerah-merahan wajahnya.
"Tan Sri, saya tetap adik Kamil. Bantulah syarikat Mutiara.." Datuk Kamal separuh merayu.
"Datuk Kamal tidak rasa ini adalah kifarah dari Tuhan? Setelah apa yang Datuk Kamal lakukan pada keluarga Kamil?" Tan Sri Tuah cuba menduga.
"Maksud Tan Sri?" Datuk Kamal tergagap-gagap.
"Aneh bukan? Mutiara Group yang mendunia dan disegani ramai boleh jatuh terpuruk kerana isu yang buruk begini. Isu yang tidak pernah wujud ketika Kamil masih hidup. Mungkin Datuk Kamal sebenarnya tidak pandai mengurus organisasi dengan telus. Datuk tak terfikir ke ini adalah balasan atas dosa silam? Kerana hak anak yatim piatu yang dirampas dan diabaikan. Memakan harta anak yatim ini dosa besar, Datuk Kamal.." Tan Sri Tuah mengetuk jari-jemarinya pada meja.
"Itu bukan salah kami. Azman sendiri yang melarikan diri.." Kabil yang lama berdiam diri akhirnya bersuara.
"Seseorang yang menggelapkan wang syarikat untuk melanggan pelacur kelas atasan, tidak layak berbicara dengan saya. Mulutnya kotor!" Tan Sri Tuah langsung tidak memandang wajah Kabil, jijik rasanya.
Kabil mengepal penumbuk, jika tidak mengenangkan pengawal-pengawal yang bertubuh sasa di belakang Tan Sri Tuah, sudah lebam wajah orang tua itu. Sakit hatinya dihina terang-terangan di hadapan ayahnya sendiri. Datuk Kamal terkesima seketika, agak marah kerana Kabil di sebelahnya tiba-tiba mencelah, bimbang niatnya untuk meminta bantuan Tan Sri Tuah akan ditolak oleh lelaki berkaca mata itu.
"Maafkan kelancangan Kabil. Tentang Azman, dia sendiri yang menghilangkan diri. Saya hanya meneruskan legasi abang saya demi Mutiara Group. Saya tidak bersalah.." Datuk Kamal cuba membela diri.
"Terlalu awal untuk kita menyimpulkan perkara yang masih samar-samar, Datuk. Azman bukan sengaja menghilang tetapi kerana Datuk sendiri yang menyekat akaun bank, merampas hartanya dan paling sadis, merampas syarikat yang sepatutnya menjadi milik dia.." Tan Sri Tuah menggeleng perlahan.
"Saya terpaksa. Dia terlalu muda untuk mentadbir syarikat.." wajah Datuk Kamal berkerut seribu.
"Cara Datuk Kamal salah. Saya malas mahu berbasa-basi, kita terus kepada tuntasnya. Saya mahu menghulurkan bantuan tetapi ada syaratnya.." Tan Sri Tuah membuka fail yang ada di hadapannya, mengeluarkan beberapa helai dokumen berwarna putih.
"Apa syaratnya.." ujar Datuk Kamal tidak sabar.
"Saya akan membantu Mutiara Group dengan lima syarat. Pertama, kembalikan saham syarikat sebanyak 41% kepada Azman. Saya tahu 41% itu adalah bahagian Datuk. Berikan kepada Azman. Jangan risau akan kehilangan kuasa kerana Datuk Kamal masih ada saham di dalam syarikat menerusi Datin Belinda. Ya, kerana pelabur yang lain sudah ramai melarikan diri dan menarik wang masing-masing. Syarat kedua, saya mahu Azman dan Mustika mula bekerja di Mutiara Group. Memandangkan Mustika juga masih belajar, jadi jika ada masa terluang, dia akan ke syarikat untuk belajar ilmu keusahawanan. Syarat ketiga, saya mahukan 5% saham dari syarikat Mutiara, supaya saya juga mempunyai kuasa. Syarat keempat, beri keizinan untuk saya melakukan rombakan pengurusan tertinggi syarikat kerana saya hendak membuang manusia pengkhianat yang wujud. Dan syarat terakhir, singkirkan Kabil dari syarikat.." Tan Sri Tuah tersenyum kecil.
"Syarat-syaratnya agak sukar.." Datuk Kamal menghela nafas yang panjang.
"Ya terserah.. lagi pula wang yang bakal saya keluarkan jika saya membantu syarikat Datuk bukan sedikit jumlahnya. Billion.." Tan Sri Tuah mencicipi kopi di dalam cawan.
"Dan mengapa Kabil perlu disingkirkan dari syarikat? Dia satu-satunya anak lelaki saya yang boleh dipercayai.." Datuk Kamal masih tidak berpuas hati.
"Sebab saya tidak mahu dia menghancurkan Mutiara Group untuk kali kedua. Beberapa tahun kebelakangan ini, saham syarikat Datuk turun kerana skandal melibatkan Kabir. Tak pernah habis-habis!" Tan Sri Tuah berterus-terang.
"Ayah, balik je la. Semua syarat tu tak adil. Dia nak ambil kesempatan je.." Kabil menjeling geram ke arah Tan Sri Tuah.
"Terpulang.. bukan saya yang rugi. Syarikat kalian sendiri yang akan menanggung akibatnya." Tan Sri Tuah tergelak sinis.
"Beri saya masa seminggu, Tan Sri. Saya bincang dulu dengan isteri dan beberapa orang penting dalam syarikat.." Datuk Kamal meminta tempoh waktu untuk berfikir.
"Baiklah.."
Tan Sri Tuah hanya tersenyum lebar, umpan yang dilempar semakin hampir mengenai sasaran.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomansaSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...