Mustika melangkah mendekati rumah tukang kebun, bersama Mak Diva dan Umi Mariam yang setia menemaninya. Mereka bertiga berjalan beriringan dan Mak Diva yang berbedak sejuk di wajahnya, sesekali membetulkan tudungnya yang senget. Mustika melihat ramai tukang kebun yang sedang duduk bersantai sambil menikmati kopi di beranda rumah. Melihat Mustika yang menghampiri mereka, Azman segera bangkit berdiri, membuang sisa rokok yang penuh di dalam bekas kayu kecil di atas meja.
"Assalammualaikum.." Umi Mariam mengucap salam.
"Waalaikumusalam Mariam. Ada apa tiba-tiba ke sini, malam-malam pula. Jarang-jarang berlaku.." Muaz, salah seorang tukang kebun yang merupakan bekas askar yang berhenti kerja kerana faktor kesihatan menjawab sopan.
"Mustika nak jumpa dengan ayahnya.." Umi Mariam tersenyum, memberi isyarat untuk tukang kebun yang lain meninggalkan Azman bersendirian di luar.
"Kalau begitu, kami yang lain masuk ke dalam dulu. Mahu berehat, esok dah nak kerja semula. Ayuh!" Muaz bingkas bangun bersama yang lain, mengambil cawan kopi masing-masing lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Hanya Azman yang masih duduk di kerusi, memandang wajah Mustika dengan pandangan penuh tanda tanya.
"Ada apa, Mustika?" Dahi Azman berkerut.
Mustika melabuhkan punggung di atas kerusi, berhadapan dengan ayahnya. Mak Diva dan Umi Mariam pula duduk di kerusi kayu di bawah pokok, di sebelah kiri rumah tukang kebun sambil masing-masing memerhati penuh teliti ke arah Mustika dan Azman.
"Ayah.." Mustika cuba mengawal rasa sesak di dadanya ketika duduk berhadapan dengan Azman. Tangannya mulai berpeluh, dan dia dapat merasakan badannya seram sejuk kerana teringat kembali saat-saat dia dihentam oleh si ayah. Menyedari wajah Mustika yang bertukar pucat, Azman mengenggam tangan anaknya yang menggigil.
"Tenang, ayah bukan lagi ayah yang kejam seperti dulu. Maafkan ayah.." Azman bersuara sebak, tubir matanya bergenang dengan mutiara jernih.
"Saya hanya nak tahu, siapa sebenarnya ayah? Kenapa saya rasakan, saya langsung tak kenal ayah.." Mustika memberanikan diri membuka mulut.
"Maksud kamu?" Azman bingung.
"Ayah adalah pewaris syarikat Mutiara Group. Jadi siapa sebenarnya orang tua yang ayah sebut sebagai mak dan abah di kampung? Dan apa pula hubungan ayah dengan Tina? Saya nak tahu semuanya.." Mustika menatap wajah ayahnya, hatinya nekad ingin tahu semuanya.
"Mustika, ada perkara yang lebih baik kamu tidak tahu. Kalau boleh, ayah sendiri tak mahu nak mengenang peristiwa zaman silam." Azman mengeluh berat, wajahnya bagaikan sedang dirundung seribu satu masalah.
"Tapi saya ada hak untuk tahu.." Mustika nekad.
"Mustika.." Azman menghela nafas panjang.
"Sejauh mana ayah lari, kenyataan tetap sama. Sampai bila nak menidakkan realiti. Ayah perlu beritahu saya. Untuk kebaikan bersama, kalau ayah mahu saya terima ayah semula dalam kehidupan saya.." Mustika separuh mengugut.
Azman mengetap bibir.
"Ya, ayah pewaris tunggal Datuk Kamil. Tapi ayah tak berniat pun nak mewarisi semua harta yang banyak tu. Sebab itu, sebaik sahaja urusan pengebumian keluarga ayah selesai, ayah ikut bekas pemandu keluarga kami balik ke kampung. Orang yang kamu panggil atuk dan nenek itulah, bekas pemandu dan pekerja di rumah kami dulu. Mereka yang bantu ayah bangkit semula dan bina hidup baru dengan mak kamu. Ayah kemurungan, Mustika. Hanya benda putih itu yang dapat bantu ayah lepaskan segala tekanan yang ada. Ayah juga tak sengaja jadikan kamu tempat pelampiasan marah. Ayah terlalu bodoh mengikut rasa dan nafsu, sampaikan ayah tergamak menjual kamu demi duit. Ayah sedar semuanya bila keluar dari kampung, perlahan-lahan ayah tinggalkan ketagihan. Ayah rindu kamu dan mak kamu tapi.." Azman menyeka air mata yang keluar tanpa dipinta.
"Ayah sudah ceraikan mak kamu.."
Azman meraup wajah dengan kedua-dua tangannya. Hatinya mengutuk kebodohan diri yang tanpa sengaja melafazkan cerai pada Munah ketika hendak melarikan diri dari kampung suatu ketika dahulu.
"Saya tahu ayah sudah ceraikan mak. Tuan Mikhail yang beritahu sebab mak masih ada di kampung, dia dirawat di rumah rawatan Nur Zahra kerana ketagihan dadah yang kronik. Ayah tak rasa berdosa ke? Ini semua sebab ayah.." Mustika menarik nafas, tubir matanya terasa panas.
"Maafkan ayah.." hanya itu yang mampu diucapkan oleh Azman, bahkan seribu alasan tidak mampu membuatkan dosanya hilang begitu sahaja.
"Tina itu pula siapa? Dalam gambar lama, ayah nampak sangat rapat dengan dia. Dia juga terkejut tengok ayah.." Mustika mengesat air mata yang mengalir dengan lengan baju tidurnya.
"Dia.. bekas kekasih ayah." Azman berterus-terang, enggan menyimpan lebih banyak rahsia.
"Huh?" Mustika tergamam.
"Ayah yang bantu dia jadi model terkenal. Kami sudah hampir nak berkahwin tetapi nahas kapal terbang itu mengubah segala-galanya. Mana mungkin lelaki yatim piatu seperti ayah dapat memberi kemewahan kepada Tina yang terkenal dan dilimpahi barang-barang mahal? Jadi ayah bawa diri ke kampung Pak Nordin dan Mak Siah. Ayah juga terkejut jumpa dia tempoh hari, tak sangka bertemu semula. Ayah tahu dia bertunang dengan Yusuf dahulu tapi putus. Sebab Usman yang punya angkara, memerangkap Tina.." Azman ketawa sinis mengenang kisah silamnya yang miris.
"Weh, bekas kekasih dialah!" Mak Diva berbisik di telinga Umi Mariam dengan nada terkejut.
"Tak hairan aku, kau tengoklah muka si Azman tu. Kusut masai pun masih nampak aura gagahnya! Orang kata aura mahal. Tak hairan kalau si Tina terpikat.." Umi Mariam membalas dengan suara yang separuh berbisik, sempat menjeling ke arah Mak Diva yang terkesima di sebelahnya.
Mustika tersenyum kecil mendengar bisikan yang samar-samar dari arah Mak Diva dan Umi Mariam. Tahulah dia orang tua berbedak sejuk itu sedang terkejut mendengar apa yang diluahkan oleh ayahnya.
"Ayah tak nak jenguk mak?" Mustika menyoal lembut.
"Masih belum kuat nak menatap muka mak kamu. Banyak sangat dosa ayah pada dia!" Azman merenung kosong cawan kopi di tangannya.
"Bagaimana dengan hak ayah sebagai pewaris Mutiara Group? Ayah tahu tak sekarang syarikat Mutiara sedang ada krisis besar berkaitan dengan penyelewengan dana syarikat. Polis sedang menyiasat dan dengar-dengar, ada unsur rasuah." Mustika cuba menarik perhatian ayahnya terhadap kes melibatkan syarikat Mutiara.
"Ayah dah malas nak ambil kisah.." Azman meneguk kopi di tangan, memandang ke arah dada malam yang dihiasi bintang.
"Ayah tak nak tuntut ke hak? Itu syarikat yang orang tua ayah usahakan dengan jerih payah. Saya baca semua artikel berkaitan, Datuk Kamil mula dari bawah semuanya, dari kosong! Takkan ayah nak biar usaha orang tua ayah sia-sia? Mengalah sekali tak bermaksud mengalah selamanya.." Mustika memegang jari-jemari ayahnya yang hitam dibakar mentari kerana bekerja sebagai tukang kebun.
"Ayah dah penat dengan permainan korporat. Ayah nak hidup tenang dan menjaga kamu, satu-satunya darah daging ayah." Azman bertegas, hatinya sudah penat dengan tipu daya manusia yang tamak dan rakus.
"Kalau saya yang nak menuntut hak, bagaimana? Ayah benarkan ke?" Mustika cuba menduga.
"Kamu?" Azman agak terkejut.
"Selagi ada daya dan kudrat, apa yang menjadi hak perlu saya ambil semula. Mereka sedang mencari pewaris yang dikatakan mati oleh media. Ayah sudah mati kata mereka, dan sekarang syarikat itu akan binasa sekelip mata kerana ulah bedebah-bedebah itu? Saya tak akan biarkan! Itu adalah hasil susah-payah datuk dan nenek saya.." Mustika serius, tangannya mengepal penumbuk.
"Apa rancangan kamu?" Azman menyoal ingin tahu.
"Adalah" Mustika hanya tersenyum.
Azman menatap wajah Mustika yang mulus, jelas anaknya itu bukanlah seorang Mustika yang dahulunya lemah dan tidak berdaya. Anaknya itu sudah jauh berubah dan entah mengapa dia melihat dirinya sendiri ketika usia muda remaja di dalam diri Haura Mustika. Jiwa muda yang tidak terkalahkan walau dihentam dari pelbagai arah!
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...