"Cantiknya.."
Munah memuji kecantikan wajah anak gadisnya yang lengkap dalam persalinan serba hijau muda. Wajah muda itu naik seri ketika dihias oleh Mak Andam untuk malam berinai yang akan berlangsung tidak lama lagi. Selesai membantu Mustika mengenakan persalinan baju tradisional Lehenga India, Mak Andam itu keluar dari bilik dan menuju ke halaman rumah di mana pelamin yang besar sudah dipasang di bawah khemah yang mewah dan bersinar dengan cahaya yang terang. Mustika memerhati wajahnya sendiri di dalam cermin, hatinya terasa berdebar dan di sisinya, si ibu sedang seronok berswafoto dengan gelang emas baharunya, sudah tentu hasil daripada duit Tuan Iskandar. Sesekali hatinya terasa jengkel, tidakkah ibunya itu merasa bersalah kerana seakan-akan menjual anak sendiri hanya kerana tamakkan wang dan harta? Di halaman rumah, kedengaran suara meriah tetamu yang datang untuk menyaksikan malam berinai Mustika dengan Tuan Iskandar. Tidak ketinggalan suara Azman, ayahnya yang ketawa dengan kuat seakan-akan bangga mengahwinkan anak perempuannya dengan orang kaya.
"Jom Mustika, kita turun.." ujar Munah teruja.
Mustika hanya menurut perintah ibunya, terasa berat kepalanya mengenakan selendang dan aksesori perhiasan kaum India. Dia mengikut jejak langkah ibunya dan menuruni tangga dengan berhati-hati, bimbang kain Lehenga yang panjang membuatkan dia tersungkur menyembah tanah. Dia dibawa ibunya menuju ke pelamin dan sesekali, ibunya berbisik agar Mustika jangan bermasam muka seakan-akan sedang dikahwin paksa. Memang itu kenyataannya, dia memang sedang dipaksa untuk berkahwin. Gadis muda mana yang gila mencagar maruah diri untuk menikahi seorang lelaki tua yang merupakan ayah sahabat baik ya sendiri? Dari jauh dia melihat Tuan Iskandar yang mengenakan sut serba hijau sedang tersenyum lebar sambil mengenyitkan mata ke arahnya. Jelik sungguh, terasa loya tiba-tiba tekaknya melihat pemandangan yang memualkan itu. Di sisi sebelah kiri, Isma melangkah perlahan mendekati Mustika dan duduk di sebelah sahabatnya itu di atas pelamin.
"Baguslah macam ni. Kan elok berbaik dengan bakal mak tiri." Munah bersuara lega sambil melangkah meninggalkan Isma dan Mustika duduk berdua sahaja di atas pelamin, sementara menunggu tukang inai selesai menjamu selera di meja tetamu.
"Mak tiri apanya.." kelihatan wajah Isma jelas tidak selesa, dahinya berkerut.
"Abaikan ibu aku.." Mustika berwajah serius.
"Sakit hati aku tengok ayah aku.." Isma mencebik bibir saat melihat wajah miang ayahnya, terasa hendak ditamparnya wajah orang tua itu agar sedar diri.
"Macam mana rancangan kita?" Mustika menyoal ingin tahu, suara diperlahankan bimbang didengar oleh sesiapa.
"Lepas majlis malam ini, dalam jam 11 malam, engkau keluar dari jendela bilik engkau. Aku dan kawan aku tunggu dekat bawah rumah dan kami akan hantar engkau sampai ke hujung kampung. Sana, ada kereta kawan aku dan kau berdua akan terus ke KL. Mustika, make sure tiada sesiapa tahu tentang rancangan kita sebab aku takut nanti, ayah aku dan ayah engkau mengamuk pula.." Isma separuh berbisik.
"Jangan risau tentang itu." Mustika bersuara yakin.
"Sana nanti, sementara engkau cari kerja, tinggallah dulu dengan aku." Isma tersenyum kecil, bahu Mustika ditepuknya mesra.
Mustika hanya mengangguk kecil. Niatnya sekarang memang ingin mencari kerja, apa pun kerja yang ada, asalkan halal di sisi agama dan melanggar syariat Islam. Dan juga dia ingin mencari kerja yang menyukarkan dirinya untuk bertemu dengan kedua-dua ayah dan ibunya, walaupun dia perlu bekerja sebagai orang gaji, dia sanggup. Kerja itu jauh lebih baik daripada menjadi boneka hidup yang dipukul dan didera sesuka hati di rumah.
"Ingat ya, Mustika. Malam ini.." Isma berbisik lagi sebelum melangkah pergi menyertai kerumunan orang kampung di bahagian khemah tetamu.
Mustika mengenggam tangannya sendiri, terasa sejuk jari-jemarinya. Keputusan ini adalah keputusan yang sangat besar tetapi ini sahaja jalan keluar yang ada. Dia tidak sanggup tubuh mudanya diratah oleh lelaki tua yang miang dan dalam masa yang sama, dia juga jijik dengan hakikat dia perlu menjadi isteri keempat. Dia tidak suka menjadi pilihan yang kedua apalagi pilihan keempat, kerana seorang lelaki belum tentu mampu berlaku adil. Mereka bukan nabi bahkan Nabi Muhammad s.a.w pun tidak pernah menduakan Siti Khadijah semasa isteri baginda masih ada. Keputusan baginda nabi untuk berpoligami punyai alasan tersendiri, bukan kerana nafsu yang merajai hati.
"Aku harus pergi." Bisik Mustika dalam hati.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...