Menjelang beberapa hari sahaja lagi, majlis akad nikah akan berlangsung. Mengenangkan perkara itu, Mustika hanya duduk merenung sepersalinan baju kurung pengantin berwarna putih yang digantung ibunya di dinding kayu rumah mereka. Majlis dirancang akan dilangsungkan di Masjid Al Khawarizmi di Kampung Bunut. Mustika tidak merasakan apa-apa, hatinya kosong, tidak selayaknya rasa hati seorang gadis yang bakal bergelar isteri tidak lama lagi. Pandangan matanya dialihkan ke beg bagasi berwarna merah jambu di sudut bilik, sedikit harapan mulai bersinar kembali saat beg itu direnungnya lama. Sijil-sijil dan dokumen penting sudah disimpan, begitu juga beberapa helai baju kurung dan tudung telah memenuhi ruang bagasi peninggalan arwah neneknya itu. Ketika ini, hanya Isma satu-satunya harapan yang dia ada untuk melarikan diri dari rancangan jahat kedua-dua ibu dan ayahnya. Dan baru kali ini juga, hatinya merasa bersinar dengan cahaya harapan untuk meneruskan kehidupan menggapai impian yang tergendala. Mustika segera mengalihkan pandangan ke pintu bilik ketika ibunya muncul di situ, dengan wajah yang berhias dengan riasan mekap yang tebal."Mustika.." ujar Munah perlahan.
Langkah kakinya longlai mendekati anak gadis yang masih duduk di birai katil. Mustika menghela nafas yang panjang, matanya dipejamkan jijik saat menghidu aroma bau arak pada setiap hembusan nafas ibunya. Tahulah Mustika bahawa ibunya itu baru sahaja balik dari kelab malam dan ketika itu juga, terdengar suara ayahnya yang muntah-muntah dari arah tangga halaman rumah. Mustika tersenyum sinis, sudah terlalu biasa dengan situasi yang menjijikkan seperti ini di mana agama Islam tidak dipraktikkan bahkan air kencing syaitan diteguk sesuka hati.
"Kau nak kahwin kan.." Munah tergelak kecil, separuh tidak sedarkan diri.
"Kenapa ibu?" Mustika menahan rasa mual menghidu aroma yang tidak menyenangkan. Selimut di atas katil diambil pantas dan digunakan untuk menyelubungi tubuh ibunya yang terdedah di mana-mana dan matanya sempat terlihat luka di bahagian leher ibunya.
"Kau nanti bila dah kahwin, jangan jadi bodoh sebab lelaki. Aku tak nak engkau jadi macam aku, Mustika. Hidup aku rosak sebab ayah engkau. Nanti engkau kahwin dengan si tua miang itu, engkau rampas semua harta dia sampai licin, tak tinggal satu sen pun."
Dan mungkin benar kata orang, ketika kita di dalam keadaan mabuk, kadang-kadang tidak sedar apa yang dituturkan oleh segaris bibir. Mustika hanya mendengar luahan ibunya, sesekali dia melihat air mata bergenang di tubir mata wanita bergaun seksi itu.
"Engkau ambil semua kekayaan dia dan engkau kejar impian engkau, Mustika. Aku nak tengok anak aku berjaya.." Munah tersenyum lebar, menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.
Rambut Mustika dibelai lembut dan dalam keadaan separuh sedar itu, dia memeluk sekujur tubuh anaknya itu. Entah mengapa Mustika rasakan pelukan itu adalah pelukan paling ikhlas, dari seorang ibu yang sedang tidak sedarkan diri kerana mabuk. Beberapa saat kemudian, Munah rebah di atas katil, memejamkan mata sambil mulutnya menyumpah seranah suaminya sendiri dan sesekali kedengaran dia menyumpah Tuan Iskandar agar orang tua itu cepat mati. Mustika menyedari tubir matanya terasa panas, segera dikesat agar mutiara jernih itu tidak mengalir jatuh. Seraut wajah indah milik ibunya diperhati dan memang benar kata orang, wajahnya tidak tumpah memang seiras seperti ibunya.
"Maafkan saya, ibu." Mustika melirih sayu.
"Pergilah jauh, nak. Lari.."
Hanya itu yang sempat diungkapkan oleh Munah sebelum dengkurannya terdengar memecah hening suasana dinihari. Mustika mengenggam erat jari-jemari ibunya, serba salah dengan rancangannya untuk melarikan diri menjelang perkahwinan nanti namun digagahkan jua hatinya demi masa hadapan sendiri. Jauh di sudut hatinya, dia tahu bahawa ibunya menyayanginya walaupun dia dilayan bagaikan sampah di rumah itu, sekurang-kurangnya ibu tidak pernah memukulnya seperti ayah yang sering menjadikan tubuh Mustika sebagai tempat melampiaskan amarah durjana. Mustika menghela nafas yang panjang, gaun pengantin di dinding direnungnya kosong.
"Maafkan anakmu, ayah.."
Mustika nekad. Dia akan meninggalkan kampung ini demi kebaikan dirinya sendiri. Dia perlu membawa diri jauh dari kedua-dua ibu dan ayahnya. Sudah cukup selama 19 tahun dia menahan siksa hidup bersama ayah yang suka mendera, inilah saatnya dia pergi mencari haluan hidup sendiri. Mustika tidak sabar menunggu hari itu, hari di mana dia akan meninggalkan kehidupan di neraka dunia ini.
YOU ARE READING
KELANA CINTA DI HATI MUSTIKA
RomanceSeorang gadis bernama Mustika yang didera ibu dan ayahnya yang kemaruk dadah. Dia dijual oleh ayahnya hanya untuk mendapatkan wang dan kerana tidak tahan disiksa, dia lari ke bandar. "Mustika.." Di bandar, dia ditakdirkan bekerja sebagai pembantu r...