BAB 3 🌼

6.1K 276 16
                                    

HAWRA menyusun botol air di bahagiannya. Matanya yang semakin bengkak dibiarkan sahaja. Dia perlu mencari wang untuk dirinya juga. Tambah pula, semalam Izzul langsung tidak pulang ke rumah. Dia juga tidak tahu ke mana lelaki itu berada. Malah nombornya juga sudah disekat oleh Izzul.

Sedang dia menyusun botol air, telinganya menangkap suara seseorang. Suara yang cukup dikenali olehnya. Hawra segera memakai mask mukanya kembali. Dari celah rak itu, dia dapat melihat Izzul dan Hanis yang berjalan berdampingan.

"Awalnya nak beli barang rumah," ucap Izzul sambil mengerling jam di tangan.

"Apa salahnya. Next week kita dah kahwin. Nanti senang nak penuhkan rumah baru kita dengan barang ni. Abang Izz tak nak teman Hanis ke?" Balas Hanis dengan nada sedikit rajuk.

"Bukan macam tu. Cuma Abang Izz busy sikit kejap lagi. Takut tersekat dalam jammed," jelas Izzul. Risau Hanis terasa dengannya.

"Kejap je ni Abang Izz. Selesai beli, kita balik terus. Please," rengek Hanis.

"Ya lah."

Hanis terus tersenyum saat mendengar jawapan Izzul. Lengan Izzul terus dirangkul lembut. Izzul hanya membiarkannya sahaja dan menolak troli. Dia juga sudah terbiasa dengan cara Hanis itu.

Hawra segera menunduk ke bawah saat mereka berdua berjalan melintasi bahagian rak itu. Tubuhnya terus terasa menggigil.

"Abang Izz. Tengok ni, cantik kan?" Soal Hanis sambil menunjukkan cawan bewarna biru lembut ke arah Izzul.

"Cantik. Hanis nak ke?" Soal Izzul. Melayan.

"Tapi mahal lah. Hanis takut tak guna je nanti." Hanis meletakkan semula kotak cawan itu di atas rak.

"Ambil je. Abang belanja. Untuk rumah kita juga kan?"

"Serius ni Abang Izz? Thank you," jerit Hanis dengan riang.

Kotak cawan itu diambil dan diletakkan ke dalam troli. Selepas itu, mereka berdua berjalan ke bahagian lain pula.

Hawra hanya mampu memejam mata saat mendengar segala perbualan mereka berdua. Bibirnya sudah terketar kerana menahan tangis.

Kenangan lama dia bersama Izzul terimbau kembali. Begitulah mereka saat bercinta. Semuanya indah. Malah layanan Izzul yang cukup lembut padanya juga cukup dirindui olehnya.

"Hawra?" Tegur Fairuz dari belakang.

Hawra terus menoleh ke arah Fairuz. Jantungnya hampir luruh kerana suara Fairuz yang hampir sama dengan suara Izzul.

"Kau okay tak ni?" Soal Fairuz dengan nada risau.

"Aku okay." Tiba-tiba Hawra terbatuk. Batuknya pula tidak henti-henti.

"Maaf. Aku nak pergi tandas kejap," ucap Hawra dan terus berlari ke arah tandas.

Sampai di tandas, dia terus membuka masknya. Matanya terus membulat apabila melihat tompokan darah di situ. Dadanya juga mula terasa sesak. Hawra terus masuk ke dalam salah satu tandas apabila mendengar suara seseorang dari luar.

Dia cuba untuk menenangkan dirinya buat seketika. Dadanya diusap perlahan dengan selawat. Mask yang sudah kotor itu dipandang lama. Pertama kali, dia batuk berdarah. Hatinya mula berasa tidak sedap.

🌼

IZZUL melangkah turun ke bawah. Dia perlu memberitahu sesuatu kepada Hawra. Sudah lama dia tidak berbual dengan Hawra selepas pergaduhan yang berlaku di antara mereka berdua.

"Nah," ucap Izzul dan meletakkan sebuah sampul di hadapan Hawra.

Hawra merenung kosong ke arah sampul putih itu. Perlahan-lahan dia mengambil sampul putih itu. Saat mengeluarkan isinya, bibirnya terus mengukir senyum.

"Tahniah Izz. Akhirnya awak akan berkahwin lagi," ucap Hawra dengan renungan kosong.

"Kalau kau hamilkan anak aku, semua ni tak kan berlaku," luah Izzul.

Hawra mengeluh perlahan. Hujungnya dia juga yang dipersalahkan. Dia sedar semua itu.

"Maafkan saya sebab tak mampu nak beri awak zuriat. Tapi boleh saya minta satu perkara. Janji dengan saya."

Kata-kata Hawra membuatkan Izzul berasa berdebar. Dia tidak mahu Hawra meminta sesuatu di luar jangkauannya.

"Haa. Apa dia?"

"Saat Hanis mengandung, lafazkan cerai talak tiga pada saya," ucap Hawra dan memandang ke arah mata Izzul.

Izzul tersentak. Dia tidak sangka Hawra akan meminta untuk dilepaskan dengan talak tiga. Tiba-tiba dadanya berasa berdebar.

"Talak satu. Aku takkan bagi kau talak tiga. Tak akan," balas Izzul dan berdiri.

"Saya minta satu je Izz. Ceraikan saya dengan hal tu. Lepas pada tu, saya takkan munculkan diri saya depan awak dan Hanis. Saya janji."

"Kau tak faham bahasa ke? Aku tak kan buat semua tu. Jangan mimpi!" jerkah Izzul dan berjalan ke arah tangga.

Hawra memejam matanya seolah menerima nasibnya saat itu. Dia sudah tidak tahu bagaimana lagi cara untuk dia melepaskan diri daripada Izzul.

"Oh. Aku lupa. Kau kena ikut aku hari Khamis nanti. Aku nak kau ada waktu aku akad nikah," pesan Izzul dan berjalan naik ke bilik.

Hawra mengeluh perlahan. Besarnya ujian buat dirinya. Permintaannya ditolak mentah-mentah malah diarah seolah tiada hati. Buat kali kedua, dadanya terasa sakit. Nafasnya juga mula terasa sesak.

🌼

HANIS berbaring di atas katil kakaknya. Jarinya juga sudah diisi dengan inai berwarna putih. Nampak klasik di tangan runcingnya itu.

"Seronok nampak?" Tegur Halisah yang baru sahaja selesai mandi.

Dia duduk di sebelah Hanis sambil mengeringkan rambutnya.

"Mestilah seronok. Akak pun tahu kan yang adik ni crush dekat Abang Izz tu dah lama. Finally, adik dapat dia," ucap Hanis dengan nada ceria.

"Tapi adik jadi isteri kedua dia kan? Seronok ke?" Sindir Halisah.

Jujurnya dia tidak berkenan saat ibu bapanya bersetuju dengan cadangan mak saudara mereka iaitu Puan Anida. Hanya kerana Izzul tidak memiliki anak, mereka meminta Hanis menjadi pengganti.

"Eh tak la akak. Aunty Nida cakap yang Abang Izz akan ceraikan isteri dia. Lagi pun Hawra kan mandul. Dah kahwin enam tahun pun tak boleh bagi Abang Izz anak. Jadi apa salahnya, adik jadi isteri Abang Izz kan?" Tuturnya tanpa rasa bersalah.

"Entah lah. Akak tak suka dengan semua ni. Aunty Nida tu macam nak gunakan adik sebagai kambing hitam dia je. Dia hanya nakkan cucu je."

"Tak baiklah akak cakap macam tu. Lagi pun Abang Izz dah beritahu adik yang dia sayangkan adik dan akan jaga adik dengan baik."

Itulah kata-kata Izzul dahulu. Disebabkan itu Hanis menerima dengan senang hati. Lelaki yang disukainya sejak zaman sekolah. Mustahil dia mahu menolak pinangan Puan Anida itu.

"Haish. Entah lah, akak kesian pula dekat Hawra tu. Bukan salah dia kalau dia tak boleh mengandung. Itu kan dah takdir Allah," bela Halisah.

Dia pernah berjumpa dengan Hawra secara depan. Dan jujur daripada hatinya, Hawra cukup baik. Malah terlalu baik. Dirinya juga sedih apabila teringat akan Hawra yang hanya dibuang setelah tiada guna.

"Akak ni. Patutnya support adik sendiri. Bukannya bela perempuan tu. Esok adik dah nak nikah. Akak jangan macam-macam," pesan Hanis kerana berasa risau.

"Ye lah. Akak mana ada hak nak halang. Dah kalau itu pilihan adik. Akak mampu doakan je kebahagiaan adik. Apa-apa masalah, jangan menempel dekat akak cakap menyesal," ucap Halisah dan bergerak ke meja soleknya. Dia mahu memakai skincarenya pula.

Hanis hanya mencebik. Sakit pula hatinya apabila Halisah tidak menyebelahi dirinya. Malah dihalau apabila dia mahu meluahkan rasa kelak. Hanya Halisah sahaja kakaknya. Mereka berdua sahaja adik beradik. Jadi siapa lagi yang mahu membantunya jika kakaknya menarik diri. 

PELENGKAP HATI DIA [ C ]Where stories live. Discover now