PUAN ANIDA merengus kasar. Bengkak hatinya apabila melihat Izzul pulang bersama Hawra ke rumahnya. Sudahlah Izzul berkeras tidak mahu menceraikan Hawra. Habis kenalannya akan bertanya tentang majlis yang bakal berlangsung esok. Malah Hanis juga masih tidak mengetahui tentang status Izzul yang masih bersuami kepada Hawra.
"Rajinnya kamu. Anak siapa?" Soal Mak Embun yang kebetulan mengupas bawang di sebelah Hawra.
Hawra tergamam. Tak kan dia mahu memberitahu yang dia adalah isteri Izzul. Pasti kecoh nanti.
"Eh kau ni Embun. Tak kan tak kenal. Dia kan isteri Izzul." Muncul Mak Cik Kamariah dari belakang.
Hawra sudah resah. Dia tidak sangka ada makcik yang mengenali dirinya. Disebabkan perkara inilah, dia tidak mahu ikut Izzul pulang. Dia tahu masalah yang akan muncul kelak.
"Hah? Jadi majlis ni untuk siapa pula? Izzat ke?" Tebak Mak Embun lagi.
Hawra hanya menunduk ke bawah. Terasa jatuh air mukanya ketika itu apabila makcik-makcik di situ memandangnya.
"Majlis Izzul la Kak Embun. Izzul kahwin buat kali kedua." Muncul Puan Anida dari belakang.
Hawra tersentak. Dia sudah tahu nasibnya bagaimana sebentar lagi. Pasti dirinya akan dicaci.
"Lah... Kenapa kahwin dua? Bini pertama kemain cantik orangnya." Sampuk Mak Kiah pula.
"Nak buat macam mana, bini pertama mandul. Tak mampu nak beri Izzul anak. Aku pun nak merasa juga cucu seorang," ucap Puan Anida.
Dia sengaja mahu menyakitkan hati Hawra. Siapa suruh balik ke rumahnya.
Makcik-makcik yang lain semuanya tersentak. Mereka tidak sangka hanya kerana perkara itu, Izzul berkahwin dua. Masing-masing mendiamkan diri. Tidak berani persoalkan perkara itu. Tambah pula Puan Anida dan Encik Zamir adalah orang penting di perumahan mereka.
"Kau ni pergilah masuk bilik. Habis semua orang sibuk bertanya. Tak jadi kerja dia orang nanti." Marah Puan Anida.
"Baik mak."
Hawra segera bergerak pergi. Lebih lama dia di situ, lebih banyak luka di hatinya. Jika darah di hatinya boleh terlihat, sudah pasti banjir dapur itu dengan darahnya sendiri.
🌼
HAWRA mengusap dadanya yang terasa semakin sakit. Keriuhan di luar bilik semakin kuat. Setahunya, malam itu akan berlangsungnya majlis pertunangan. Pada hari esok, barulah majlis nikah akan berlangsung.
"Cepat sikit bersiap. Kita dah nak gerak ke rumah pihak perempuan!" Laung Puan Anida dari luar.
Hawra hanya duduk termenung di birai katil. Izzul juga tidak kembali langsung ke bilik itu. Dirinya ditinggal seorang diri tanpa dihiraukan sesiapa.
Selepas suasana di luar menjadi sunyi, Hawra berdiri untuk keluar. Dia mahu membasahkan tekaknya. Sejak dari pagi lagi dia tidak meneguk air. Dia hanya berkurung di dalam bilik selepas ditengking oleh Puan Anida pada pagi itu.
Belum sempat Hawra membuka pintu bilik, pintu itu terlebih dahulu dibuka dari luar. Hawra terus berundur saat memandang Izzul yang melangkah masuk.
Hawra yang terkejut dengan kehadiran Izzul berasa berdebar saat dirinya dipeluk oleh lelaki itu. Air matanya terus bergenang ketika itu.
"Maafkan aku. Aku tak pernah terfikir nak duakan kau. Aku sayangkan kau lebih daripada segalanya," ucap Izzul dan mengeratkan pelukan.
Hawra hanya mampu menangis. Terasa seperti mimpi saat Izzul memeluknya. Seolah suaminya itu sudah kembali padanya.
YOU ARE READING
PELENGKAP HATI DIA [ C ]
RomansaSebuah kisah yang agak berat buat insan bernama Hawra Farhah. Perkahwinan yang dirasakan indah untuk selamanya musnah kerana kemunculan orang ketiga dan sikap mertuanya sendiri. Ditambah pula dengan kekurangan diri yang tidak dapat disembuhkan. Ha...