BAB 23 🌼

6.2K 287 3
                                    

BUNYI ombak kedengaran cukup kuat. Burung-burung juga terbang melayang di kawasan pantai. Angin yang meniup juga terasa mendamaikan.

Hawra duduk bersama dengan Hasya di atas tikar itu. Dia juga agak terkejut apabila Hasya mengajaknya ke pantai pada petang itu. Semua itu juga adalah keinginan Arjuna yang mahu ke situ.

Datin Farisya juga berasa senang dengan kehadiran Hawra di situ. Sudah beberapa hari dia tidak berjumpa dengan Hawra. Kali terakhir dia bertemu dengan gadis itu adalah selepas Hawra selesai kemoterapinya yang pertama.

"Juna. Mari makan dulu!" Panggil Hasya.

Arjuna yang sedang bermain boleh bersama Faiq lantas berjalan ke arah mereka bertiga. Arjuna sudah teruja melihat sosej yang dihulur oleh Hasya. Faiq juga melabuhkan sila di sebelah Datin Farisya.

"Nah Hawra. Jamu lah bubur jagung Aunty buat ni. Panas lagi ni," sua Datin Farisya kepada Hawra.

Hawra terus menyambut dan mengucapkan terima kasih. Sudah lama dia tidak menjamah bubur jagung itu.

"Hawra sekarang duduk dengan siapa?" Soal Hasya sambil menyuap bubur jagungnya.

Faiq yang sedang bermain telefon hanya menadah telinga. Dia juga terasa mahu mendengar kisah Hawra itu.

"Sekarang saya duduk dengan kawan baik saya. Manis," jawab Hawra dan tersenyum tipis.

"Kenapa ni? Salah ke Hawra duduk dengan kawan dia."

Datin Farisya mula keliru. Faiq juga tersentak. Seingatnya Hawra sudah mempunyai suami. Dia hampir sahaja terlupa tentang perkara penting itu.

Rasa berdosa terus menelusuri dirinya. Dia kesal kerana hampir meletakkan hati untuk Hawra.

"Saya sebenarnya baru bercerai dengan suami saya Aunty," luah Hawra.

Hasya juga serba salah sebentar tadi. Dia terlupa yang Datin Farisya tidak mengetahui status sebenar Hawra sebelum ini.

"Huh? Bila tu Hawra?" Terkejut Datin Farisya apabila mengetahuinya.

Faiq juga mengalami reaksi yang sama dengan mamanya. Dia tidak menyangka Hawra telah berpisah dengan suaminya itu.

"Semalam baru je selesai urusan perceraian saya dengan dia di mahkamah. Dah takde jodoh Aunty. Takat tu je," balas Hawra dengan tenang.

Dia tidak kisah jika Datin Farisya mengetahuinya. Dia tahu wanita itu tidak berniat jahat.

"Ya Allah. Aunty minta maaf ya Hawra. Aunty tak tahu pula yang kamu dah cerai."

Dia tidak sangka gadis sebaik Hawra diceraikan oleh si lelaki itu. Perasaan simpati mula menyerbu diri. Dia tahu tentang sakit yang dialami oleh Hawra dan ujian yang menimpa gadis itu sudah terlalu besar.

"Tak apa Aunty. Saya memang tak cerita urusan peribadi saya pada orang. Tapi saya percaya pada Aunty dan keluarga Aunty," ucap Hawra.

Tangan Hawra lantas dipegang oleh Datin Farisya. Dia cuba untuk menyalurkan kekuatan buat Hawra. Sakit yang dirasakan oleh Hawra dapat dirasakan olehnya sebagai seorang wanita.

Selepas itu, Hawra bermain air pantai bersama Arjuna dan Hasya. Suara Arjuna yang kedengaran ceria dapat didengari oleh Datin Farisya dan Faiq yang sedang berehat di tikar itu.

Hawra juga senang dengan cara Arjuna bermain. Budak kecil itu benar-benar menghormati dirinya sebagai yang lebih tua. Mahu memercikkan air pantai pun Arjuna meminta izin daripada Hasya. Terharu Hawra melihat sikap santun Arjuna itu.

🌼

FAIQ memerhati ke arah mereka bertiga yang sedang bermain air pantai itu. Dia berasa cukup tenang saat itu. Atas sebab apa juga dia masih cuba mencari.

"Mama perasan Faiq macam dah jatuh cinta," tegur Datin Farisya dengan sebuah senyuman.

"Eh mama. Boleh cam ke muka orang dilamun cinta?" Soal Faiq dengan nada terkejut.

"Mestilah boleh. Faiq kan anak mama. Takkan lah mama tak tahu. Faiq berkenan dengan Hawra ya?" Tebak Datin Farisya.

Faiq lantas tersenyum. Dia tidak dapat berbohong kepada Datin Farisya. Mamanya itu sentiasa tepat dalam meneka.

"Mama restu kalau Faiq dengan Hawra. Mama senang dengan perwatakan Hawra tu. Dia sama dengan Hasya. Mereka berdua cukup matang dan pandai ambil hati orang tua. Kalau Faiq nak, mama boleh merisik Hawra lepas Hawra habis iddah," ucap Datin Farisya sebagai dukungan.

"Lajunya mama. Faiq tak rasa Hawra boleh terima mana-mana lelaki buat masa sekarang. Dia sedang berjuang dengan nyawa mama. Ianya agak sukar kalau Faiq nak ambil dia sebagai isteri Faiq," balas Faiq dan tersenyum tipis.

"Tak apa. Andai kata Faiq dah yakin dengan hati Faiq. Beritahu mama. Mama sendiri akan berbincang dengan Hasya dan pinangkan Hawra untuk Faiq."

Dia sudah semangat untuk mengambil Hawra sebagai menantunya. Jika boleh, dia mahu menjaga Hawra seolah anaknya sendiri.

"InsyaAllah mama. Faiq risau Faiq yang pergi dulu."

Kata-kata Faiq menerima tamparan di bahunya daripada Datin Farisya. Datin Farisya tidak gemar mendengar ayat itu disebut oleh Faiq.

"Mama janganlah marah. Takdir Allah kan kita tak tahu. Mama tahu kan kerja Faiq macam mana." Bahu Datin Farisya dipeluk manja.

"Mama tahu Faiq. Tapi janganlah Faiq mengharapkan benda tu berlaku. Kalau boleh elakkan, kita elakkan daripada bercakap pasal benda macam tu. Mama sentiasa doakan keselamatan anak-anak mama. Setiap kali Faiq pergi operasi, mama tak skip solat Hajat. Mohon pada Allah untuk lindungi Faiq," luah Datin Farisya. Tiba-tiba pula dadanya terasa sebak.

"Faiq minta maaf mama. Faiq akan jaga diri Faiq dengan baik. Mama dah restukan pekerjaan Faiq pun Faiq dah rasa bersyukur." Pipi Datin Farisya dikucup sayang.

"Amboi. Siap berkiss ni. Mesti bodek kan?" Muncul Hasya dan tersengih.

"Hahaha. Ini kan mama aku, mestilah aku nak kiss mama puas-puas. Kau duduk jauh-jauh," ujar Faiq dengan nada seperti menghalau.

Datin Farisya sudah tergelak melihat Hasya yang menarik muncung ke depan.

"Ini mama aku juga. Mama mertua kesayangan aku." Hasya terus mengambil tangan kiri Datin Farisya dan dikucup sayang.

Hawra yang melihat mereka bertiga hanya tersenyum tipis. Suara gelak tawa Hasya, Datin Farisya dan Faiq menjentik rasa cemburu dalam hatinya. Dia suka melihat hubungan mereka semua.

Malah Hasya juga dilihat cukup beruntung kerana memiliki segalanya.

Anak yang pandai dan mendengar kata.

Suami yang penyayang.

Mertua yang cukup baik.

Pekerjaan yang bagus.

Perwatakan dan kecantikkan yang diidamkan oleh wanita lain.

Semuanya ada dalam diri Hasya.

"Kak Hara. Look at this," muncul Arjuna dengan sebuah ketam.

Terbeliak mata Hawra saat melihat Arjuna menagahnya dengan ketam itu.

"Arrghh.!! Juna!!" Jerit Hawra apabila Arjuna mengejarnya dengan ketam yang cuba mengepitnya.

Arjuna pula sudah terkekek-kekek ketawa sambil mengejar Hawra.

Faiq terus bangun dan berlari mendapatkan Arjuna. Tubuh kecil itu terus didukung tinggi. Arjuna sudah menjerit geli kerana Faiq menggeleteknya. Ketam di tangan juga sudah terjatuh ke dalam air.

Hawra juga sudah ketawa sambil mencari nafasnya. Dia juga tidak sangka Arjuna berani memegang ketam itu. Saat memandang ke arah wajah Faiq, jantungnya terus berdegup kencang.

Senyuman manis Faiq menggetarkan hatinya. Saat itu Hawra cuba kembali ke dunia nyata.

'Aku tak boleh jatuh cinta dengan suami orang. Aku tak kan jadi macam perempuan tu,' gumamnya di dalam hati dengan serius.

Faiq yang sedang tersenyum ke arah Hawra terus berubah kendur apabila melihat Hawra berjalan pergi ke arah Datin Farisya dan Hasya. Hatinya terus berasa kecewa kerana Hawra tidak membalas senyumannya.

PELENGKAP HATI DIA [ C ]Where stories live. Discover now