BUNYI deruan ombak menenangkan jiwa yang sedang berehat. Suara kanak-kanak yang sedang bermain juga dapat didengar dengan jelas. Malah ramai anak remaja yang sedang bergambar dengan permandangan matahari terbenam itu. Semuanya mahu mengabadikan suasana indah pada petang itu.
Hawra duduk sambil memeluk lututnya. Angin yang menyentuh pipinya membuatkan dia berasa mengantuk.
Tiba-tiba muncul satu aiskrim di depan matanya. Hawra terus menoleh ke sebelah dan melihat Faiq dengan senyuman lebarnya.
Faiq lantas duduk di sebelah Hawra. Aiskrim di tangannya disuakan kepada Hawra. Belum sempat Hawra mengambilnya, Faiq mengambil semula.
"Apa ni Faiq? Saya nak juga..." ujar Hawra dan mencebik bibirnya.
"Kena bagi kata laluan kalau nak aiskrim ni," usik Faiq.
"Kata laluan? Birthday Faiq kut," teka Hawra.
Dia tidak berapa tahu kegemaran Faiq itu apa. Malah ulang tahun kelahiran Faiq juga dia tidak tahu.
"Salah. Teka lagi."
Faiq sudah menjilat aiskrim miliknya. Hawra hanya menjeling geram. Sengaja mahu membuat hatinya sakit.
"Leftenan?" sebutnya random.
"Salah."
"Dah tu apa? Saya tak tahu Faiq suka apa." Hawra mula angin sedikit.
"Jangan marah Hawra. Okey saya beritahu ya. Jawapan dia Hawra Farhah," ujar Faiq dan tersenyum lebar.
"Ee... sengaja je kan nak kenakan saya." Hawra terus mencubit pinggang Faiq.
Faiq sudah galak ketawa apabila melihat wajah geram Hawra. Disebabkan rasa geli kerana dicubit Hawra, aiskrim yang berada di tangannya jatuh ke atas pasir.
Serta-merta mereka berdua mendiamkan diri. Masing-masing tergamam dengan aiskrim yang bersalut pasir pantai itu.
"Saya benci awak, Faiq!" marah Hawra dan berdiri.
Faiq terus cuak dan berdiri dengan cepat. Dia segera mengejar Hawra yang sudah merajuk pergi.
"Hawra..." panggilnya lembut dan cuba meraih tangan Hawra.
Tetapi Hawra dengan lebih cepat menyilangkan tangannya supaya tidak disentuh oleh Faiq. Dia terus berjalan ke arah air pantai itu. Mahu merajuk.
"Saya minta maaf. Saya tak sengaja jatuhkan aiskrim tu. Maafkan saya ya," pujuk Faiq sambil merapatkan tangannya seolah sedang berharap.
"Siapa suruh awak main-main dengan saya." Hawra masih dengan rajuknya.
Faiq sudah tergelak kecil. Seolah memujuk budak kecil. Dia terus memeluk tubuh Hawra dari belakang.
Ketinggiannya yang lebih tinggi daripada Hawra itu seolah mengunci Hawra dalam dakapannya. Hawra juga tidak berjaya meloloskan dirinya. Debar di dada sudah menggila.
"Saya minta maaf ya buah hati saya. Forgive me please," ujarnya dan melagakan pipi mereka berdua.
Hawra memejam mata kerana berasa berdebar. Dia dapat merasakan hembusan nafas Faiq di sebelahnya.
"Awak nak tahu tak? Saya rasa bahagia sangat-sangat bila awak dah jadi isteri saya. Sebab tu saya bersikap macam tu. Saya seronok bila tengok awak merajuk dengan saya. Awak ketawa dengan saya. Sayalah lelaki yang paling bahagia dalam dunia ni," luah Faiq tiba-tiba.
Hawra membuka matanya perlahan-lahan. Tangan Faiq yang berada di pinggangnya dipegang lembut.
"Ayat awak sama dengan ayat dia..." ujar Hawra dengan nada kendur.
Faiq terus terkedu. Dia terus memalingkan badan Hawra supaya mengadapnya. Ada air mata yang bergenang di tubir mata Hawra.
"Dia pernah cakap dengan saya macam ni dulu. Tapi sekarang dia sendiri yang hancurkan semua tu. Saya takut suatu hari nanti, awak pun macam tu Faiq," tutur Hawra dan memegang kemas tangan Faiq.
"Ya Allah. Saya minta maaf. Saya tak berniat nak ingatkan awak pada masa lalu. Saya ikhlas dengan awak Hawra. Saya hanya berdoa supaya Allah kekalkan awak sebagai isteri saya dan bidadari saya dalam syurgaNya nanti. Saya cintakan awak sangat-sangat. Awak wanita pertama yang saya jatuh suka, Hawra," luah Faiq. Tangannya sudah menyentuh pipi Hawra.
"Saya juga hanya mampu doakan supaya awak yang terakhir, Faiq. Saya sayangkan awak sebagai suami saya sekarang. Apa jua keputusan awak nanti, saya ikhlas."
"Cinta hati saya ni adalah Hawra Farhah sahaja. Tiada yang lain. Percayakan saya ya Hawra. Saya akan jadi imam buat awak untuk selamanya. Saya akan bina keluarga yang awak impikan selama ni. Rezeki anak itu kita tak boleh jangka. Kalau awak nak ambil anak angkat, saya izinkan. Saya izinkan apa sahaja isteri saya nak asalkan ianya tidak mencanggah dengan agama Islam. Saya nak bawa awak masuk syurga bersama-sama dengan saya, Hawra. Awak buah hati saya," ucap Faiq dan mencium lembut dahi Hawra.
Hawra tersenyum mendengar bait kata Faiq. Dia berharap Allah tetapkan nama mereka berdua sebagai suami isteri buat selamanya. Rasa sayangnya pada lelaki itu semakin meningkat.
Dia cintakan lelaki itu seikhlas hati.
🌼
MALAM itu air mata Hawra tumpah. Bibirnya menguntum senyuman indah. Tangannya juga menekup mulutnya kerana tidak menyangka dengan kecantikkan yang dipamerkan di depan matanya itu.
Faiq berjalan dengan sejambak bunga mawar merah. Kaki diatur dengan cukup hemah sewaktu mendekati Hawra. Lagu yang dipasang juga cukup kena dengan situasi saat itu. Halwa angin pantai yang mendamaikan seolah meraikan mereka berdua.
"Untuk cinta mati saya, Hawra Farhah," ucap Faiq dan menghulur jambangan bunga mawar merah itu kepada Hawra.
Tangan Hawra mula menggigil. Dia masih gamam dengan kejutan yang disediakan oleh Faiq pada malam itu.
"Sayang tak sudi ke dengan abang?" soal Faiq apabila Hawra masih berdiri dengan aliran air mata yang deras.
"Sudi. Terlalu sudi Faiq," balas Hawra dan memeluk tubuh Faiq.
Faiq terus tersenyum lega dan mengangkat tubuh Hawra. Hawra memandang ke arah mata Faiq yang penuh cinta buatnya itu. Dia merasakan dialah wanita yang paling bahagia. Istikarahnya adalah benar tentang lelaki itu.
"Abang akan cintakan saya hingga hujung nyawa abang. I love you sayang..." ucap Faiq dan menurunkan sedikit tubuh Hawra supaya seiring dengan ketinggiannya.
Dahi Hawra dikucup penuh syahdu. Hawra hanya tersenyum dengan mata yang sudah berkaca itu.
Selepas kejutan itu selesai, barulah Faiq menjemput Hawra untuk duduk di atas kerusi. Dia juga melabuhkan duduk di sebelah Hawra dengan tautan jari mereka berdua yang kemas.
Wayang yang dipasang hanya menjadi penonton buat mereka berdua. Masing-masing sedang berada dalam dunia indah mereka.
"Boleh tak lepas ni Hawra panggil abang dengan panggilan abang. Bukan Faiq?" pinta Faiq dengan lembut.
Hawra menoleh ke arah Faiq dengan mata yang membulat dan pipi yang memerah.
"Abang tak paksa sayang. Tapi abang akan bahasakan diri abang macam ni. Dan abang akan panggil Hawra dengan nama sayang. Sebab perkataan sayang ni cukup indah dalam dunia bahasa cinta. Dan sayang adalah satu-satu kesayangan terindah buat abang," ulas Faiq dan tersenyum.
"Baik a...abang," sebut Hawra perlahan dan menunduk ke bawah.
"Apa dia sayang? Abang tak dengar lah," usik Faiq dan menjatuhkan kepalanya di bahu kiri Hawra.
"Mengada."
Hawra terus mencuit hidung mancung Faiq. Dan selepas itu mereka berdua ketawa gembira. Nikmat bercinta selepas kahwin itu cukup indah.

ANDA SEDANG MEMBACA
PELENGKAP HATI DIA [ C ]
Roman d'amourSebuah kisah yang agak berat buat insan bernama Hawra Farhah. Perkahwinan yang dirasakan indah untuk selamanya musnah kerana kemunculan orang ketiga dan sikap mertuanya sendiri. Ditambah pula dengan kekurangan diri yang tidak dapat disembuhkan. Ha...