BAB 42 🌼

8.5K 352 3
                                    

SUASANA di kafe syarikat itu mula bising. Para pekerja sudah turun ke bawah bagi mengisi ruang dalam perut mereka yang sudah kosong. Jam juga memang tepat menunjukkan pukul 12 tengah hari. Sememangnya waktu untuk mereka makan.

Jamil memandang ke arah Hawra dan Syura yang baru sahaja tiba di kafe itu. Mereka berdua juga sudah duduk di meja kosong yang tidak jauh daripada dia dan Izzul berada. Tambah pula, Hawra duduk membelakangi meja mereka.

"Makin cantik aku tengok Hawra sekarang," puji Jamil tiba-tiba.

Dia tersenyum sinis saat memandang ke arah Izzul di hadapannya. Sengaja mahu melihat reaksi lelaki itu.

Tetapi Izzul hanya membuat tak endah dengan kata-kata Jamil. Nasi di hadapannya tetap disuap ke mulut.

"Dulu dia kerja pasar raya je kan? Mana sempat nak berlawa macam ni. Aku pun boleh jatuh cinta. Alang-alang dah single ni kan," sambung Jamil lagi sambil merenung ke arah Hawra.

"Dia dah kahwin." Kata-kata Izzul membuatkan Jamil terkedu.

"Kau serius? Hawra tu dah kahwin baru?"

Izzul hanya mengeluh perlahan. Seleranya terus mati saat itu. Dia cukup pantang dengan cara Jamil yang agak penyibuk itu.

"Untung lah suami dia. Dapat bini cantik. Tapi sayang lah, dia mandul kan? Sebab tu kau berpisah dengan dia," sindir Jamil dengan senyuman yang disunggingkan.

Tanpa menunggu minit beralih, Izzul terus menghentak meja makan mereka dengan cukup kuat. Dia juga berdiri sambil merenung tajam ke arah Jamil di hadapannya.

Pekerja yang berada di kafe itu mula tertoleh-toleh ke arah Izzul dan Jamil. Semuanya terkejut dengan bunyi yang agak kuat tu.

"Kalau kau takde benda baik nak cakap. Diam je. Jangan sampai aku jahit mulut kau!" marah Izzul dan terus berlalu pergi.

Jamil hanya tercenggang dengan amukan Izzul. Dia fikirkan Izzul hanya akan berdiam diri seperti sebelum ini. Tetapi kali ini baran Izzul itu sudah meletus.

Hawra hanya meletakkan fokusnya pada makanan di hadapan. Dia malas hendak mencampuri masalah yang muncul sebentar tadi walaupun dia kenal dengan suara Izzul.

🌼

FAIQ melepaskan nafas penat. Dia sudah memusing taman itu lebih daripada 10 kali. Senaman yang dilakukan setiap hari itu agak menekan diri dan mentalnya.

Kakinya dihayunkan ke arah Ali yang sedang berehat di sebuah bangku. Ali juga baru sahaja selepas 7 pusingan larian.

Tubuhnya terus dijatuhkan di sebelah Ali. Botol mineral dibuka dan diteguk air lutsinar itu dengan agak rakus. Ali pula hanya memerhati sahaja tingkah Faiq.

"Ada masalah baru ke? Atau gaduh dengan isteri?" tebak Ali.

"Tak lah. Aku dengan isteri aku okay je. Cuma hati aku sekarang ni yang tak tenang," luah Faiq. Keluhan berat terlepas dari mulutnya.

"Kenapa pula?" kerutan di dahi Ali sudah berlipat.

"Isteri aku dah mula kerja harini dekat syarikat papa aku," ujar Faiq.

"Alhamdulillah kalau macam tu. Ada rezeki boleh jumpa dengan Meen. Jadi apa masalahnya? Kau tak suka dia bekerja ke?"

"Aku suka dia bekerja. Timba pengalaman. Cuma hati aku tak tenang sebab bekas suami dia ada dekat situ juga," luahnya kendur.

"Kejap. Ini bekas suami dia yang dera mental dia dulu ke?" Ali cuba mengingat kembali.

Anggukan Faiq membuatkan Ali mengangguk perlahan. Dia sudah faham dengan kerungsingan hati kawannya itu.

"So sekarang kau risau yang lelaki tu akan ganggu isteri kau kan?"

Faiq hanya mengangguk lemah. Jujurnya dia tidak tenang selepas menghantar Hawra pergi bekerja pada pagi tadi.

"Kau tak percaya dekat isteri kau ke Faiq?" tanya Ali.

"Aku percaya pada dia. Cuma aku tak dapat nak tahu lagi isi hati Hawra macam mana. Apa yang ada dalam diri dia tu aku masih tak dapat nak selam sepenuhnya," jelasnya kecewa.

"Kalau kau sayangkan dia, kau percaya pada dia. Aku tahu Hawra ni perempuan baik. Dia tahu hormat suami dia macam mana. Kalau kau rasa tak tenang, kau beritahu pada dia. Berbincang tentang kerungsingan hati kau ni. Kalau kau senyap, Hawra pun akan senyap sebab dia fikir kau okay," ujar Ali.

"Aku tak nak dia fikir aku nak kongkong hidup dia."

"Bukan kongkong hidup dia Faiq. Bila kau tanya dia, itu namanya ambil berat. Kalau kau diam, nanti dia fikir yang kau ni tak kisah kalau dia keluar dengan jantan mana-mana. Benda tu salah tau. Kau diam, memang habis nanti." Ali menepuk lembut bahu Faiq supaya kembali sedar.

Faiq melepaskan satu nafas berat. Dia sayangkan Hawra melebihi segalanya. Tiada apa yang mampu mengubah kedudukan Hawra di dalam hatinya.

Tetapi Hawra pula bagaimana? Itu perkara yang dia sendiri risaukan.

🌼

HAWRA tersenyum lebar apabila melihat Faiq di depannya. Dia dibawa oleh Faiq ke sebuah restoran di KLCC. Kata Faiq sempena hari pertama dia bekerja.

"How your day, sayang?" soal Faiq sambil menongkat dagu dan memandang ke arah Hawra.

"Alhamdulillah semuanya okay. Puan Mastura dan Kak Syura bantu saya dengan baik. Semuanya berjalan lancar," luah Hawra dengan ceria.

"Alhamdulillah. Hati abang ni tak tenang dari pagi lagi sebab mengenangkan sayang. Sampai Juna marah abang sebab asyik termenung dekat Petrosains tu," jelas Faiq.

"Kenapa abang? Abang risau saya bercakap dengan dia ke?" tebak Hawra.

Faiq tersenyum tipis sahaja. Mahu mengiyakan terasa salah.

"Jangan risau abang. Saya tak kan bercakap dengan dia kalau takde urusan. Lagipun dia anggap saya sebagai orang asing dan saya pun sama. Kami berdua takde terserempak pun," jelas Hawra dan mengenggam tangan Faiq.

"Abang percaya pada sayang. Tapi sayang kena jaga diri juga ya. Bukan dia je yang abang risau, orang lain pun sama. Sebab sayang abang ni cantik sangat," usik Faiq dan mengenyitkan matanya.

"Mulut manis," ucap Hawra dan menyuakan potongan daging yang kecil ke dalam mulut Faiq.

Faiq hanya tersenyum sambil merenung ke arah Hawra yang rancak bercerita tentang apa yang berlaku pada hari itu. Dia berharap semuanya dipermudahkan buat isterinya itu.

Dia sayangkan Hawra Farhah itu. 

"Oh ya abang. Boleh ke esok saya pergi rumah Manis? Dah lama tak jumpa dia. Selalu mesej je dekat telefon," pinta Hawra.

Manis juga sibuk bekerja tetapi sahabatnya itu sudah membebel kerana mahu berjumpa dengannya. Rindu.

"Boleh sayang. Nanti abang hantarkan ke rumah Manis."

"Terima kasih abang. Manis cakap dia ada kenal dengan seorang lelaki ni. Tentera juga macam abang," ucap Hawra apabila teringat.

"Maksudnya lelaki tu komando juga ke?"

"Aah. Lelaki tu pun komando. Abang kenal ke?"

"Cuba minta nama lelaki tu. Biar abang selidik dulu. Risau jadi bukan-bukan je nanti." Faiq mula berfikir siapakah gerangan lelaki itu.

"Okay. Nanti saya tanya Manis."

Dia juga berasa gembira jika Manis mahu menamatkan zaman bujangnya. Sahabatnya itu dulu sudah bertekad tidak mahu berkahwin. Risau dirinya melihat Manis sendirian sehingga ke tua nanti.

PELENGKAP HATI DIA [ C ]Where stories live. Discover now