PENGUNJUNG masuk dan keluar seperti biasa. Itulah keadaan di sebuah restoran pada pukul 12.30 tengah hari. Masing-masing mahu memenuhkan isi dalam perut. Masa rehat juga digunakan sebaik yang mungkin. Tetatpi suasana yang bingit itu tidak membuatkan hati seseorang itu tenang. Perasaan hampir gila mula menyelubungi diri seseorang.
Hawra meramas tangannya yang sudah semakin sejuk. Dia tidak suka dengan situasi saat itu. Dia benci. Dia mahu pulang ke rumah. Dia mahu melarikan dari situ. Dadanya juga mula berasa sesak.
"Haaa. Mari sini. Aku nak kenalkan kau dengan isteri anak aku nanti," ucap Puan Anida dengan nada bongkak.
Hawra terasa bagaikan dicucuk dengan sembilu. Pedih hatinya saat mendengar mak mertuanya berkata seperti itu. Hatinya bagai dipijak-pijak ketika itu.
Kemunculan seorang gadis bertudung biru lembut menambahkan luka di hati Hawra. Tambah pula, kemesraan Puan Anida bersama gadis itu mencuit rasa cemburu dalam dirinya.
"Hanis. Kenalkan ni Hawra. Isteri Izz," ucap Puan Anida dengan nada menyampah.
Hanis terus melemparkan senyuman ke arah Hawra. Dia tidak menyangka bahawa isteri Izzul secantik itu. Kulit Hawra yang putih bersih itu menjentik rasa cemburu di dalam dirinya. Malah tanpa secalit mekap juga, wajah Harwa sudah terlihat manis. Saat itu dia memahami sebab Izzul begitu sayangkan Hawra.
"Saya Hanis Ilyana. Awak boleh panggil saya dengan nama Hanis."
Huluran tangan Hanis disambut dengan ketar oleh Hawra. Hawra terpaksa memaksa dirinya untuk tersenyum. Dia perlu kuat ketika itu. Dia tidak mahu terlihat lemah ketika itu. Terasa direndahkan saat itu apabila memandang senyuman sinis di bibir Puan Anida.
"Saya Hawra Farhah. Boleh panggil saya dengan nama Hawra," balas Hawra dengan senyuman kekok.
"Dah. Tak payah nak beramah mesra sangat. Nanti kau orang berdua bukannya jadi madu. Ini aku nak tanya kau. Bila Izz nak lepaskan kau?" Tanya Puan Anida dengan laju.
Hanis di sebelah hanya mengunci mulut. Dia hanya memandang ke arah Hawra dengan wajah yang menanti. Dia juga sering menanti perpisahan dua insan itu. Dirinya sudah tidak sabar untuk bernikah dengan Izzul.
Hawra menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia perlu berjuang saat itu. Walaupun dia seorang diri, dia yakin pada ketentuan Allah buatnya.
"Hawra tak pasti lagi Mak. Izz tak cakap apa-apa lagi. Lagipun sekarang Izz takde dekat Malaysia. Dia ada kerja luar dekat Indonesia," jelas Hawra dengan tenang.
"Ish. Budak ni pun satu. Majlis tunang dah nak dekat. Dia boleh lengahkan pula," bebel Puan Anida.
Panggilan telefonnya kepada Izzul juga tidak dilayan. Jadi bagaimana dia mahu berhubung dengan anak sulungnya itu. Hujungnya dia mengajak terus Hawra untuk bertemu. Mudah sikit dia mahu mendesak Hawra.
"Sabar ya Aunty," pujuk Hanis.
Dia mula risau apabila melihat kegelisahan Puan Anida. Majlis tunangnya adalah minggu depan. Mereka semua bercadang mahu sekalikan sahaja dengan majlis nikah. Tetapi dia tidak mahu dinikahkan dengan Izzul saat Izzul masih bersuamikan kepada Hawra. Dia tidak mahu digelar sebagai isteri kedua.
"Macam ni lah. Bila Izz dah balik dari Indonesia, aku nak kau minta cerai daripada Izz. Aku tak nak benda ni jadi lambat," pesan Puan Anida tanpa memikirkan perasaan Hawra.
"Tapi Izz pernah cakap, dia tak nak lepaskan saya," ucap Hawra dengan nada perlahan.
Semakin mendidih hati Puan Anida ketika itu. Dia benar-benar berasa sakit hati apabila Izzul masih berkeras untuk menyimpan Hawra sebagai isterinya.
"Eh perempuan. Kau tu mandul. Kalau kau bersama dengan anak aku pun, tak bagi dia apa-apa faedah. Kau sedar tak dekat situ? Enam tahun yang sia-sia! Aku nak kau paksa juga Izz ceraikan kau. Kalau kau tak buat, nahas kau," ugut Puan Anida.
"Dah lah. Hanis jom kita balik. Banyak lagi benda nak diselesaikan. Aku pun dah muak tengok muka perempuan ni. Beban-beban," bebel Puan Anida dan berlalu pergi.
"Maaf ya Hawra. Saya balik dulu," pinta Hanis dan mengikut langkah Puan Anida dari belakang.
Air mata Hawra terus jatuh menitis ke atas seluarnya. Sewaktu dia bernikah dengan Izzul dahulu, Puan Anida cukup baik padanya. Malah dia dijadikan sebagai menantu kesayangan oleh wanita itu.
Tetapi semuanya berubah apabila Hawra disahkan mandul oleh doktor pada dua tahun yang lalu. Ketika itu juga hubungannya bersama Izzul menjadi keruh. Malah kemunculan sepupu Izzul iaitu Hanis Ilyana menambahkan lagi konflik yang ada. Puan Anida juga memutuskan supaya Izzul menikahi Hanis demi mendapatkan zuriat.
🌼
"ARA!!" Panggil Manis. Dia segera melambai tangan ke arah Hawra yang baru sahaja tiba di kafe itu.
Hawra terus berjalan ke arah meja Manis. Begnya diletakkan ke tepi. Duduknya juga dibetulkan supaya lebih selesa.
"Ya Allah. Kenapa dengan mata kau ni Ara?" Soal Manis dengan nada terkejut.
Begitu ketara mata sembab milik Hawra ketika itu. Hawra jarang menangis seperti itu. Tetapi sekarang, dia nampak bagaimana penatnya gadis itu.
"Aku menangis tak berhenti semalam," luah Hawra.
Bersama dengan Manis, dia tidak suka menyimpan rahsia. Tambah pula Manis sejenis yang suka memberi nasihat. Jadi dia lebih selesa begitu. Sahabatnya itu juga sudah bersama dengannya sejak di zaman universiti lagi.
"Kenapa? Apa sebab dia? Izz buat hal ke?" Soal Manis.
Jarang dia mendengar Izzul membuat masalah dengan Hawra. Hubungan perkahwinan sahabatnya itu sentiasa baik. Itu lah yang dia fikirkan.
"Izz akan kahwin lain nanti. Next week dia akan tunang dengan sepupu dia," jelas Hawra dan menitiskan air mata lagi.
"Astagfirullah. Are you sure Ara?"
Manis seolah kehilangan kata-kata. Mulutnya bagaikan terkunci ketika itu. Baginya semuanya itu tidak logik. Dia kenal dengan Izzul. Dia tahu betapa sayangnya Izzul pada Hawra.
Tetapi kenapa sekarang berbeza?
"Ya Manis. Mak mertua aku minta Izz ceraikan aku sebab aku mandul," jelas Hawra dengan nada serak.
Dia sudah tidak kisah dengan pandangan orang sekeliling padanya saat itu. Dia hanya mahu meluahkan rasa sakit hatinya kepada sahabatnya itu. Hanya Manis yang sentiasa ada dengannya.
"Ya Allah. Hanya disebabkan zuriat, mak mertua kau minta pisah dengan Izz? Jadi Izz dah lafazkan cerai dekat kau?"
Saat itu Manis pula yang terasa berang. Mentang-mentang Hawra sejenis yang lembut, mudah sahaja mereka memijak kepala sahabatnya itu. Tambah pula Hawra tiada sesiapa di situ.
Hawra anak yatim piatu. Abangnya pula bekerja di luar negara. Jadi hanya dirinya sahaja yang sentiasa menjadi tempat untuk Hawra meluahkan rasa sakit di hatinya.
"Aku tak tahu. Izz masih ada dekat Indonesia. Dia tak balik lagi. Aku tak tahu nak buat apa Manis. Aku lost." Jujurnya dari sudut hati.
"Ya Allah. Beratnya ujian sahabat aku ini. Sabar ya Ara. Aku yakin, Izz tak kan lepaskan kau. Dia sayangkan kau gila-gila," pujuk Manis dan memeluk tubuh Hawra.
Hawra hanya mampu menangis di bahu Manis. Dia juga tidak berani untuk mengatakan yang Izzul tidak akan menceraikannya. Semuanya berada di tangan Izzul ketika itu. Hawra juga dapat merasakan sikap Izzul yang sentiasa menjauhkan diri daripadanya.
🌼
BINGKAI gambar perkahwinannya bersama Izzul diusap lembut. Senyuman manis mereka berdua enam tahun yang lalu membuatkan Hawra tersenyum kembali. Jelas terpancar wajah bahagia mereka berdua.
"Ibu. Abah. Ara tak kuat... Ara sayangkan Izz...Ara nak hidup bersama dengan dia. Tapi semuanya hampir musnah. Ara penat..." rintihnya perlahan dengan air mata yang mengalir ke pipi.
Dirinya hanya bergantung sahaja kepada Izzul. Malah pekerjaannya sebagai pekerja di pasar raya juga tidak menjamin apa-apa. Gajinya cukup kecil jika mahu dibandingkan dengan gaji suaminya itu. Saat itu Hawra hanya mampu berserah kepada Allah. Dia sudah redha dengan segala ketentuan takdirnya.
YOU ARE READING
PELENGKAP HATI DIA [ C ]
RomantizmSebuah kisah yang agak berat buat insan bernama Hawra Farhah. Perkahwinan yang dirasakan indah untuk selamanya musnah kerana kemunculan orang ketiga dan sikap mertuanya sendiri. Ditambah pula dengan kekurangan diri yang tidak dapat disembuhkan. Ha...