HAWRA membetulkan sedikit kainnya yang terselak di bahagian betis. Sarung kaki baru sahaja dipakai. Dia sudah berasa seronok kerana sudah dibenarkan pulang ke rumah. Pada pagi esok, mereka akan segera berlepas ke United Kingdom.
"Semuanya dah disimpan ke Ara?" soal Manis.
Novel yang sering dibaca oleh Hawra diambil untuk disimpan ke dalam beg. Manakala pakaian Hawra sudah dikemas oleh Aina sejak semalam.
"Rasanya semua dah complete. Kak Aina yang kemaskan semalam. Aku bangun tidur, tengok beg dah berdiri dekat sini," jelas Hawra dan melepaskan satu nafas.
"Harapnya tiada apa yang tertinggal. Aku rasa berbelah bagi nak biarkan kau ke sana esok. Takut tak dapat jumpa dah lepas ni." Air muka Manis berubah muram.
"Doakan yang baik-baik untuk aku ya Manis. Walaupun kanser aku dah berada pada tahap 4, aku percaya yang Allah itu baik. Pasti akan ada hikmah semua ni berlaku. Doakan yang terbaik buat aku." Tubuh Manis dipeluk sayang.
Manis terus menahan air mata daripada tumpah. Keputusan yang diterima oleh mereka semua dua hari lepas cukup meluluhkan rasa pengharapan dalam diri masing-masing. Kanser Hawra sudah berubah ke tahap 4.
"Janji dengan aku, walau macam mana yang jadi sekalipun, kau tetap sahabat aku. Ya Ara," ucap Manis sambil mengusap belakang Hawra.
"InsyaAllah. Walaupun di syurga Allah. Kau tetap sahabat aku..."
Ayat Hawra terus membuatkan Manis mengalirkan air mata. Dia sayangkan Hawra lebih daripada segalanya. Malah keluarganya juga amat rapat dengan Hawra. Ibu dan ayahnya kerap bertanya tentang keadaan Hawra. Mahu menjenguk, terlalu jauh iaitu mereka berada di Kelantan.
Hawra memujuk lembut tubuh Manis. Dia sudah berdamai dengan takdir. Dia ikhlaskan segala yang Allah berikan padanya.
Andai nyawanya ditarik saat itu, dia tidak merasa kesal kerana semuanya berada dalam keadaan yang baik. Abang Osman dan Kak Aina juga akan kekal bahagia dan tidak perlu menjaga adik mereka yang sakit ini lagi.
🌼
BEG pakaian Hawra dijinjing oleh Manis. Mereka berdua berjalan keluar dari bilik yang sudah beberapa minggu menjadi rumah kedua buat Hawra.
Saat mereka berdua berjalan di laluan itu, satu suara nyaring kedengaran bergema di ruangan itu. Hawra dan Manis terus menoleh kerana nama yang dipanggil adalah nama Hawra.
Hawra terus membuntangkan matanya saat melihat Puan Anida yang berjalan ke arahnya dengan wajah yang agak ketat. Manis segera berdiri di hadapan Hawra sebagai pelindung. Dia dapat rasakan sesuatu yang tidak baik bakal berlaku sebentar lagi.
"Kau memang tak tahu malu kan? Dasar perempuan sundal!!" tengking Puan Anida dengan cukup lantang.
Beberapa pelawat dan petugas hospital mula memandang ke arah mereka bertiga. Mereka semua tertanya-tanya tentang apa yang sedang berlaku.
Manis terus memegang tangan Puan Anida yang diangkat tinggi tanda mahu menampar wajah Hawra. Hawra juga tergamam dengan apa yang berlaku.
"Makcik ni kenapa? Tak betul? Tiba-tiba maki kawan saya," balas Manis dengan mata yang mencerlung tajam.
"Kau jangan nak sibuk lah! Ini urusan aku dengan betina sundal tu!"
Tubuh Manis ditolak kasar. Manis terus menjeling tajam ke arah Puan Anida. Tangan kanannya masih memegang tangan Hawra. Dia perlu menjaga keselamatan Hawra saat itu.
"Hei perempuan. Kau tahu tak kau tu hina. Kau tak layak nak bersama dengan anak aku. Sedarlah diri tu sikit. Jangan merampas hak perempuan lain!" tengking Puan Anida bagaikan orang yang dirasuk.
YOU ARE READING
PELENGKAP HATI DIA [ C ]
Roman d'amourSebuah kisah yang agak berat buat insan bernama Hawra Farhah. Perkahwinan yang dirasakan indah untuk selamanya musnah kerana kemunculan orang ketiga dan sikap mertuanya sendiri. Ditambah pula dengan kekurangan diri yang tidak dapat disembuhkan. Ha...