HAWRA memberi salam terlebih dahulu sebelum melangkah masuk. Suasana rumah yang sunyi dan agak gelap membuatkan hati Hawra berasa sedikit lega. Tambah pula, kereta milik Izzul tiada di luar rumah. Dia hanya andaikan yang Izzul keluar bersama Hanis.
Hawra membuka lampu di bahagian ruang tamu dahulu. Selepas itu, dia membuka langkah untuk ke biliknya di bawah. Tetapi langkahnya mati saat bola matanya memandang ke arah timbunan bajunya yang agak banyak di situ.
"Baru balik?" Muncul satu suara yang cukup dikenali oleh Hawra.
Matanya terus menoleh ke arah Puan Anida yang berjalan menuruni tangga dengan tangan yang bersilang. Wajah ketat Puan Anida juga dapat ditebak oleh Hawra saat itu.
"Assalamualaikum mak," sapanya lembut dan berura-ura untuk bersalaman dengan Puan Anida.
"Kau jangan nak datang dekat dengan aku. Aku jijik!" cemuh Puan Anida.
Tubuh Hawra terus tersentak. Air matanya mula bergenang. Terhiris hatinya dengan kata-kata Puan Anida.
"Ara minta maaf mak." Tunduknya ke bawah.
Puan Anida terus mendecit halus sebelum ketawa dengan galak. Raut sinis itu dapat dirasakan oleh Hawra.
"Kau minta maaf sebab apa? Sebab tak lepaskan anak aku ke? Atau sebab tak dapat bagi aku cucu?" sindir Puan Anida dan berjalan mendekat ke arah Hawra.
"Ara minta maaf sebab baru balik harini. Ara..."
Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, pipinya sudah ditampar oleh Puan Anida. Pipinya terus berasa pedih.
"Kenapa kau balik? Duduklah dekat luar tu sampai anak aku tu ceraikan kau! Kau ni lembab juga kan. Orang kalau dah buang kita, kita gerak je lah sendiri." Kepala Hawra ditunjal kasar.
"Kau sedar tak selama kau tak balik rumah ni, Izz tak cari kau langsung? Dia tak kisah pun kau balik ke tak. Sebab dia akan ceraikan kau nanti bila kau balik. Dan sekarang kau dah balik. Jadi aku sarankan kau kemas baju-baju kau yang busuk tu. Aku tak nak tengok kau dekat rumah ni lagi," ujar Puan Anida dengan nada angkuh.
Hawra terkesima. Bibirnya mula bergetar hebat. Dia tidak sangka dirinya akan diceraikan oleh Izzul jika dia pulang ke rumah.
"Kenapa mak berubah?" soal Hawra selepas lama berdiam.
Puan Anida yang mahu berjalan naik ke biliknya menghentikan langkahnya. Dia terus berpusing mengadap ke arah Hawra yang sedang memandang tepat ke arahnya.
"Kau cakap apa? Ulang semula."
"Kenapa mak berubah dengan Ara? Selama ni mak tak pernah hina Ara. Selama enam tahun mak. Apa salah Ara sampai mak buang Ara macam ni?" lirih Hawra dengan air mata yang mengalir lebat ke pipi.
"HAHAHA. Kau ni memang akal pendek ya. Kau lupa ke kau tu mandul!"
"Tapi bukan Ara yang minta diri Ara macam ni!" jerit Hawra sekuat hati sehingga membuatkn Puan Anida tersentak.
"Mak fikir Ara ikhlas terima semua ni? Ara pun nak ada anak sendiri macam orang lain. Ara nak ada zuriat Ara sendiri. Nak dipanggil sebagai seorang emak. Mak fikir Ara takde rasa ke untuk semua tu? Jiwa Ara hancur bila Ara tahu yang Ara tak dapat beri anak buat Izz. Kenapa Ara yang dipersalahkan? Ara tak pernah minta semua ni," luah Hawra dengan dada yang mula berombak hebat.
Puan Anida hanya tersenyum senget. Setiap kata-kata Hawra seolah tidak meninggalkan bekas pada hatinya.
"Kau ingat aku kisah ke dengan hati kau? Kau bukan anak aku. Anak aku cuma Izz. Kau tu hanya menantu aku yang tak layak pun jadi isteri buat anak aku. Kau dengar sini betina. Disebabkan kau, orang kampung pandang jijik dekat keluarga aku. Dah lah mandul, lepastu keluar dengan jantan lain. Kau memang tak reti jaga air muka Izz kan?" tutur Puan Anida sepuas hati.
Hawra tergamam. Dia tidak pernah keluar dengan mana-mana lelaki. Hanya Fairuz sahaja yang pernah bercakap dengannya atas urusan kerja mereka di pasar raya. Selebihnya dia akan keluar bersama dengan Manis atau Izzul.
"Apa mak cakap?"
Suara garau dari muka pintu menyentak tubuh Hawra. Dia seolah merasakan dunianya sudah hancur. Dia tahu Izzul pasti sudah mendengar semua cemuhan daripada mulut Puan Anida.
"Mak nak beritahu kau ni Izz. Bini kau ni ada jantan lain. Selama tiga hari dia tak balik rumah sebab dia ikut jantan lain pergi hotel dekat Genting Highlands tu," tuduh Puan Anida dengan memek muka yang cukup menghina diri Hawra.
"Ya Allah, betul ke mak?"
Hanis terus menekup mulutnya tanda terkejut. Dia tidak sangka Hawra melakukan semua itu. Tambah pula Puan Anida langsung tidak memberitahunya tentang hal itu.
"Nak bukti ke?" soal Puan Anida.
Izzul yang sudah berjalan ke arah mereka berdua terus mengambil sampul yang berada di atas kabinet buku itu.
Dada Hawra mula berdegup kencang. Nafasnya mula terasa sulit untuk dilepaskan. Dia tahu hidupnya akan hancur pada hari itu.
Terketar-ketar tangan Izzul saat memandang isi gambar dari dalam sampul putih itu. Hanis terus membulatkan matanya dan menekupnya kerana berasa terkejut.
"Apa semua ni Ara?" soal Izzul dengan nada yang bergetar hebat. Air matanya juga mengalir ke pipi saat itu.
"Awak percayakan saya kan Izz?" balas Hawra dan memandang tepat ke arah Izzul.
Izzul terus melempar beberapa keping gambar di tangannya ke wajah Hawra. Hawra hanya mampu memejam mata kerana tahu dirinya telah kalah saat itu.
"Sejak bila?" ayat Izzul mula tersekat-sekat.
Hanis hanya memilih untuk bergerak ke belakang sedikit. Dia tidak mahu mencampuri masalah tersebut.
"Dia dah bisu gamaknya. Mak tahu sejak bila. Sejak dia bekerja dekat pasar raya kotor tu." Celah Puan Anida.
"Setahun Ara buat semua ni?"
Hawra hanya mampu mengunci mulut. Jika dia membela dirinya, Izzul tidak akan percaya. Dia tahu itu semua.
"Tak payah lah kamu mendesak dia. Orang kalau dah buat salah memang macam ni. Takut dengan dosa sendiri. Sebab tu lah mak minta Izz kahwin dengan Hanis. Isteri Izz ni dah tak reti jaga diri sendiri," ucap Puan Anida.
"Mak boleh diam tak?" sergah Izzul dengan kuat.
Puan Anida terus tersentak. Dia juga terkejut dengan suara Izzul yang garang itu.
"Jujur dengn aku Ara. Kau memang keluar dengan jantan lain ke belakang aku!!" Bergema suara Izzul di dalam rumah tersebut.
"Saya tak buat semua tu," jawab Hawra dengan esakan.
"Jadi apa makna gambar ni semua?"
Gambar Hawra yang tidak berbaju di atas lantai itu dipijak sehingga lumat.
"Saya tak tahu Izz. Mak..." suara Hawra terus mati.
"Kau nak tuduh mak aku? Kau sedar tak Ara. Mak ni syurga pada aku. Tapi disebabkan kau, aku hampir derhaka dekat dia," lirih Izzul dengan air mata yang bercucuran keluar.
Tangan Hawra sudah menggigil hebat. Dia sudah hilang punca kekuatannya. Walaupun dia membela dirinya, dia tidak mahu Izzul membenci ibunya sendiri.
"Hawra Farhah," sebut Izzul dengan perlahan.
"Aku ceraikan kau dengan talak satu. Kau bukan lagi isteri aku yang pernah aku sayang dulu," sambung Izzul dengan helaan panjang.
Hawra terus memejam matanya selepas ayat yang disebut oleh Izzul menusuk ke jantungnya. Terasa bagai disiat-siat mahligai indah dan kenangan mereka selama enam tahun.
Semuanya perlahan-lahan runtuh. Sinar yang dulu dihiasi dengan suara tawa mereka terus terhenti. Bagaikan ada suis yang menutup semua layar indah di sebuah skrin.
YOU ARE READING
PELENGKAP HATI DIA [ C ]
RomanceSebuah kisah yang agak berat buat insan bernama Hawra Farhah. Perkahwinan yang dirasakan indah untuk selamanya musnah kerana kemunculan orang ketiga dan sikap mertuanya sendiri. Ditambah pula dengan kekurangan diri yang tidak dapat disembuhkan. Ha...