Asap rokok dihembus. Mata menatap langit yang cerah disinari cahaya rembulan sambil tubuh disandarkan pada pintu kereta. Malam ini, fikirannya terganggu lagi. Kejadian petang tadi tidak henti bermain di kotak fikiran. Bukan niatnya untuk buat-buat tidak peduli, namun ketakutan di relung hati membuatkan dia memilih untuk lari. Dibutakan sahaja mata saat melihat Puan Rosna.
Tubuh perlahan-lahan melorot sehingga dia mencangkung. Tangan naik mengepal rambut miliknya. Terlalu banyak berfikir sampaikan kepala rasa serabut.
Fajar sedikit mendongak apabila satu bayang menyentuh bayangnya. Sebelah tangan milik Arisha sudah menyentuh lembut pipinya.
“Kenapa sayang?”
Saat terjaga dari tidur sebentar tadi, figura Fajar tiada di sebelah. Lampu bilik tertutup, tetapi pintu bilik terbuka. Sahlah Fajar keluar bilik. Dia mencari sehingga menemukan pintu dapur terbuka. Fajar dilihat sedang merokok berhampiran kereta. Padahal jam sedang menunjukkan pukul 2 pagi.
“Rindu mak.”
“Rindu, pergilah jumpa. Mak pun rindu tu.”
Fajar tarik tangan Arisha ke dadanya. “Tapi dekat sini sakit lagi. Aku takut… nak tambahkan sakit tu.”
Arisha mendekat. Lantas tubuh Fajar dipeluk. Dia tahu, apa yang Fajar perlukan sekarang ini bukanlah kata-kata untuk sedapkan hati atau suruhan untuk pergi, sebaliknya kehangatan dan pujukan. Daripada nada Fajar pun dah tahu Fajar perlukan masa untuk bertenang.
“Auch!” Termengaduh Arisha apabila Fajar menggigit bahu.
“Bau kau wangi. Segar aku rasa sekarang. Macam baru mandi pagi.”
Arisha tertawa. “Ada-ada je. Sekarang pukul 2 pagi tau. Saya ingat awak pergi mana. Tak boleh tidur ke?”
“Hm.” Fajar mengangguk.
“Habis tu awak nak buat apa?”
“Entahlah. Tengok TV agaknya. Jomlah masuk. Kau boleh sambung tidur semula.”
Arisha angguk. Tangan Fajar ditarik seraya berdiri. Mereka melangkah masuk ke dalam rumah. Tidak ke bilik tidur dahulu, Arisha ke dapur dan membuat secawan minuman coklat hangat.
Dia duduk bersebelahan Fajar. Minuman coklat hangat tadi dihulur.
“Kau tak nak masuk bilik? Sambung tidur.”
Gelengan diberi. “Saya teman awaklah. Dah tak rasa mengantuk.”
Fajar berdiri. Toto diambil dan dihampar di atas karpet. Manalah tahu Arisha tertidur nanti. Baik dia hampar awal-awal. Tak payah susah-susah masuk bilik dah.
“Nah.” Bantal dihulur kepada Arisha. Setelah itu, dia bersandar pada sofa.
Fajar dilihat sebaik sahaja suaminya itu menghirup minuman coklat. Dah fokus dah tengok cerita. Mata tu betul-betul tak nampak mengantuk.
“Baring laa. Sini.” Fajar bersuara. Bantal yang sudah diletak di sebelah pahanya ditepuk.
Arisha akur. Tubuh dibaring lalu sebelah tangan memeluk lutut Fajar yang sedang duduk berlunjur. Baring-baring begitu, rasa mengantuk semula dia. Tak lama, mata mula terpejam setelah ditahan-tahan.
Fajar lakar senyuman kecil melihat Arisha terlena. Usapan di kepala Arisha dihenti. Mata kembali fokus menonton televisyen.
•••
“Dah jadi geng Arisha kau.” Lia menyenggol lengan Iza. Tadi bukan main gemuruh masa nak akad nikah.
“Sekarang baru reti nak senyum sampai ke telinga. Tadi nak senyum pun macam menggigil bibir.” Ujar Arisha.
YOU ARE READING
UNTUK MENERIMA SEADANYA
Romance[UPDATE] [FAMILY/ROMANCE] Hilangnya cahaya saat kasih sayang memudar. Kenapa perbezaan itu menyakitinya? Goresan luka menjadi semakin dalam mendengar bait-bait kata daripada ibu kandung. Bukan sekali, malah telah menikam pendengarannya berkali-kali...