Peluh yang merenik di pelipis dilap. Puan Rosna lilaukan mata memerhati sekeliling. Tak ada apa-apa yang dia dapat lihat memandangkan keadaan amatlah gelap. Tak ada satu pun cahaya yang menyapa pandangan mata. Tangan meraba-raba mencari keberadaan telefon. Lantas, lampu suluh telefon dinyalakan.
Kaki diturunkan di birai katil. Puan Rosna buka pintu bilik. Di luar, Fahim turut menyuluh lampu untuk melihat sekeliling.
“Kenapa elektrik tak ada?”
“Guruh kuat tadi mak. Mak tak terdengar ke?”
“Mak tak sedar rasanya masa tidur tadi. Rumah jiran pun semua gelap ke?”
“Ha'ah gelap. Fahim dah cuba buka tutup suis, tapi tak nyala juga lampu. Kita kena tunggu.”
Puan Rosna hela nafas. Kaki melangkah ke dapur. Segelas air suam diminum. Mimpi yang dialami tadi memang betul-betul ngeri sampaikan dia rasa takut sehingga sekarang. Tangan pun menggigil semacam sahaja dengan dada berdetak laju.
“Mak.”
Bahu Puan Rosna terhinjut dek terkejut. Fahim dipandang.
“Eh mak! Kenapa ni?” Dahi Fahim berkerut hairan saat tersuluh wajah Puan Rosna. Ada air mata yang mengalir ke pipi. Jari jemari ringan menyeka air mata tersebut.
Puan Rosna geleng.
“Cuba bagitahu Fahim. Mak kenapa? Fahim tengok macam ada benda tak kena je.”
“Tak ada apa. Mak cuma rindu anak mak.”
“Fajar?”
Puan Rosna angguk.
“Fahim bawa mak jumpa dia esok.”
“Tak apalah. Mak tak nak kacau dia.”
“Apa pula kacau? Anak mak sendiri kan.”
“Memanglah anak mak, tapi hubungan mak dengan Fajar keruh. Mak tak patut kacau dia bila dia tak nak jumpa mak.”
“Hati Fajar tu lembut mak. Kalau tak, takkanlah sampai tahun lepas dia dapat bertahan dengan mak? Dia akan maafkan mak. Percayalah cakap Fahim.”
“Manusia pun ada had kesabaran sendiri. Mak selalu sakitkan hati dia. Kali ni dia betul-betul dah tutup hati dia. Berbulan tak datang jumpa mak. Mestilah dia marah.”
“Sekurang-kurangnya kita kena cuba mak. Sampai bila keadaan nak jadi macam ni? Fajar tu anak mak. Hubungan sesama keluarga tak boleh putus. Kalau pihak sana tak nak ambil insiatif, kitalah kena ambil insiatif untuk betulkan keadaan.”
“Mak faham.”
“Esok Fahim bawa mak jumpa dia eh?”
Puan Rosna geleng. “Biar mak cari masa dulu. Mak tak nak jumpa dia dalam keadaan tak bersedia macam ni.”
Fahim hela nafas. “Okey. Tapi kalau ada apa-apa, mak kena bagitahu Fahim. Fahim risau.”
“Hm.” Puan Rosna berdehem mengiakan.
•••
“Teh.” Arisha hulur segelas air teh kepada Fajar. Suaminya itu jelas terlihat penat setelah mengemaskan halaman rumah. Dia pun turut membantu tadi. Tapi sekejap sajalah sebab penat. Fajar pun asyik melarang dia buat kerja banyak sangat. Risau nanti ada apa-apa tak diingini terjadi. Dia pun takut bila terbayang perkara yang tak diingini itu.
Fajar letak gelas air teh di atas meja bulat kecil di sebelahnya. Tangan Arisha ditarik perlahan-lahan sehingga isterinya itu terduduk di atas riba. Lantas, tubuh Arisha dipeluk. Datang dah mood bermanja dia.
YOU ARE READING
UNTUK MENERIMA SEADANYA
Romance[UPDATE] [FAMILY/ROMANCE] Hilangnya cahaya saat kasih sayang memudar. Kenapa perbezaan itu menyakitinya? Goresan luka menjadi semakin dalam mendengar bait-bait kata daripada ibu kandung. Bukan sekali, malah telah menikam pendengarannya berkali-kali...