AISYA SAFIYYAH sekadar menundukkan kepalanya. Dia tidak menyangka bahawa rakan baiknya itu membantah sekeras-kerasnya permintaan kedua-dua belah pihak. Dia begitu kecewa sekali apabila cintanya telah ditolak. Benarlah sangkaannya selama ini, cintanya hanya bertepuk sebelah tangan.
"Fiya, kau ikut aku sekarang." Safiyyah yang sedari tadi mendiamkan diri mula mengikuti langkah rakan baiknya apabila namanya diseru. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Sebaiknya, dia ikut sahaja arahan daripada lelaki yang merupakan sahabat baiknya itu.
Setibanya di luar, lelaki itu mula merenungnya tajam. Safiyyah berasa gerun untuk melihat, jadi dia mengambil keputusan untuk menundukkan kepalanya. Dia betul-betul tidak berani untuk bersuara. Safiyyah yakin, lelaki itu pasti fikir bahawa dialah yang mencadangkan soal perkahwinan itu.
"Fiya, aku nak kau berterus-terang dengan aku sekarang. Selama ni, kau ada simpan perasaan ke dekat aku?" Safiyyah menelan air liurnya. Memang betul apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Tapi, takkanlah dia mahu meluahkan perasaannya di hadapan lelaki yang bergelar rakan baiknya itu? Dia sendiri maklum, jika dia berterus-terang sekalipun, lelaki itu tidak akan sesekali menerima dirinya.
"Kau tak jawab soalan aku. Jadi, aku anggap kau tak simpan apa-apa perasaan dekat aku. Kau sendiri tahu kan, aku sayangkan Rose. Takkan aku nak korbankan perasaan aku dekat dia semata-mata untuk kahwin dengan kau? Apa yang aku dapat?"
Hati Safiyyah umpama dirobek-robek ketika ini. Tajamnya kata-kata Azad itu sehinga mampu meninggalkn kesan dalam hatinya.
Seolah-olah dia tidak mampu untuk membahagiakan Azad. Ya, Safiyyah sedar bahawa dia tidak setanding dengan gadis pujaan hati Azad, tapi takkanlah dia tidak boleh mencuba langsung untuk membahagiakan insan yang telah mencuri hatinya itu?
"Azad, aku minta maaf. Bukan aku yang nakkan semua ni. Ini permintaan keluarga kita berdua. Aku tak boleh bantah. Sekarang, terpulanglah pada kau. Apapun keputusan kau, aku akan terima," bohong Safiyyah. Hanya itu sahaja yang mampu dia ungkapkan buat masa ini.
Dia tahu, walau apa sekalipun yang terjadi, lelaki itu memang tidak akan menerimanya. Kalau dia memaksa Azad untuk menerimanya, mungkin lelaki itu akan lebih membenci dirinya. Dia reda jika Azad menolak cintanya. Biarlah dia berkorban demi cinta sejatinya itu.
"Kalau macam tu, baguslah. Aku rasa kau sendiri tahu kan apa keputusan aku?" soal Azad sambil tersenyum sinis ke arah Safiyyah.
Safiyyah tidak mahu mengecewakan ibu bapanya, namun apakan daya. Lelaki itu lebih berhak membuat keputusan.
┅┅
"AZAD setuju, umi." Safiyyah memandang wajah Azad dengan pandangan yang sukar dipercayai. Biar betul lelaki ini setuju untuk menjadi suami merangkap imamnya?
Bukan ke semalam baru sahaja lelaki itu membantah? Apa yang menyebabkan lelaki itu menukar fikirannya? Safiyyah mula hairan.
"Betul ke apa yang umi dengar ni? Betul Azad setuju?" Safiyyah melihat anggukkan kepala daripada lelaki itu. Dia mula ragu dengan jawapan yang diberikan oleh Azad. Takkan semudah itu Azad menerima dirinya? Pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Azad.
"Fiya, Azad dah setuju. Jadi, Fiya pun setuju kan?" soal umi Azad. Safiyyah menganggukkan kepalanya. Azad sudah bersetuju, takkan dia mahu membantah pula? Itu menolak rezeki namanya.
Namun, ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Dia yakin dan percaya, pasti ada sesuatu yang dirancang oleh Azad. Dia cukup kenal dengan rakan baiknya itu. Jika Azad sudah membuat sesuatu keputusan, takkan ada apa yang mampu mengubah keputusannya. Jadi sebab itulah dia pelik mengapa semudah itu Azad bersetuju?
"Alhamdulillah, akhirnya dapat juga umi bermenantukan Fiya." Safiyyah mengukirkan senyumannya. Senang hati dia apabila umi Azad gembira mendengar jawapan daripada mereka berdua.
Inilah diri Safiyyah, manusia yang suka mengorbankan dirinya demi kebahagiaan orang lain. Dia tidak kisah jika dirinya menderita namun dia tidak mampu melihat insan lain menderita disebabkan dirinya.
"Kalau macam tu, lagi tiga minggu kita langsungkan terus pernikahan Azad dengan Safiyyah, ya?" Safiyyah hanya menganggukkan kepalanya tanda dia bersetuju. Namun, dia tidak sedar bahawa lelaki yang bernama Azad itu sedang mengukir senyuman yang mempunyai 1001 makna yang tersirat.
┅┅
SUASANA mula kecoh apabila insan yang dinanti-nantikan hilang membawa diri tanpa pengetahuan sesiapa. Safiyyah jatuh terduduk apabila berita itu sampai ke telinganya. Dia yakin, pasti ini sebahagian rancangan yang dilakukan oleh Azad. Namun, di manakah sifat belas ihsan Azad terhadap orang tuanya? Tidak fikirkah lelaki itu bahawa dia akan mengecewakan orang tuanya?
"Apa yang kita nak buat sekarang ni, bang?" Puan Mysara iaitu ibu kepada Aisya Safiyyah mula menyoal suaminya, Encik Fikri.
Safiyyah dapat melihat riak kecewa yang ditunjukkan oleh orang tuanya. Ini baru orang tuanya, belum masuk orang tua Azad lagi. Sanak-saudara yang hadir serta tetamu yang dijemput semuanya sudah memandang sesama sendiri. Pasti ada yang bersangka buruk terhadap dirinya. Yelah, selalunya pengantin perempuan yang akan melarikan diri. Ini terbalik pula yang jadi?
"Abang pun tak tahu, Sara. Sekarang ni, lebih baik kita tunggu lagi beberapa minit. Manalah tahu Azad keluar sebentar ke. Abang yakin Azad takkan tinggalkan Fiya macam ni."
Inilah dia sifat yang diwarisi oleh Safiyyah.
Sama seperti ayahnya, Safiyyah seorang yang sentiasa berfikiran positif. Dirinya terlalu baik sehinggakan orang lain sering menyalahgunakan kebaikannya.
"Fikri, aku betul-betul minta maaf bagi pihak anak aku. Azad memang dah melampau kali ni. Aku tak tahulah apa yang difikirkannya sampai dia larikan diri macam ni.Hari tu elok je dia setuju. Hari ni, dia buat hal pula. Aku malu nak mengaku Azad tu anak aku. Apa tak cukup ke didikan yang aku bagi sampai sanggup dia malukan keluarga dia sendiri?"
Safiyyah sendiri buntu. Jika lelaki itu tidak mahu berkahwin dengannya, terus-terang sajalah dengannya. Dia tidak suka dipermainkan sebegini. Azad seolah-olah memberi dia harapan palsu.
"Umi minta maaf, Fiya. Umi betul-betul rasa bersalah dengan Fiya. Umi dah tak tahu nak buat apa. Fiya, Fiya tahu tak kenapa Azad larikan diri? Fiya kan rapat dengan Azad, mesti Azad ada bagitahu sesuatu dekat Fiya. Fiya ceritalah dekat umi." Safiyyah memandang wajah umi Azad. Wanita tua itu betul-betul berharap agar dia menceritakan perkara yang sebenar.
Dia teringat kembali kata-kata Azad kepadanya agar tidak membocorkan rahsianya. Rahsia tetap rahsia. Jika dia membocorkan rahsia tersebut, maka terputuslah tali persahabatan mereka berdua. Safiyyah buntu. Dia sudah berjanji kepada Azad, namun dalam masa yang sama umi Azad juga turut berharap kepadanya.
"Fiya tak tahu, umi. Azad tak pernah cerita apa-apa dekat Fiya. Fiya pun tak tahu kenapa Azad larikan diri," jawab Safiyyah ringkas.
Kini, apa yang bakal dilakukan oleh keluarga kedua belah pihak? Mahu membatalkannya atau meneruskannya?
"Macam nilah, memandangkan Azad pun dah larikan diri, apa kata kita batalkan jelah majlis ni?" Semua mata mula memandang ke arah Puan Mysara.
Safiyyah turut memandang ke arah ibunya. Dia pasrah. Jika inilah nasibnya, dia akan mengikuti apa sahaja kehendak ibu bapanya. Pengantin lelaki pun sudah lari meninggalkan dirinya, apa lagi yang mahu dikejarkannya?
┅┅
Hai, ini novel kedua saya dan kali ni, saya akan tulis dengan format novel. Harap korang semua suka ❤️
YOU ARE READING
𝗞𝗘𝗥𝗔𝗡𝗔 𝗗𝗜𝗔 𝗜𝗠𝗔𝗠𝗞𝗨
Romance(ON HOLD/SLOW UPDATE) ‼️ Hadirnya dia, Membuatkan hidup Safiyyah menjadi lebih bermakna. Perginya dia, membawa seribu satu perasaan yang tak dapat diungkapkan. Safiyyah pasrah dengan ketentuan hidupnya. Dia yakin, pasti Allah mempunyai perancangan y...