Bab 3 ~ Haezril ~

13.2K 528 49
                                    

Dua belas tahun yang lalu...

"NAMA?" tanya pengawas tingkatan lima yang bertugas. Tangannya sibuk ingin mencatat nama-nama pelajar yang datang lewat ke sekolah. Besar kecil saja aku pandang pengawas cilik itu. Rasanya dah lebih sepuluh kali dia catat namaku. Takkan tak ingat-ingat lagi kut? Boleh dikatakan namaku gah dalam catatan buku rekod datang lewat ke sekolah. Mahupun begitu, kebanyakkan guru tidak kisah. Prestasi akademikku tak pernah merosot.

Tetapi dalam ramai-ramai, pasti ada yang terkecuali. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Zuraidah. Mulut berbisanya memang mampu menggoreskan mana-mana hati yang lembut bak tisu. Dania yang berhati kental pun pernah menangis teresak-esak beberapa bulan lepas, akibat daripada kata-kata menusuk kalbu Cikgu Zuraidah.

"Nur Azalea binti Azman, kelas 3 Amanah."

Selepas memberi nama, aku terus melajukan langkahku untuk mengejar Dania yang sudah terlepas ke depan. Bukannya aku tak tahu yang dia masih berangin. Mana tidaknya, akulah punca dia selalu datang lambat ke sekolah.

Ish budak ni, kaki pendek, tapi jalan laju nak mampus.

"Nia, Lea rasa hari ni perhimpunan cancel. Tengok tu, dewan tak ada orang," kataku sambil tersenyum riang. Rasa macam nak sujud syukur pun ada. Tak perlulah aku bersua muka dan mendengar bebelan Cikgu Zuraidah. Dialah yang mewakili semua komuniti guru-guru mulut celupar.

Tak salah seorang guru itu menegur muridnya yang buat salah. Tapi wajarlah tegur secara berhikmah, seperti yang Islam dan Nabi Muhammad ajarkan. Bukannya naikkan nama ibu bapa ataupun keluarkan kata-kata kesat.

"Nur Azalea!" Sejurus mendengar suara bak guruh di langit, bahuku terhinjut. Terkejut.

Ramai pelajar bersetuju bahawa suara Cikgu Zuraidah lebih seram daripada suara hantu mengilai. Keluhan besar, aku lepaskan. Baru saja nak seronok, terus terbantut. Orang yang paling aku nak hindar itulah yang aku kena hadap sekarang ini.

Perlahan-lahan, aku mengalihkan tubuhku menghadap kepada pemilik suara tersebut.

"Apalah nak jadi dengan kamu ni, Nur Azalea! Dah tiga tahun kamu belajar dekat sekolah ni, tak sampai sepuluh kali pun kamu datang awal. Kalau susah sangat nak ikut peraturan, pilih je pagar mana kamu nak. Pergi belajar dekat sekolah lain," jerkah Cikgu Zuraidah.

Aku menundukkan kepala. Sedar akan salahku. Tapi seteruk-teruk aku pun, tak adalah ke tahap baru sepuluh kali datang awal. Ada juga hari yang aku akan tiba awal berbanding rakan sekelasku. Malah, aku orang yang pertama yang membuka lampu dan kipas. Tapi begitulah manusia, baiknya tak nampak. Hanya bahagian buruk yang disebut-sebut.

Dania takut-takut bersembunyi di belakangku. Aku turut melindungi tubuhnya. Tak mahu dia turut menjadi mangsa keadaan. Bukannya aku tak tahu, Dania betul-betul takut dengan Cikgu Zuraidah.

Vroom Vroom!

Aku mencari bunyi enjin motor yang boleh tahan kuatnya. Persis bunyi enjin motor orang nak lumba.

"Haezril Hakimi!"

"Oh mak kau hijau." Aku tersasul. Tangan kananku mengurut dada, hampir terkena serangan jantung. Suara Cikgu Zuraidah bukan sahaja mampu melemahkan jantung, tahi telinga sekeras batu pun boleh cair.

Jelingan maut aku beri tatkala mendengar gelak kecil Dania. Suka sangatlah tu.

Sejurus itu, pandanganku terhala pada seorang pelajar lelaki yang menunggang motorsikal besar, berjenama Kawasaki. Pemakaiannya aku tilik dari atas sampai bawah. Keningku terangkat. Kenapa sejak dua menjak ni aku asyik jumpa manusia berketurunan alien eh? Atau dia tersilap sekolah? Etika pemakaiannya nampak lain macam. Dia lupa nak baca nak buku peraturan sekolah kut. Husnudzon.

Awak Saya Punya, Only Mine! ✔Where stories live. Discover now