Bab 8 ~ Forgive ~

11.5K 504 37
                                    

TANGANKU terketar. Apa dia buat dekat sini? Kenapa dia masuk surau ni? Soalan demi soalan menghentam benakku. Aku lantas mencapai selendangku. Menutup rambut dan leherku. Meskipun aku tahu yang selendang saja tidak mampu menutup segalanya. Namun, aku tetap ikhtiar. Mana mungkin aku hanya membiarkan Haezril menatap sesuatu yang bukan miliknya.

Debaran di dadaku menggila. Haezril leka memerhati setiap tindak-tandukku. Dia langsung tidak melarikan anak matanya. Berkedip pun tidak. Seolah-olah menikmati hidangan percuma di hadapan mata.

"Aa...apa awak buat dekat sini?" soalku dengan suara bergetar. Menahan geram dan malu.

"Asal kau masuk surau lelaki?"

Aku terpempan. Surau lelaki? Kenapa surau lelaki pula? Takkan surau pun boleh ubah jantina? Tapi... aku sendiri pun tak pasti. Inilah jadinya kalau main terjah masuk macam perompak.

Selendang licinku yang melorot ke bawah, aku betulkan. Ish, bahaya ni.

"Ma...maaf Hez, boleh tak awak keluar sekejap? Saya nak pakai tudung." Darahku semakin mendidih apabila Haezril masih kekal kaku. Langsung tak rasa bersalah. Matanya masih sibuk menilik tubuhku.

"Haezril Hakimi! Please." Aku menaikkan oktaf suara.

Akhirnya, Haezril keluar. Aku lepaskan nafas lega. Bilik yang ada pendingin hawa pun dah rasa macam sauna. Dahi dan leherku dibasahi peluh dingin kerana berasa terlalu gementar. Pipiku juga berbahang. Sungguh, aku bencikan situasi tadi. Buat tambah saham dosa saja.

Tanpa berlengah, aku menyarungkan selendang ke kepala. Dah siap. Setibanya aku ke luar surau, Haezril masih bersandar di dinding. Tampang segak Haezril mengenakan sut hitam, aku pandang sekilas.

"Kenapa awak tunggu dekat sini?" Soalan janggal itu, aku lontarkan. Mataku masih melekat di lantai. Hanya Allah sahaja yang tahu bertapa aku tak selesa dengan pandangan lain macam Haezril.

"Habis kau nak lelaki lain pulak tengok rambut kau?" perli Haezril.

Aku dongokkan kepala. Memberikan pandangan maut. Dia ingat aku ni dah kebulur sangat ke nak tayang rambut sendiri?

Sekejap, apa tu? Mataku melekat pada satu objek hitam yang tergantung di cuping telinga Haezril. Aku pejam celik, pastikan yang aku tak salah tengok. Ya Allah, Haezril bersubang? Kenapa aku tak perasan pun tadi? Sejak bila? Pelbagai persoalan menjengah mindaku. Jujur, aku tak suka tengok imej Haezril versi ini. Tak tahukah dia yang subang itu ialah aksesori yang haram dipakai lelaki?

"Follow me," arahnya.

Membatu. Sukar untuk aku percaya yang Haezril sudah berubah sedrastik ini. Fikirku, dia dah berubah. Seteruk-teruk Haezril waktu zaman sekolah pun, tak adalah sampai bertindik telinga baga.

"Kau tak dengar ke?" Haezril merapatkan jarak kami. Aku berundur ke belakang. Haezril turut mara ke hadapan.

"Kenapa kau nak lari daripada aku? Takut? Jijik?"

"Saya ada cakap apa-apa ke?"

"Kau tak cakap apa-apa. Tapi muka kau jawab ya," bisik Haezril. Merapatkan wajah kami.

Tubuhku diserang rasa seram sejuk. Baru saja aku pasang niat untuk meloloskan diri, tubuhku lebih awal bersentuh dinding. Jantungku semakin kuat mengepam darah. Jarak antara tubuh kami begitu dekat, sehingga menyesakkan dadaku. Bau wangiannya, dapat aku hidu. Di saat Haezril cuba mengelus pipiku, aku bertindak menepis tangannya.

"Behave yourself, Haezril. Ini pejabat awak. Lama sangat tinggal dekt London, dah tak tahu malu ke?"

Haezril tersenyum sinis.

Awak Saya Punya, Only Mine! ✔Where stories live. Discover now