Bab 4 ~ Jatuh ~

12.4K 529 37
                                    

"NIA pergi masuk kelas dulu. Lea nak ke pejabat kejap." Aku berkata dengan muka ala-ala lempeng basi. Tak ada selera nak ke sekolah sejak awal-awal celik mata lagi. Kalau ikutkan perasaan dan jiwa yang tertekan, memang tak hingin aku nak jejakkan kaki ke situ.

Dania mengangguk tanpa banyak tanya. Dalam kurang dari seminit, bayangnya hilang daripada pandanganku. Aku mengeluh hampa.

Pagi tadi, aku dah melakukan cubaan memujuk abah secara besar-besaran, cakap yang aku tak mahu ke sekolah. Segala kata manis pujangga aku keluarkan untuk menawan hati abah. Tapi apakan daya, permintaan aku ditepis dengan jayanya. Nasib anak kepada ibu dan bapa berstatus guru. Hampeh.

Dengan langkah tak bertenaga, aku memanjat satu demi satu anak tangga untuk ke pejabat. Nak ambil sijil yang dipegang oleh salah seorang kerani pejabat sekolah.

"Kau okey ke?" soal satu suara garau.

Aku lantas menoleh pada pemilik suara tersebut. Benar tekaanku. Pemilik suara itu ialah Haezril Hakimi. Pelik. Selalunya susah benar otak siputku ini nak ingat suara orang. Apatah lagi orang baru. Tapi kenapa suara Haezril dua kali pun aku dah boleh kenal?

Jantungku mula berkerja lebih masa apabila Haezril merenungku lama. Sebab tak selesa, aku menundukkan pandangan. Eh, sekejap. Dia cakap dengan aku ke? Kalau perasan sendiri, mahu malu tujuh keturunan. Aku menoleh ke belakang, manalah tahu kalau dia tengah cakap dengan orang lain. Tak mahu syok sendiri.

"Aku cakap dengan kaulah. Yang kau pandang belakang dah kenapa?"

"Oh...erm...ah...sorry sorry. Saya okey je," balasku kelam-kabut. Aku pun tak faham kenapa rasa gementar suka sangat bertandang setiap kali aku berhadapan dengannya. Sebelum ni, biasa-biasa sahaja kalau bercakap dengan kawan-kawan lelaki yang lain.

"Habis tu, kau buat apa dekat sini?" Mata Haezril kembali menikam anak mataku. Walau berkali-kali aku cuba melarikan pandangan, dia sangat bijak bermain mata. Ish, dia ni banyak pulak koleksi soalan.

"Ermm... Saya... Saya nak..." Tak sempat aku habiskan kata, suara garau itu memotong.

"Kau ni tak pernah cakap dengan lelaki ke macam mana? Cuba relaks sikit. Tarik nafas dulu then baru cakap. Ni tak, asyik semput je macam nenek aku," kata Haezril dengan selamba badaknya.

Tak berkedip mataku memandangnya. Mahu tak sentap. Dalam banyak-banyak manusia atas bumi Allah ni, ada ke patut dia samakan aku dengan nenek dia? Dah tak ada orang lain yang sesuai sikit ke?

Kali ini, aku menarik nafas panjang sebelum bertutur.

"Sebenarnya, saya nak jumpa staf pejabat tadi. Tapi, tak apalah. Saya nak ke kelas dulu."

Haezril angguk sekali sebelum memberi laluan untuk aku melangkah pergi. Tak pasti di mana silapku, sedar-sedar sahaja kaki kananku tersilap rentak lalu terpijak kain. Syukur alhamdulillah, punggungku selamat mendarat di atas lantai. Sakitnya tak payah cakap, rasa nak meleleh air mata darah.

Yang penting, hidup lagi. Sia-sia saja kalau mati sebab jatuh tangga sekolah.

Selain punggung, kaki kananku juga berkongsi rasa perit. Aku memanjangkan tangan untuk menyentuh buku laliku.

"Aduh..." Aku merintih. Nasib baik sempat kawal ketinggian vokal. Kalau tak, mahu bergegar bangunan sekolah.

Mengenangkan nasib diri yang tersadai di atas lantai, aku memikirkan cara untuk bangun. Pegang sikit pun dah rasa macam skru kakiku dicabut keluar. Itu belum dipaksa berjalan lagi. Tamatlah riwayat hidupku.

"Asal kau ni clumsy sangat? Genetik siapa yang kau ikut?" Haezril hadir dari belakang.

Ya Allah, aku baru teringat yang Haezril ada di situ dari tadi. Siap jadi saksi kejadian lagi. Aku meraup muka, bertambah-tambah rasa sakit yang aku tanggung. Balik nanti, nak terjun kolam ikan mama terus. Bagi hilang rasa malu.

Awak Saya Punya, Only Mine! ✔Where stories live. Discover now