Bab 28 ~ Hate ~

14K 501 16
                                    

GATAL mataku mencuri pandang tangan Haezril. Dia mencapai sampul tersebut. Duit ke? Macam tak logik. Buat apa? Pendapatan Haezril saja sudah hampir mencecah pendapatan mummy dan daddy. Lainlah kalau bagi dekat aku. Walau kecil tapak tangan, akan aku tadahkan jua sebesar-besarnya.

Lain macam saja aku pandang muka seorang demi seorang ahli keluarga Haezril. Tak habis-habis tersenyum sumbing. Dah tak ada kerja lain agaknya. Sejurus melihat isi yang terkandung di dalam sampul tersebut, mataku terbeliak. Bala apa pula kali ni?

"Suka tak?" Mummy bersuara. Riak keterujaan dah tertampal kemas di wajahnya.

"Tiket ke Perth? Nak buat apa?" soal Haezril. Tiket itu ditayang. Dia langsung tak nampak gembira.

"Nak buat apa? Pergi honeymoonlah. Ni hadiah daripada mummy daddy untuk kamu berdua." Tenang daddy bercakap.

Sungguh aku kecewa. Bukan dengan hadiah tersebut. Tapi dengan reaksi Haezril. Sangat mengecewakan. Patutnya, bersyukurlah orang dah bagi hadiah. Ini tak, nampak macam kena paksa pergi zoo.

"Tapi Hez..."

"Pergilah, Abang Hez. Seminggu je pun. Tak luak pun masa abang." Hana turut membuka mulut. Dia kemudian memandangku. Seakan faham akan apa yang aku rasakan. Tak. Aku yakin Hana tahu. Tak ada yang dia tak tahu pasal aku.

"Bukan tu masalahnya Hana. Aku ada kerja. Cuti dua hari ni pun aku gagahkan je. Kerja aku dah banyak tertangguh." Haezril mula mengurut leher. Menandakan dia tak suka akan situasi tersebut.

Hatiku terasa bagai ditusuk senjata tajam. Pilu. Sangat perit. Semahal itukah masa dia? Ikhlas ke dia tinggal dekat rumah mama abah? Ataupun sekadar terpaksa?

"Tengok dulu tarikh tu Hez. Kamu ada lagi sebulan untuk siapkan semua kerja-kerja kamu. Mummy tahu kamu busy, tapi Haezril kena ada masa untuk Lea. Mummy tak nak Lea rasa macam kahwin dengan robot."

Kepala aku tundukkan. Tak mahu mengeruhkan keadaan. Cuba mengawal perasaanku yang bercampur-baur.

"Dalam masa dua bulan, Hez nak uruskan event Datin Maimunah. Dia nak buat majlis tu dekat Ineffable Restaurant. Lea pun tahu."

"Haris kan boleh handle event tu. Mummy tak nak dengar macam-macam alasan dari mulut kamu lagi, Hez. You must go, full stop," bicara mummy lantang.

Haezril merengus. Wajah tak puas hati, dia tayang.

"Lea boleh pergi kan?" tanya daddy tiba-tiba. Semua mata terarah padaku.

"Lea ikut Hez je, daddy. Lea tak kisah sangat." Aku memaksa diri untuk tersenyum manis. Meski aku sedar, saraf mukaku dah ketat. Tak mampu nak maniskan lagi.

Hana pantas geleng. Dahinya berkerut.

"Lea mesti nak pergi. Hana kenal Lea, daddy. Dia teringin sangat nak travel dari dulu lagi. But she wasn't given the chance. Abang Hez..."

Jari telunjuk aku halakan ke bibir. Memberi isyarat agar Hana tutup mulut. Hana tak tipu. Melancong sememangnya cita-citaku sejak kecil lagi. Mempelajari budaya orang luar di samping menikmati ciptaan Allah. Seronoknya! Tapi itulah, belajar sampai master pun dah cekik banyak duit. Mimpi sajalah yang aku mampu.

"Tengok tu. Pernah tak Hez ambik tahu yang isteri Hez suka travel? Tak kan? Sebab apa? Sebab kamu tak pernah luangkan langsung masa kamu untuk Lea. Mummy nak kasi peluang dekat korang. Suami dengan isteri ni kena saling faham, saling kenal, baru boleh bahagia," syarah mummy. Persis pakar rumah tangga.

"Kau pergi jelah, Hez. Nanti kalau mummy kau suruh aku dengan Ed heret kau dengan Azalea ke KLIA, kau jugak yang susah." Chan menyampuk.

Awak Saya Punya, Only Mine! ✔Where stories live. Discover now