ELIYA 20

180 3 0
                                    

Akhirnya, setelah lima tahun (hampir enam tahun sebenarnya) aku tidak berjumpa dengan keluarga bekas mertua ku, kini aku tercongak di depan pintu pagar rumah yang pernah menyambut aku dengan kesuraman lima tahun lalu. Perlahan-lahan ku lihat pintu pagar terbuka. Terasa longlai kaki ini. Seolah-olah tidak mahu melangkah lagi.

"El, masuklah." Aku tidak sedar berapa lama aku tercengat di depan pintu rumah agam di hadapanku ini. Aku cuma tersedar ketika Natrah memimpin tanganku untuk masuk ke dalam.

Suasana sekeliling di dalam rumah agam ini berbeza seratus peratus daripada kali terakhir aku melihatnya. Namun, walaupun perabot dan susun aturnya berubah, kesergaman, keindahan dan kesepian mansion ini masih terserlah. Ku lihat sekeliling. Gambar - gambar adik beradik arwah Amran tergantung di satu sudut tepi dinding. Yang menambahkan kepelikan di dalam hatiku dan membuatkan aku terkejut tahap gaban adalah gambar perkahwinan aku dan arwah Amran turut tergantung sama di sana. Apa yang terjadi dengan keluarga ini? Kenapa tiba-tiba aku menjadi tetamu yang dialu-alukan padahal satu ketika dulu aku dihina, dicerca dan dihalau?

"Duduklah. Nat pergi panggil daddy dan Arman."

Sebelum berlalu pergi, ku dengar Natrah meminta pembantu rumah membuat air nescafe dan cekodok bilis. Aku duduk di kerusi sambil mataku masih melilau memandang sekeliling rumah dan otakku ligat berfikir tentang perubahan yang berlaku dalam rumah ni. Lebih kepada pelik sebenarnya aku rasakan. Diri ini seolah-olah masih tidak mempercayai aku boleh berada disini.

Nada dering dari telefon menunjukkan ada whatsapp yang masuk. Aku pantas mencapai telefon dan membukanya.

- How r u doing? ok ke?- whatsapp dari Andria

- Ok. Aku ok je. Cuma macam masih tak percayalah aku boleh berada di sini. - Ku balas whatsapp Andria.

- Just relax ok. Jangan paksa diri sangat.-

- Thanks dear.-

- Kalau ada apa-apa, call me. Im a lil bit worried.-

Aku tersenyum membaca whatsapp Andria.

- Ok. Dont worry. Im gonna be okay.-

Aku meletakkan telefon ke dalam beg tangan semula. Terasa seperti ada yang memandang, aku menoleh ke kanan. Lelaki yang sedang merenung aku ini memakai kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar pendek paras lutut mengingatkan aku kepada arwah Amran. Wajahnya memang mirip arwah Amran namun aku masih mampu membezakan mereka.

Arwah Amran mempunyai parut kecil di dagunya. Namun lelaki ini memiliki dagu yang bersih daripada sebarang parut. Pandangan mata mereka berbeza. Pandangan mata arwah Amran lebih redup manakala lelaki di sebelah kanan aku ni mempunyai pandangan mata yang tajam. Aku tersenyum kepadanya. Perlahan-lahan dia datang mendekati dan berdiri di hadapanku. Aku turut berdiri menghadapnya.

"Eliya." Aku memperkenalkan diri. Namun dia hanya berdiri di situ memandangku seperti patung manusia. Aku cuba tersenyum. Mungkin dengan senyuman membuatkan Arman berasa selesa. Namun wajahnya masih tidak menunjukkan apa-apa riak. Masih seperti tadi. Serius dan berdiri macam robot didepanku. Akhirnya, aku sendiri yang merasa tidak selesa dengan keadaan ini. Aku berkira hendak duduk namun, takkan biarkan dia berdiri tercengat macam tu.

"Duduk." Akhirnya aku yang mempelawa dia duduk. Macam aku pulak tuan rumah. Hehe..Namun dia tak mahu duduk jugak. Aku jadi bigung seketika. Apa kena dengan dia ni? Kebuntuanku berakhir apabila aku terdengar suara Natrah dan seorang lelaki berbual-bual menuju ke arah kami dan melihat bekas ayah mertua ku dan Natrah berjalan ke arah kami. Aku membalas senyuman mereka berdua.

"El sihat?" bekas ayah mertua ku bertanya keadaan ku ketika aku menyalami tangannya.

"Sihat...Err...Tan Sri sihat?" Aku tergagap. Tidak tahu hendak memanggilnya menggunakan panggilan apa.

"Daddy sihat. Panggil je daddy." Seolah-olah mengerti akan kesulitan yang aku hadapi. Aku tersenyum. Dengan tiba-tiba daddy mengusap kepala ku dengan lembut. Mengapa ketika arwah Amran hidup, semua ini tidak terjadi? Sayu hatiku. 

"Maafkan daddy. Daddy terlampau banyak berdosa pada El." Katanya sayu.

Aku terpempan dengan kelakuan daddy. Selama aku mengenalinya, jangan kata nak menyambut huluran tanganku, memandang ku pun tidak sudi. Tapi kali ini sangat pelik sehinggakan aku sendiri tak pasti. Aku yang berperasaan pelik atau memang kelakuan mereka yang pelik?

"Eh, tak perlu daddy. El yang banyak buat silap." Aku cuba tersenyum menyenangkn hatinya.

Kami berhenti berbual sebaik sahaja pembantu rumah memberitahu minuman petang sudah tersedia. Kami menuju ke meja makan. Natrah sahaja yang banyak bercakap. Aku masih kekok sebenarnya. Arman dari tadi tidak bersuara. Hanya memandang manakala daddy pulak sekali sekala menyampuk.

Usai minum petang, aku di bawa ke bilik tingkat atas. Pintu bilik dibuka perlahan-lahan oleh Natrah dan menjemputku masuk. Aku masuk dengan perasaan bercampur baur. Takut, gemuruh, semuanya ada. Dengan langkah perlahan aku masuk ke dalam bilik.

Di hujung sana, aku melihat sekujur tubuh baring di atas katil. Kelihatan dua orang jururawat sedang berborak sesama sendiri. Mereka berhenti berborak sebaik sahaja menyedari kehadiran kami. Langkah ku terhenti di situ. Entah kenapa aku menjadi kaku sebaik sahaja mengenali sekujur tubuh yang sedang berbaring di atas katil itu.

"El." Natrah menggamitku. Daddy dan Arman sudah berada di tepi katil. Aku melangkah perlahan-lahan.

"El, ni mummy." Aku memandang wajah yang matanya terpejam rapat. Alat bantuan pernafasan menutupi hidungnya dan sebuah mesin sebesar tv bersaiz 12 inci berada di sebelah kiri katil tersebut berbunyi menandakan pesakit masih bernyawa. Aku tidak pernah menyangka, wanita garang yang pernah menghalau aku suatu ketika dulu dengan gahnya kini terbaring layu di atas katil. Aku memandang daddy. Daddy hanya tersenyum. Begitu juga Natrah. Namun Arman, riak serius masih menghiasi wajahnya. Ku pandang semula wajah yang pucat dan badan yang kurus itu.

"Beginilah keadaan mummy sejak dia koma dari kemalangan." Natrah menjelaskan kepadaku sambil mengusap kepala mummy yang ditumbuhi rambut putih.

"Dulu dia kat hospital, tapi kami semua sibuk dengan rutin harian. Masa melawat mummy pun jadi terhad. Disebabkan itu kami meminta kebenaran doktor untuk membolehkan kami membawa mummy balik ke rumah. Kalau dia ada kat rumah, memang kami dapat meluangkan banyak masa dengan mummy. " Natrah masih menjelaskan.

Lidahku kelu untuk membalas. Tidak tahu untuk berkata apa. Perkara ini seolah-olah terlalu berat untuk aku cerna.

"Duduklah." Daddy mempelawa aku duduk. Sungguh disebabkan rasa terkejut yang amat sangat membuatkan aku tidak sedar yang sedari tadi aku sebenarnya berdiri merenung badan lemah mummy. Perlahan-lahan aku melabuhkan punggung di atas kerusi sebelah katil mummy. Ku lihat jari jemarinya. Kaku seperti anggota badannya yang lain. Juga sunyi.

"Mummy ingat El tak?" Akhirnya suara aku keluar jugak setelah agak lama aku mendiamkan diri.

"El harap mummy ingat lagi. El datang ni untuk melawat mummy. El sangat gembira dapat berjumpa mummy. El harap mummy pun macam tu."

Aku sudah tidak mampu menahan sebak. Kolam mata ini sangat mudah berair. Aku tunduk mengusap tangan mummy sambil sebelah tangan lagi mengusap air mata yang menitis. Berharap tiada sesiapa pun yang melihatnya. Walaupun wanita ini tidak pernah menerima dan menyukai kehadiran aku didalam hidupnya, namun aku masih menyayangi dan menghormatinya sebagai ibu kepada arwah suamiku.

Perlahan-lahan aku kucup tangannya. Berharap mummy dapat merasai kehadiranku yang mungkin tidak pernah dia undang. Sehelai tisu di hulurkan oleh Natrah.

"El..." Suara Natrah memecah gegendang telinga ku setelah aku mendiamkan diri lagi.

"El perlukan masa untuk memahami apa yang berlaku." Pintaku pada Natrah sebaik sahaja kami sampai dihadapan keretaku. Natrah mengangguk tanda memahami.

EliyaWhere stories live. Discover now