BAB 1

28 1 0
                                    


Inilah sebuah kisah tentang seorang wanita bernama Juita. Juita lahir dan dibesarkan bersama-sama dengan jutaan wanita lain yang hidup di bumi Malaysia ini. Tahun ini Juita akan mencapai usia 30 tahun. Sepanjang 30 tahun dia hidup dan bersosial dengan warganegara Malaysia (juga asing) ini, dia rasa dia sudah dapat mengklasifikasikan tiga kumpulan wanita berusia 30-an yang wujud di negaranya ini. Walau kurang tepat, tapi inilah hasil pemerhatiannya.

Kumpulan pertama, bagi sesetengah wanita tersebut, usia 30-an menandakan kematangan dalam kehidupan. Sudah mampu memperoleh pendapatan sendiri, sudah boleh buat keputusan hidup dengan lebih baik dan ada yang sudah berkahwin. Malah, tak kurang juga sudah mempunyai seorang dua anak yang comel-comel.

Kumpulan kedua pula ialah kumpulan wanita 30-an yang masih lagi gagal untuk move on. Secara ringkasnya, kumpulan ini masih lagi terikat dengan kenangan indah bersama bekas kekasih yang sudah selamat berkahwin dengan kumpulan pertama tersebut. Atau masih berharap pada cinta yang tak berbalas kerana tidak cukup syarat untuk menjadi belahan jiwa. Malah, ada yang lebih parah masih lagi patah hati dan berjanji dengan diri tidak akan bercinta lagi. Segala kenangan sudah pun disampahkan ke dalam Sungai Gombak katanya. Selalunya, kumpulan ini akan berkeluh-kesah di laman-laman sosial.

Kumpulan terakhir dan ketiga adalah kumpulan wanita 30-an yang kita tidak tahu sama ada dia sudah bekerja, berkahwin, bersalin, putus cinta atau apa-apa yang berkaitan kehidupannya. Pendek kata, wanita jenis ini adalah wanita yang perahsia, misteri dan kadangkala mudah dilupai. Juita tergolong dalam kumpulan ketiga ini.

Juita pula hanya mampu berdiam diri daripada media sosial dan menjadi pemerhati tegar rakan-rakan lain. Cuma sekali-sekala adalah juga dia 'muncul' dengan status-status hambar tentang novel atau apa yang dia buat pada hari itu.

Berbalik pada cerita novel. Ya, Juita adalah peminat tegar novel-novel cinta. Itulah terapi. Itulah eskapismenya. Dan dia juga ada grup rahsia untuk peminat-peminat novel yang sekepala dengannya. Nampak tak betapa perahsianya Juita. Tapi yang sebenarnya Juita bukan tak mahu buka grup tersebut kepada umum. Dia lebih suka yang ikut serta grup tersebut terdiri daripada peminat tegar novel cinta juga. Adalah geng sekepala.

Wanita yang bakal berusia 30 tahun ini mula menyedari sejak akhir-akhir ini, dia sering saja sensitif. Senang tersentuh hati. Rakan-rakan serumahnya tidak mengetahui beberapa malam sebelum ini, Juita juga sering berkeluh-kesah cuma bukan di Facebook saja. Malulah dia kalau orang lain tahu apa yang dikeluhnya itu. Takkan Juita mahu beritahu yang dia dalam kesepian dan kesunyian pada usia bakal 30 tahun ini?

Juita sempat melirik jam di telefon bimbitnya. Sudah sepuluh minit melepasi jam sebelas malam. Sudah lewat benar nampaknya ini. Sepatutnya dia perlu tidur sebaik sahaja selesai solat isyak. Tapi dah terlajak pula sebab asyik berkeluh-kesah. Hari ini juga niatnya tidak mahu menyentuh walau sebuah pun novel cinta. Dia tak mahu perasaannya lebih terganggu. Dia perlu ketenangan. Dia perlu segera tidur sebelum jam menginjak ke angka 12 tengah malam. Nak gosok gigi lagi, cuci muka pula, nak bergolek-golek atas katil lai. Entah pukul berapalah Juita boleh lelap?

11.30 malam. Lampu dah lama padam. Adalah dua tiga kali Juita menguap.

11.45 malam. Mata dah semakin kuyu. Alhamdulillah. Tak lama lagi Juita akan mencapai nikmat tidur pada malam itu.

11.58 malam. Tidur Juita sudah hampir lena. Kalau kejut dua tiga kali pun belum tentu bangun ni.

12.00 tengah malam. Treet... treet... treet...

Satu mesej yang masuk di telefon bimbit Juita terus membuatnya terjaga tiba-tiba. Terkejut yang amat!

Aaah... memang dia ni suka musnahkan rancangan akulah! Juita memaki dalam hati.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now