BAB 3

9 1 0
                                    


Sepatutnya pagi ini, kalau ikut perancangan awal, Juita akan bangun dengan mata yang segar-bugar. Apabila jam telefon bimbitnya berbunyi, dia hampir-hampir saja tidak boleh membuka mata. Bahana tidak dapat lelap sebab Aliff dah rosakkan mood dia tengah malam tadi. Kalau tidak, tentulah dia sudah boleh tidur lena semalam walau sebelumnya dia agak susah hati dengan angka baharu umurnya itu. Yalah, apa boleh buat, tidur sajalah.

Matanya yang sebelah terbuka tu bersusah payah difokus pada skrin telefon bimbit. Berkerut-kerut dahi Juita. Dah pukul 5.30 pagi. Sempat kut kalau nak tidur lagi setengah jam. Setengah jam saja. Dia janji!

Tepat jam enam pagi, jam di telefon bimbitnya berbunyi lagi buat kali kedua. Kali ini Juita memang benar-benar bangun daripada tidur-tidur ayamnya. Matanya tiba-tiba segar-bugar. Bukankah dia dah janji dengan diri sendiri tadi. Jadi, dia memang benar-benar menepati janjinya. Lagipun, dia tak mahu berebut bilik air dengan Si Laila yang ratu bilik air itu.

Selesai mandi dan bersolat, dari luar biliknya dia dapat mendengar bising-bising di ruang tamu. Oh, dua orang teman serumahnya itu sudah bangun awal dulu daripadanya. Selalunya dialah orang pertama dalam rumah tu yang bangun awal dulu. Sempat Juita duduk termenung beberapa saat sebelum matanya dapat fokus pada pintu bilik air.

Alahai... alahai... kenapa hari ini macam tak ada semangat saja dia nak ke tempat kerja? Berkali-kali dia tanya soalan itu pada dirinya sendiri sedangkan dia sebenarnya sudah tahu sebabnya kenapa.

Jam 7.15 pagi dia sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Pagi ini sarapannya cekodok pisang lembik yang disediakan oleh Laila, teman serumahya. Walaupun lembik tapi cekodoknya 'jujur'. Itu yang selalu diberitahu Juita pada Laila sebagai langkah memujuk apabila cekodok pisangnya dikatakan tidak menjadi macam yang selalu dijual di gerai-gerai kuih.

Definisi 'cekodok jujur' adalah cekodok yang lebih banyak rasa pisang manis-manis berbanding rasa tepung dan serbuk penaik semata-mata. Maka, sebab itulah cekodok yang Laila buat tu lembik sedikit. Tapi, lebih sedap, puji Juita. Rosemary teman serumah mereka yang lagi seorang pun setuju. Juita sempat buat bekal untuk dimakan lagi di pejabat. Harap-harap tiada siapa yang sudi meminta cekodok pisangnya di pejabat nanti tatkala melihatkan bentuknya. Bukan Juita kedekut, tapi dia perlu ikat perut tengah hari nanti dengan makan sedikit sahaja. Badannya sudah naik dua kilogram!

Lagi lima belas minit ke jam lapan pagi, Juita sudah pun tercongok di stesen KTM Shah Alam. Dia melihat ramai yang berpusu-pusu mencari parkir meletak kenderaan dan kemudian bersesak-sesak beratur ke pengangkutan tren komuter pula. Mujurlah dia tak perlu kenderaan untuk ke stesen KTM. Pangsapurinya betul-betul depan stesen KTM Shah Alam.

Dia memandang sekeliling, hampir semua yang menunggu tren, sama juga seperti dia. Mahu ke tempat kerja. Sekali-sekala sempat juga Juita meninjau-ninjau orang-orang di sini, mana tahu ada yang dia kenal dan boleh diajak berborak. Ataupun, pada hari yang keramat ini mungkinkah nasibnya bakal berubah melalui pertemuan tak sengaja dengan seorang lelaki misteri yang tersesat dalam gerabak merah jambu seperti novel Gerabak Merah Jambu yang pernah dia baca dulu. Semenjak Juita baca novel tesebut, matanya mula lebih fokus dan peka terhadap persekitaran terutama sekali persekitaran yang ada lelaki. Manalah tahu, dia tiba-tiba ditegur oleh seorang lelaki yang entah dari mana, lalu sudi nak datang meminang dia. Tersenyum sendiri Juita membayangkan adegan itu. Maklumlah, tak ada siapa lagi setakat ni yang buat begitu padanya.

***

Sampai sahaja di pejabat, Juita lihat hampir semua rakan-rakannya sudah tiba kecuali... dia tak nampak muka yang setiap hari datang paling awal. Rozana. Secara refleks, Juita mula memegang dadanya. Nampaknya dadanya berdebar lebih laju daripada biasa. Selalunya itu adalah petanda untuk sesuatu yang dia kurang berkenan atau bahaya. Juita melihat sekeliling pejabat. Semuanya tengah khusyuk buat kerja. Takkan kut...

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now