"Terima kasih. Tak apa, biar I sendiri pergi cari dia kat sana. Tak payah teman I. Ini hal peribadi yang dah lama tergendala. I perlu bersemuka seorang diri dengan dia." Dia mematikan talian. Satu keluhan berat dilepaskan. Badannya disandarkan ke sofa empuk. Selesa dan mendamaikan. Tapi itu semua hanya pandangan luarannya sahaja. Sedangkan hatinya kini dirundung suram dan gundah.
Nama Nabil dan Juita sejak akhir-akhir ini sering sahaja bermain-main di minda. Pemilik nama-nama itu benar-benar membuatkan hidupnya kini resah. Mengapakah Juita hadir pada saat dia dan Nabil sudah mula kembali tenang-tenang saja menjalani hidup mereka.
Dia segera membaca semula dua buah alamat yang tertera di skrin telefonnya itu. Pembantunya memberi alamat pejabat dan alamat rumah. Dia boleh membuat pilihan untuk pergi antara dua tempat itu dan dia telah memilih rumah Juita sebagai tempat dia bertemu dengan perempuan itu. Hal peribadi harus diselesaikan di tempat peribadi juga. Bukan di tempat awam seperti pejabat.
***
Dalam banyak-banyak hari dalam seminggu, pagi Ahad adalah pagi yang paling lengang sekali. Selalunya waktu-waktu beginilah dia paling susah sekali mahu nampak wajah jiran-jirannya. Kalau ada pun yang keluar, hanyalah untuk siram pokok bunga, basuh kereta atau keluar untuk sarapan pagi. Masa inilah dia dapat melihat wajah sebenar jiran-jirannya. Bak kata orang, kecantikan semula jadi akan terserlah pada waktu pagi, sebelum mandi. Lagi elok kalau kita dapat melihat kecantikan seseorang itu waktu dia baru bangun tidur. Kadang-kadang air liur basi kering yang melekat kat tepi bibir pun boleh buat seseorang nampak lebih cantik daripada bergincu merah terang.
Masa inilah dia akan melihat adalah beberapa orang jirannya yang masih berpakaian baju tidur, terus saja keluar rumah sapu sampah atau sidai kain. Yang tak mandi, terus ke kedai depan rumah untuk sarapan pun ada. Dia tak perlu bertanya, lihat pada muka pun tahu belum mandi lagi. Harap-harap sudah gosok gigi.
Pagi ini, dia kembali memulakan rutin yang sudah beberapa kali ditinggalkannya, iaitu ke Taman Tasik Shah Alam. Dia nak joging semula. Sejak minggu lepas dia sedar dia asyik meraba-raba perutnya yang buncit itu saja. Rozana yang perasan tingkah laku dia itu hanya senyum sambil menutup mulut.
"Seratus tahun pun kau usap perut kau tu, takkan buat perut tu jadi kempis."
Kata-kata tajam bagai sembilu daripada mulut rakan sekerjanya itu memang benar-benar membuatkan dia jadi tidak keruan. Walaupun umurnya sudah mencecah 30 tahun, jari manisnya masih belum tersarung cincin perkahwinan. Maka, apabila bentuk fizikalnya ditegur-tegur sebegitu rupa, dia senang untuk rasa sensitif. Mujur rakan-rakan lelakinya tidak ada yang berani-berani untuk tegur ataupun masih belum perasan perubahan dirinya.
Yalah, sejak ada Nabil Fadhlan yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya, selera makannya naik mendadak sebab Nabil rajin betul belanja dia makan di restoran-restoran mahal. Itu belum lagi ada perjanjian hati dengan Nabil. Entah-entah, kalau sudah sah jadi suri hati, jiwa dan sukma lelaki itu, entah berkilo-kilo agaknya berat dia naik.
Inikah yang dinamakan bahagia? Apabila kita terlupa untuk rasa peduli tentang jumlah kalori, gula, garam dan lemak dalam makanan. Makan kerana bahagia. Makan bersama-sama orang yang paling istimewa. Rupa-rupanya rasa bahagia itu boleh juga membahayakan.
***
Juita memandang dirinya di hadapan cermin tegak yang menyeluruhi badannya itu. Perutnya diusap-usap lagi. Sejak akhir-akhir ini, mengusap perut buncitnya itu adalah hobi terbaharunya. Dia tidak suka bentuk perutnya itu tetapi entahlah tangannya tidak boleh duduk diam. Dia nekad, dia akan menghapuskan bentuk yang tidak diingininya itu. Termasuk juga lebihan dagu yang tiba-tiba muncul pagi semalam.
"Juita!" Laungan namanya itu bukan datang daripada suara yang dia sudah janji untuk berjumpa dua hari lepas. Dahinya berkerut untuk memastikan betulkah namanya yang dipanggil tadi.
"Juita!" Hah, sah bukan suara lelaki. Tapi suara seorang wanita. Dia menyelak sedikit langsir jendela. Hanya matanya sahaja yang kelihatan di sebalik jendela biliknya itu.
"Juita, I nampak you. Turun, Juita. I tahu you ada kat dalam." Wanita itu memandang tepat ke arah jendela bilik Juita yang memang terletak menghadap hadapan rumahnya.
Juita cepat-cepat menutup kembali langsirnya. Dia kini sudah terduduk sambil menyandar ke dinding bilik. Tekaknya terasa kering. Badannya mula panas dan titik-titik peluh mula muncul di dahinya. Apa yang patut dia lakukan sekarang ini? Akalnya tidak dapat berfikir apa-apa pun.
"Juita, sebelum I bawa orang-orang I runtuhkan pagar you, baik you turun. Ada hal yang belum beres lagi."
Diam. Tidak ada apa-apa reaksi balas daripada Juita. Pagar digegar kuat pun tidak ada tindak balas. Beberapa orang jiran rumah Juita sudah mula keluar. Ada yang minta wanita itu bersabar. Tidak kurang pula yang mengugut untuk telefon pihak polis.
"Juita, you boleh tipu semua orang yang you perempuan paling baik dalam dunia ni. Pandai jaga diri, tak berpeleseran dengan lelaki sembarangan. Tapi you tak boleh tipu I. You rampas Nabil daripada I, you ingat tu kerja mulia ke? I setia dengan dia bertahun-tahun, sejak dari sekolah. Sampai hati you musnahkan hubungan I dengan Nabil. Tanpa rasa bersalah. Tak ada rasa timbang rasa." Ada suara esakan di hujung kata.
Jiran-jiran yang tadinya dalam keadaan tegang, satu-satu mendiamkan diri. Brader yang tadi beria-ia mahu menelefon polis itu menikus di sebalik dua tiga orang ibu-ibu suri rumah yang turut serta menonton drama adaptasi novel-novel cinta popular masa kini. Brader itu berpendapat tidak perlulah dia bersusah payah telefon polis semata-mata hal remeh berebut lelaki ini.
"Juita, I rasa kalau I jadi you, I berani kerat semua jari I yang I takkan tergamak buat perempuan lain macam ni. Umur dah 30 pun..."
"Sudah! Sudah! Aku turun!" Pantang betul Juita kalau ada yang sebut-sebut umurnya itu. Lebih-lebih lagi di hadapan jiran tetangga yang dia tidak akan sekali-kali dibuka zip mulutnya apabila disoal tentang umur, calon suami dan hal cinta. Itu kan hal peribadi, dan kini segalanya itu dengan mudah saja terbongkar gara-gara mulut tak ada zip Anggerik itu.
Mujur Rosemary dan Laila pulang ke kampung Jumaat lepas. Kalau tidak, banyak perkara yang perlu dia jelaskan ni. Huh!
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...