"Macam mana, bro? Jadi tak?" tanya Leon. Wajahnya memang wajah mengharap sangat.
Aliff masih diam membisu. Dia sendiri pun tak tahu sama ada dia jadi ke tak nak bantu kawan sekolahnya itu. Tiba-tiba saja Si Leon ini muncul kembali dalam hidupnya. Untuk pinjam duit!
"Aku mana ada duit banyak tu, bro." Aliff berbohong. Dia memang ada lima ribu ringgit tu. Berlebih lagi. Tapi bukan untuk Leon. Itu untuk masa depan dia dan (bakal) isteri. Dia mahu guna duit itu untuk keperluan kahwin dan rumah tangga yang akan dibina. Selama ini tak pernah pun dia membayangkan siapa-siapa pun menyentuh wang simpanannya itu. Termasuklah Leon. Itu memang jauh panggang dari api. Tapi sekarang ini tiba-tiba pula...
"Takkanlah... kau bukan dah lama naik pangkat ke?" Macam biasa, Leon Si Pengintip. Tahu saja Aliff dah naik pangkat.
"Serius, aku tak adalah duit banyak tu, bro." Aliff mengelak lagi. Dia dah pegang kunci motor. Dah bersedia nak pulang rumah ni. Tadi pun dia hanya pesan teh ais saja. Dia tak rasa mahu makan. Bukan sebab dia sudah kenyang, tapi ada dua sebab. Pertama, dia tak mahu berlama-lama dengan Leon. Kedua, dia nak berjimat cermat. Ketiga, dia dah masak di rumah. Nasi goreng pedas dia lagi sedap daripada nasi goreng pedas gerai ni.
"Tolonglah aku, bro. Aku terdesak sangat ni. Duit aku banyak dah berhabis untuk rawatan mak ni. Kesian kat mak aku. Mak aku dah macam mak kau juga, kan? Ingat tak dulu masa kita muda-muda dulu. Mak aku rajin masakkan bekal untuk kau. Sambal goreng ikan bilis. Nasi lemak sotong. Karipap goreng. Air sirap bandung." Dan seterusnya... Leon menyenaraikan semua jenis masakan yang pernah dimasak untuk Aliff. Mungkin itulah saja caranya untuk buat Aliff jatuh kasihan pada keadaan diri dia. Gunakan mak sendiri.
Aliff sudah serba salah. Dia memang ingat semua tu. Dia memang kenal dengan mak Si Leon ni. Bukan setakat kenal saja, rapat lagi. Dah macam emak sendiri. Kadang-kadang Aliff rasakan yang dialah sebenarnya anak kandung kepada Makcik Khadeeja ini, bukan Leon. Leon ini mungkin anak entah siapa-siapa yang terjatuh dari bumbung rumah Makcik Khadeeja dulu. Nasib baiklah Makcik Khadeeja sempat sambut daripada terjatuh terus ke tanah. Itulah teori yang bermain-main dalam fikiran Aliff setiap kali Makcik Khadeeja layan dia baik-baik lebih daripada Leon. Tapi, Leon pun macam tak berapa kesah saja. Leon akan beritahu dengan yakin yang emaknya memang sayang dia lebih daripada Aliff apabila setiap kali Aliff utarakan persoalan itu.
Sekarang ini emak Leon ada masalah kesihatan yang kronik. Dan seperti kata Leon, sebagai seorang anak yang sangat disayangi ibunya, dialah yang kini menjaga penuh kebajikan emaknya. Daripada rutin harian hinggalah ke biaya rawatan.
"Emak kau sakit apa, Leon?" tanya Aliff. Mungkinkah Leon akan beritahu yang emaknya ada barah, macam dalam drama-drama Melayu itu. Risau juga dia. Barah memang penyakit yang kronik dan menyeksakan pesakitnya, emosi dan fizikal. Tentu Makcik Khadeeja tak mampu lagi nak sediakan masakan yang enak-enak.
"Alah... sakit orang tua," balas Leon.
"Yalah, sakit apa?"
Leon meraup wajahnya yang muram itu dengan tangan. Kedua-dua belah matanya merah. Jelas terpancar wajah kepenatan pada lelaki itu. Leon senyap seketika. Dia menundukkan wajahnya memandang teh tarik di hadapannya itu. Apabila dia mengangkat wajahnya semula, ada setitik dua air yang mengalir perlahan jatuh dari kedua-dua belah mata Leon.
Leon menangis! Tak pernah dalam sejarah persahabatan Leon-Aliff, Aliff melihat rakannya itu menangis. Ini memang keajaiban dunia... atau satu lagi kehibaan yang dunia sedang tanggung sekarang ini.
"Aku nak cerita pun tak sanggup, bro. Doktor sebenarnya tak dapat kesan apa sebenarnya penyakit mak aku tu. Sekejap demam panas dua tiga minggu. Lepas tu baik semula. Kemudian demam tu datang balik. Runsing aku fikirkan benda ni. Jiran-jiran beritahu aku yang mak aku ni mungkin kena... buatan orang. Maklumlah, mak aku kan pandai memasak. Rajin bagi makan kat jiran-jiran. Mungkin ada yang dengki," beritahu Leon dengan sedu-sedan yang tak dapat ditahan-tahan. Memanglah Leon ini anak kesayangan emak!
"Sabarlah, bro," pujuk Aliff.
"Jadi, bro?" tanya Leon pula. Dia memandang dengan wajah simpati ke arah Aliff. Pandangan Leon itu diselang-selikan dengan bunyi hingus Leon yang asyik nak meleleh-leleh saja.
Aduh... serba salah Aliff dibuatnya. Lima ribu ringgit tu bukan sedikit untuk dia. Dia mengumpul wang itu dengan penuh onak duri dan cabaran. Tapi, pada masa yang sama dia kasihan sama Leon, sama Makcik Khadeeja.
Aliff ketap bibir. Dia cuba membayangkan apa akan berlaku kalau duit itu berpindah tangan kepada Leon.
"Aku pinjam aje, Aliff. Bukan nak ambil terus. Untuk buat berubat mak aku. Duit aku ni cukup-cukup untuk sara makan minum kami berdua aje. Untuk kos rawatan tu, aku memanglah tak cukup duit. Ni pun, aku nak bawa mak aku pergi Melaka. Jiran aku kata ada orang boleh tolong ubatkan mak aku kat sana," terang Leon.
Mendengar kata-kata Leon itu, Aliff melepaskan keluhan kecil. Dia masih diam membatu. Masih cuba mencari rasional terhadap apa jua keputusan yang bakal diambil nanti.
"Aku pinjam aje, bro. Kesian kat mak aku. Kau tak sayang mak aku ke? Kan dia anggap kau macam anak dia. Kiranya ni, kalau kau tolong macam kau tolong mak kau sendirilah." Kali ini Leon benar-benar merayu. Hingus yang meleleh-leleh itu sengaja dia tak lap. Supaya nampak benar terseksa jiwa raganya mengenang ibu yang sakit di rumah.
"Bagi aku masa untuk fikirkan benda ni. Nanti aku telefon kau," balas Aliff, lalu terus bangun meniggalkan Leon keseorangan selepas membayar minumannya.
***
Sesampainya di rumah, baru Aliff tersedar ada mesej masuk di telefon bimbitnya.
Bila kau lapang? Sabtu ni, boleh? Tolong bawa sekali semua novel Mambang Kuning.
Aliff angkat kedua-dua belah kening. Dia kehairanan membaca mesej tersebut. Namun, tanpa membuang masa Aliff membalas mesej tersebut.
Kenapa nak kena bawa novel-novel tu?
Kemudian pesanannya berbalas.
Nak pinjam.
Ringkas sahaja balasan pesanan daripada Juita. Teruja pula dia apabila tiba-tiba Juita mahu pinjam novel-novel Mambang Kuning, antara pengarang tempatan yang dia minat jugalah. Sudah tukar selerakah perempuan tu?
Jangan lupa bawa. Penting!!!
Satu lagi pesanan dihantar Juita. Mesej peringatan.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...